Bisa ‘Venom’ kurang menyengat - Wayang | mStar

Bisa ‘Venom’ kurang menyengat

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2018 10:00 AM

‘Venom’ yang sepatutnya mampu menjadi karya hebat nampaknya tidak berupaya menjadi setanding dengan karya terbitan Marvel Studios.

(Ubah saiz teks)

Filem: Venom

Pengarah: Ruben Fleischer

Pelakon: Tom Hardy, Michelle Williams, Riz Ahmed, Jenny Slate, Reid Scott, Peggy Lu dan Woody Harrelson

Genre: Aksi/Sains Fiksyen

Durasi: 113 minit

Pengedar: Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan: 4 Oktober 2018

UNTUK mana-mana studio filem selain daripada Marvel Studios dalam melahirkan filem adaptasi komik, ia bukan sesuatu yang mudah. Senang cerita, ia adalah satu risiko yang cukup besar.

Semuanya bergantung kepada keberanian studio berkenaan dalam mempersembahkan sebuah cerita yang dapat menjadi lebih baik dengan apa yang telah diterbitkan Marvel Studios sebelum ini.

Paling tidak pun, mungkin mampu untuk menjadi setara kerana selama 10 tahun pertama Marvel Studios berkuasa, memang agak sukar menidakkan penangan luar biasa mereka yang ternyata telah mencipta satu jenama isi rumah dalam budaya popular hari ini.

Dalam konteks ini, filem terbitan 20th Century Fox seperti Logan (2017), dua filem Deadpool (2016 dan 2018) dan beberapa siri filem X-Men sahaja yang telah menyamai kedudukan mereka itu.

Aksi Tom Hardy yang berhadapan dengan alter egonya, Venom yang telah menjadikan dirinya sebagai seorang yang berbeza.

Justeru, apabila sebuah lagi filem adaptasi komik terbitan Sony Pictures Entertainment atau Sony berjudul Venom, harus diakui, ramai yang meletakkan harapan cukup tinggi untuk melihat Venom berdiri dengan cukup megah.

Ditambah pula, dengan sedutan filem tersebut yang berulang kali dimainkan sebagai salah satu rangka promosi, menerbitkan keyakinan penonton bahawa Venom mampu menjadi sebuah karya yang berbisa.

Pun begitu, seperti yang selalu diperkatakan, usah terlalu percaya kepada sedutan filem sebelum menonton keseluruhan ceritanya kerana ia pasti akan membuatkan anda kecewa. Paling tidak pun menzahirkan keluh kesah yang berpanjangan.

Begitulah apa yang berlaku terhadap penulis usai menonton Venom pada hari pembukaannya minggu lalu. Hakikatnya memang penulis meletakkan sasaran Venom mampu berdiri setanding dengan karya Marvel Studios yang lain meskipun berlainan studio.

Sementelah, watak Venom yang kali pertama diperkenalkan di layar perak menerusi filem Spider-Man 3 (2007) arahan Sam Raimi lakonan Topher Grace, membuatkan penulis mahu melihat watak berkenaan diterjemahkan dengan cemerlang.

Bekas calon Oscar, Michelle Williams memegang watak sebagai Anne Weying.

Lebih-lebih lagi watak Venom dan alter egonya, Eddie Brock diterajui oleh bekas calon Oscar, Tom Hardy yang cukup dikenali sebagai pelakon berkarisma, ia menambahkan keterujaan penulis terhadap Venom.

Namun, Venom yang diarahkan oleh Ruben Fleischer (Zombieland, 2009) tidak mencapai sasaran yang diharapkan atas beberapa faktor terutama dari sudut penceritaan dan tona filem ini yang kelihatan seperti tidak mempunyai pendirian.

Meskipun Spider-Man 3 bukanlah sebuah filem yang digemari penulis, tetapi kehadiran Venom dalam filem itu sekurang-kurangnya meninggalkan impak dan memberikan satu rasa yang gerun untuk membuktikan Venom bukan sembarangan makhluk.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku kerana watak Venom di tangan Hardy seolah-olah lari daripada acuan asalnya yang ganas, tidak berperi kemanusiaan dan makhluk yang amat ditakuti.

Kebarangkalian perkara itu berlaku adalah disebabkan Venom merupakan filem pertama dalam francais filem yang mahu dibangunkan oleh Sony selaku pemegang hak cipta kepada watak Spider-Man dan watak-watak yang berada dalam dunia adiwira itu.

Salah satu babak filem Venom yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Kendatipun begitu, itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana apabila mahu mencipta sebuah francais filem baharu, filem pertama seharusnya kukuh dari segenap aspek untuk meneruskan legasi kepada filem-filem selepas itu.

Dalam erti kata lain, Venom ibarat seperti pembuka selera sebelum filem sekuel seterusnya menyusul tetapi hidangan itu hanya sekadar untuk mengalas perut semata-mata.

Sebagai pelakon berkaliber dengan watak-watak yang mencabar dirinya sebelum ini, Hardy tidak gagal secara total dalam menterjemahkan Venom ke layar perak kerana beliau memiliki pesonanya yang tersendiri sebagai Eddie Brock dan Venom.

Akan tetapi, seperti penulis katakan di atas, ia pasti ada hubung kait dengan strategi pihak penerbit yang mahu terus mengembangkan watak berkenaan selepas ini.
Dari sudut penceritaannya juga bermasalah kerana ceritanya bergerak secara mendatar tanpa mempunyai momentum yang diperlukan untuk filem seperti Venom.

Perjalanan Venom tidak ada naik turunnya yang boleh membuatkan penonton teruja dan sekali gus menjadikan Venom sebagai adiwira kesayangan mereka (walaupun ia adalah watak antagonis).

Lantaran itu, tona filem ini tidak tercipta dengan baik dan kabur tentang hala tujunya sama ada mahu menjadikan Venom sebagai adiwira ataupun sebaliknya. Ia tidak memiliki asas yang kukuh dan jitu lalu membuatkan penonton berfikir apakah sebenarnya yang mahu ditonjolkan oleh Venom.


Pengarah filem Venom, Ruben Fleischer (kiri) bersama barisan pelakon utama filem Venom iaitu (dari kanan) Reid Scott, Tom Hardy, Riz Ahmed, Michelle Williams dan Jenny Slate pada tayangan perdana di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Meskipun penulis sukakan bagaimana watak She-Venom atau Anne Weying yang dilakonkan oleh bekas calon Oscar, Michelle Williams diperkenalkan tetapi itu adalah satu langkah yang kurang bijak kerana kemunculannya dilihat sebagai satu kesilapan dan cuba untuk mencuri tumpuan daripada Venom.

Seharusnya watak berkenaan disimpan untuk filem sekuel dan lebih memfokuskan kepada Venom itu sendiri.

Mungkin ada yang akan gembira apabila nama Malaysia menjadi sebutan dan menjadi sebahagian daripada penceritaan (walaupun lokasi penggambaran bukan di negara ini), tetapi perkara itu belum cukup membanggakan.

Penulis percaya bahawa walaupun Venom mendapat kritikan yang kurang memberangsangkan tetapi dengan rekod kutipan pembukaannya sebanyak AS$80.3 (RM333.13 juta) di Amerika Syarikat minggu lalu membuktikan bahawa Venom akan tetapi memiliki susulannya (adegan pasca kredit membuktikannya).

Itu sudah termaktub kerana Sony sendiri sudah merangka perancangan mahu mencipta alam semesta adiwira baharu menerusi Spider-Man selepas kejayaan Spider-Man: Homecoming (2017) dan perjanjian baharu yang termeterai antara studio terkemuka itu dan Marvel Studios.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan