Orang Indonesia menangis tonton ‘Munafik 2’ - Wayang | mStar

Orang Indonesia menangis tonton ‘Munafik 2’

Diterbitkan: Khamis, 27 September 2018 2:33 PM

Pemamer di Indonesia minta tambah panggung untuk tayangan Munafik 2.

(Ubah saiz teks)

MULA ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada Rabu, filem Munafik 2 menerima sambutan hangat penonton negara seberang.

Penerbit Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam berkata disebabkan sambutan luar jangkaan, jumlah panggung ditambah atas permintaan pemilik pawagam.

"Munafik 2 menerima sambutan di Indonesia, daripada 50 pawagam sahaja sudah ditambah ke 100 pawagam atas permintaan pemilik pawagam.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Munafik 2' atasi 'HKL', pecah rekod RM40 juta

"Malam gala diadakan pada hari pertama tayangan di Jakarta dan sambutan serta respons media di sana sangat menggalakkan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Yusof turut berkongsi pandangan penonton di Indonesia mengenai filem tersebut.

Datuk Yusof Haslam.

"Rata-rata penonton menyukai filem ini dan ramai yang menangis di akhir cerita. Bagi mereka ini adalah filem seram dakwah yang sangat meninggalkan kesan.

"Syukur Alhamdulillah... sambutan yang diberi ini amat bermakna buat industri filem tanah air," ujarnya.

Munafik 2 memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan di negara ini iaitu sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Filem ini mencipta rekod tersendiri apabila mencapai kutipan membanggakan untuk tayangan awal di pawagam Malaysia pada 29 Ogos lalu.

Maya Karin turut berkongsi di laman Instagram.

Ia menjadikan filem tempatan yang menerima kutipan tertinggi untuk tayangan awal iaitu sebanyak RM2.05 juta.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions ini menelan belanja sebanyak RM2.9 juta.

Tags / Kata Kunci: Datuk Yusof Haslam , Munafik 2
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan