Penghargaan buat rakyat Malaysia dalam ‘Rise Ini Kalilah’ - Wayang | mStar

Penghargaan buat rakyat Malaysia dalam ‘Rise Ini Kalilah’

Diterbitkan: Rabu, 19 September 2018 10:00 AM

Filem 'Rise Ini Kalilah' bukanlah sebuah filem yang teruk mahupun buruk tetapi masih dalam skala baik dan memuaskan biarpun lebih layak menjadi sebuah telefilem.

(Ubah saiz teks)

Filem: Rise Ini Kalilah

Pengarah: Saw Teong Hin, Nik Amir Mustapha dan M.S. Prem Nath

Pelakon: Remy Ishak, Mira Filzah, Jack Tan, Sangeeta Krishnasamy, Mark O’Dea, Jenn Chia, Mustaqim Bahadon, Shashi Tharan, Sweet Qismina dan Sharifah Sakinah

Genre: Drama

Durasi: 102 minit

Pengedar: MM2 Entertainment Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 13 September 2018

BARANGKALI sesuatu yang agak mengejutkan juga apabila filem Rise Ini Kalilah menemui penonton tanpa sebarang hebahan umum sebelum tayangannya.

Dalam erti kata lain, pembikinannya tidak dicanang serancak filem-filem lain dan mungkin ia adalah salah satu strategi pemasaran oleh pihak penerbit yang mahu memberikan kejutan buat rakyat Malaysia.

Lantaran itu, pujian wajar diberikan kepada mereka yang bertungkus-lumus menzahirkan filem Rise Ini Kalilah ini hanya dalam tempoh yang boleh dikatakan agak singkat memandangkan ia diinspirasikan daripada tarikh bersejarah 9 Mei lalu yang telah merobah landskap negara secara total.

Disebabkan itu jugalah, pihak penerbit dan pencetus idea serta penulis cerita filem Rise Ini Kalilah, Fred Chong tidak mahu melepaskan peluang keemasan dengan menggunakan tempoh empat bulan selepas 9 Mei itu untuk menghadiahkan sebuah filem khusus buat rakyat Malaysia.

Aktor berkarisma, Remy Ishak memegang watak sebagai seorang anggota polis dan bapa bernama Azman.

Ditambah pula barisan pelakon filem Rise Ini Kalilah ini juga bukan calang-calang apabila ia dibarisi dari kalangan mereka yang bertaraf Gred A dan ada di antara mereka yang merupakan penerima trofi di Festival Filem Malaysia (FFM).

Lebih menjadikan Rise Ini Kalilah istimewa adalah apabila ia diarahkan oleh tiga orang pengarah yang mewakili kaum utama di negara ini. Mereka yang dimaksudkan adalah bekas Pengarah Terbaik FFM18 (2005), Saw Teong Hin; bekas Pengarah Terbaik FFM26 (2014), Nik Amir Mustapha dan M.S. Prem Nath.

Justeru, apakah filem Rise Ini Kalilah ini wajar untuk tidak ditonton oleh rakyat Malaysia di pawagam sedangkan ia sebenarnya boleh dianggap sebagai hadiah bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang telah mereka lakukan pada tarikh bersejarah itu?

Dalam satu aspek, benar, filem Rise Ini Kalilah memang tidak seharusnya dilepaskan kerana dari sudut pandang penulis, ia adalah sebuah filem yang memiliki sentuhan tersendiri terutama menyentuh tema yang ditampilkan.

Namun, harus diingat, Rise Ini Kalilah tidak mengaibkan sesiapa tetapi lebih kepada mesej tersurat dan tersiratnya tentang pengorbanan rakyat Malaysia menerusi enam buah cerita yang ditampilkan dalam filem ini yang kemudiannya menemui satu titik tumpu iaitu pada hari pengundian.

Aksi Sweet Qismina dan Mira Filzah (kanan) dalam salah satu babak filem 'Rise Ini Kalilah'.

Penulis juga melihat cerita yang ditampilkan dalam Rise Ini Kalilah semuanya begitu dekat dengan rakyat Malaysia seperti mana yang telah kita baca, dengar dan lihat ketika menjelangnya Pilihanraya Umum Ke-14 yang mana rata-ratanya mahu melihat perubahan drastik dalam tampuk pemerintahan negara.

Bukan hanya itu, Rise Ini Kalilah juga menampilkan cerita dari sudut pandang berbeza menerusi perspektif kehidupan seorang anggota polis, Azman (lakonan Remy Ishak), pemilik agensi pekerja asing, Selva (Shashi Tharan), dua orang petugas media, June (Jenn Chia) dan Marcus (Mark O’Dea) serta perbalahan antara seorang bapa (Thangamani) dan anaknya, Shanti (Sangeeta Krishnasamy) dalam soal prinsip hidup.

Kesemua enam cerita ini yang diinspirasikan daripada semangat rakyat Malaysia ini diolah dan digarap dengan baik selain menggunakan kreativiti penulis lakon layar dalam mencantikkan visual filem ini untuk penonton terus melekat di kerusi sehingga tamat.

Bukan hanya mesej tersurat bahkan mesej tersirat yang ditampilkan membuatkan penulis tersenyum sendirian memikirkan bahawa apa sahaja yang kita lakukan sebenarnya ada impak dan kesan di kemudian hari yang pada hemat penulis merupakan sebuah mesej bersifat sejagat.

Bukan hanya cerita tetapi aspek lakonan juga telah memberi nilai tambah buat filem Rise Ini Kalilah ini berada pada paksi yang tidak mengecewakan sebagai sebuah filem cereka.

Mark O’Dea dan Jenn Chia memegang watak sebagai wartawan dan jurugambar yang berhadapan dengan cabaran tersendiri.

Penulis tidak menafikan bahawa setiap pelakon untuk cerita yang ditampilkan telah memberikan nafas tersendiri untuk karakter masing-masing biarpun secara jujurnya, lakonan mereka bukanlah berada pada tahap yang membolehkan mereka menerima trofi FFM.

Mungkin ada di antara mereka yang mampu menempatkan diri sebagai calon Pelakon Baharu Lelaki dan Wanita Terbaik seperti Mustaqim Bahadon dan Mira Filzah yang sebenarnya tidaklah mengecewakan dalam Rise Ini Kalilah.

Cuma, apabila menampilkan enam buah cerita dalam satu filem, agak sukar untuk menilai mutu lakonan mereka memandangkan waktu mereka di skrin begitu terhad.

Meskipun filem Rise Ini Kalilah digolongkan sebagai sebuah filem yang baik, memiliki kecantikan tersendiri dan tidak mengecewakan tetapi, penulis merasakan seperti ada yang kurang dalam filem ini. Ibarat seperti hidangan gulai yang tidak cukup rasa.

Penulis faham untuk menghasilkan sebuah filem yang diinspirasikan daripada sebuah kisah benar dan besar seperti 9 Mei bukan mudah.

Jika silap perhitungan, ia akan tersasar jauh dan meletakkan karya itu dalam bahaya. Tetapi, jika mengambil langkah yang terlalu selamat pula, ia seperti tidak cukup jiwa dan kurang memberikan impak yang sewajarnya dirasai.

Salah satu babak dalam filem Rise Ini Kalilah yang diinspirasikan daripada peristiwa bersejarah 9 Mei 2018.

Barangkali perasaan menonton Rise Ini Kalilah itu tidak dapat menyamai dengan perasaan realiti yang dirasai ketika menjelangnya hari pengundian yang sememangnya membuatkan kita meremang bulu roma membaca kisah-kisah rakyat Malaysia berdepan dengan cabaran sebagai pengundi selain melalui pengalaman sendiri.

Entah mengapa penulis turut merasakan Rise Ini Kalilah seperti mahu dihasilkan dalam keadaan yang tergesa-gesa hanya kerana tidak mahu temanya itu dilihat sebagai lemau dan basi seandainya ia diterbitkan mungkin setahun atau dua tahun daripada sekarang.

Mungkin juga penulis letakkan harapan yang tinggi untuk melihat Rise Ini Kalilah mencapai satu standard yang dapat memberikan kepuasan maksimum tetapi atas faktor-faktor tertentu menyebabkan ia tidak kesampaian sehingga Rise Ini Kalilah lebih layak untuk menjadi sebuah projek telefilem istimewa berbanding filem cereka.

Seperkara yang harus diingat bahawa untuk sebuah peristiwa bersejarah seperti 9 Mei 2018, ia tidak akan ditelan waktu kerana sudah termaktub dalam sejarah. Disebabkan itu, jika mahu menghasilkan yang diinspirasikan daripadanya, ia akan menjadi relevan kerana ia sesuatu yang sukar untuk dilupai oleh rakyat.

Lakonan Mira Filzah sebagai Fizah tidak mengecewakan.

Pun begitu, penulis meletakkan skor muzik Rise Ini Kalilah sebagai sebuah karya yang indah dan berada pada satu tahap yang membanggakan. Manakan tidak, ia merupakan hasil kerja penerbit muzik tersohor, Mac Chew yang cukup dikenali sebagai salah seorang pemuzik negara bertaraf Gred A.

Malah, lagu patriotik popular, Sejahtera Malaysia yang dinyanyikan semula oleh penghibur legenda, Datuk Sheila Majid juga memberikan satu mood yang berbeza sewaktu lagu itu berkumandang dan cocok dengan momen dan babak yang berlaku.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Rise Ini Kalilah , Saw Teong Hin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan