‘One Two Jaga’ sebuah karya mahal Nam Ron dan rakan-rakan - Wayang | mStar

‘One Two Jaga’ sebuah karya mahal Nam Ron dan rakan-rakan

Diterbitkan: Khamis, 13 September 2018 10:00 AM

Amerul Affendi (tengah) sebagai Adi yang ternyata memberikan lakonan cemerlang dalam 'One Two Jaga'.

(Ubah saiz teks)

Filem: One Two Jaga

Pengarah: Nam Ron

Pelakon: Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Amerul Affendi, Azman Hassan, Asmara Abigail, Chew Kin Wah dan Izuan Fitri

Genre: Drama

Durasi: 80 minit

Pengedar: TGV Pictures

Tarikh Tayangan: 6 September 2018

SEBELUM penulis meneruskan dengan ulasan filem One Two Jaga ini, penulis menzahirkan rasa simpati terhadap filem kedua arahan Nam Ron yang juga bekas calon Pengarah Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 (2014) ini.

Perasaan itu lahir adalah kerana penulis menyifatkan kemunculan One Two Jaga pada tayangan umumnya 6 September lalu sebagai ‘salah langkah’.

Jangan salah faham pula. Penulis maksudkan begitu kerana sebelum munculnya One Two Jaga, senario filem tempatan masih belum reda dengan fenomena dua buah filem sebelum itu, Munafik 2 dan Hantu Kak Limah.

Mahu atau tidak, harus diakui, dari satu aspek, One Two Jaga ‘tenggelam’ dengan penangan dua buah filem itu lalu berdepan dengan sedikit kesulitan untuk menonjolkan diri kepada khalayak.

Filem One Two Jaga arahan Nam Ron sememangnya layak untuk diangkat sebagai karya terbaik.

Tetapi itu bukan satu masalah sebenarnya kerana sinema tempatan memang perlukan variasi dan tidak terhad kepada satu-satu genre sahaja hanya kerana ia mendapat sambutan hangat penonton.

Sehubungan itu jugalah, khalayak filem harus sedar dan membuka mata bahawa One Two Jaga tidak wajar dilepaskan begitu sahaja kerana ia merupakan sebuah karya yang wajib ditonton.

Bukan omongan kosong atau hanya sekadar mahu memuji melangit, tetapi, setakat ini penulis meletakkan One Two Jaga sebagai calon utama untuk mengungguli FFM30, Disember nanti di samping Munafik 2 dan Dukun.

Menonton One Two Jaga sememangnya memberikan kepuasan maksimum kepada penulis yang tidak hanya menonton dari sudut pandang sebagai seorang penonton biasa tetapi juga seorang pengkritik.

Jika dinilai secara zahirnya, cerita One Two Jaga sebenarnya adalah biasa. Terma biasa yang penulis gunakan itu adalah merujuk kepada tentang cerita masyarakat yang sudah acap kali dipaparkan dalam media.

Barangkali ada yang akan mempersoalkan tentang isu rasuah dan pendatang haram di negara ini yang bukan sehari dua sudah ditelanjangkan.

Tetapi, Nam Ron selaku pengarah dan salah seorang penulis ceritanya telah menukarkan senario biasa itu menjadi sebuah karya mahal yang patut diletakkan pada tahap yang selayaknya.

Lebih tepat lagi, kehadiran One Two Jaga disifatkan sebagai bertepatan seiring dengan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan baharu untuk lebih membuatkan penonton berasa lebih dekat dengan ceritanya.

Pemilihan aktor dan aktres seberang, Ario Bayu dan Asmara Abigail memang tepat dan tidak perlu dipertikaikan.

Jika ada yang merasakan One Two Jaga dibikin sekadar mahu menjatuhkan imej badan beruniform di negara ini, buang sahaja segala prasangka itu kerana isu dan tema yang diketengahkan adalah bersifat sejagat.

Dalam erti kata lain, siapa makan cili dia terasa pedasnya. Penulis percaya Nam Ron boleh sahaja mahu mengenengahkan isu gejala rasuah dalam sektor korporat dan seumpamanya tetapi bukankah itu sudah terlalu klise?

Penulis melihat pemilihan dunia kepolisan sebagai latar untuk membicarakan secara visual isu rasuah adalah tepat kerana ia adalah realiti dalam masyarakat di negara ini tetapi jarang sekali disentuh.

Garapan cerita One Two Jaga dihasilkan dengan begitu teliti dan kemas sehinggakan penulis seperti sedang melihat Nam Ron dan rakan-rakannya sedang bermain susun suai gambar (jigsaw puzzle) sehingga lengkap.

Tidak ada yang sukar mahupun memberatkan minda menonton One Two Jaga kerana ceritanya dijalin dengan baik untuk penonton memahami setiap watak yang dilalui dalam cerita masing-masing.

Jalinan itu bermula pada satu titik punca yang akhirnya berkembang cantik dan mekar untuk memperlihatkan satu realisme yang sebenarnya bukan satu isu baharu dan memang berlaku dalam masyarakat kita.

Babak yang memiliki metafora tersendiri adalah sewaktu di sebuah kedai makan yang memperlihatkan kehadiran James (Chew Kim Wah), Zul (Along Eyzendy), Hassan, Hussein dan Sahronizam Noor (watak tidak bernama) duduk di meja makan sambil menikmati juadah ketam.

Nam Ron sebagai Datuk dan Chew Kim Wah (James) dalam salah satu babak filem One Two Jaga.

Dalam masa yang sama, mereka memperkatakan tentang masalah intergriti, kehendak dan nasib diri tetapi dalam gaya bahasa yang cukup bermadah hanya dengan mengembangkan idea berkenaan daripada pepatah lama seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Kehadiran One Two Jaga juga secara pantas mengingatkan penulis kepada sebuah filem Filipina, Ma’ Rosa (2016) yang pernah penulis tonton di pawagam tempatan sekitar tahun lalu. Barangkali milieu dan permasalahan cerita berkenaan berkait rapat dengan latar cerita One Two Jaga.

Garapan cerita yang baik itu juga disokong dengan aspek teknikal yang menguatkan lagi One Two Jaga untuk menjadi karya cemerlang.

Ini dapat dilihat pada aspek suntingan oleh bekas calon Pengarah Harapan FFM27 (2015), Razaisyam Rashid yang telah memberikan hasil kerja terbaiknya tanpa adanya compang-camping untuk naskhah ini.

Ditambah pula dengan permainan warna dan mood telah menjadikan aspek sinematografi One Two Jaga oleh bekas calon Sinematografi Terbaik FFM dua kali, Helmi Yusof menepati intipati ceritanya yang berkisar kepada dunia gelap.

Namun, penulis melihat kesempurnaan One Two Jaga adalah kecemerlangan lakonan oleh barisan pelakon filem ini yang sememangnya bertaraf Gred A. Ia sekali gus menyamai standard yang serupa pernah dilakar oleh filem Bunohan (Dain Said, 2012).

Watak pegawai polis bernama Hassan lakonan Rosdeen Suboh memberikan interpretasi tersendiri.

Terbit rasa puas yang cukup maksimum menonton barisan pelakon filem ini walaupun mereka bukanlah dari kalangan pelakon popular yang memiliki jutaan pengikut di laman sosial.

Dek kerana itu jugalah yang membezakan istilah pelakon berkualiti dan mereka yang hanya bersandarkan populariti semata-mata sedangkan jiwa sebagai seorang pelakon itu masih cetek.

Masing-masing melakonkan watak mereka dengan cemerlang tanpa perlu membuktikan siapa hebat di layar. Kesemuanya kelihatan seimbang dan setiap pelakon memiliki kehebatan tersendiri dalam menterjemahkan watak mereka.

Setiap watak telah diberikan kepada pelakon yang sememangnya layak untuk membawakannya. Usah pertikaikan mengapa pelakon Indonesia, Ario Bayu (Sugiman) dan Asmara Abigail (Sumiati) dipilih membawakan watak pendatang asing kerana itu adalah pilihan tepat.

Bukankah akan kelihatan canggung jika ada pelakon Malaysia yang memerankan watak berkenaan tidak berupaya membawakan watak itu dengan baik seandainya sebutan dan loghat itu tidak kena dan konsisten sekaligus mencacatkan mood cerita itu sendiri?

Sehinggakan watak kecil juga diberikan kepada pelakon berpengalaman dan berkaliber iaitu Anne James dan Farah Ahmad masing-masing membawakan watak pengetua sekolah dan polis wanita.

Salah satu babak filem One Two Jaga yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Bahkan, kemunculan seketika bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM20, Vanidah Imran sebagai isteri Hassan juga memberikan impak terutama pada babak akhir.

Itulah yang penulis namakan sebagai kesempurnaan dan kebijaksanaan Nam Ron dan Bront Palarae selaku penerbit yang teliti dalam soal pemilihan pelakon yang tepat untuk setiap watak berdialog dalam One Two Jaga.

Penulis harus katakan bahawa watak Adi yang dibawakan oleh bekas pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM27, Amerul Affendi paling mencuri perhatian dalam One Two Jaga.

Lakonannya memang bersahaja namun dalam masa yang sama, tuntutan emosi dan jiwanya sebagai Adi cukup menyerlah sehinggakan penulis meletakkan Amerul sebagai calon utama untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM30 kelak.

Walaupun One Two Jaga pastinya tidak mampu mencatatkan kutipan puluhan juta ringgit tetapi nilai estetika, eksklusif dan jiwa yang mahal itulah yang menjadikan One Two Jaga wajar dihargai dan dihormati.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

 

Tags / Kata Kunci: Nam Ron , One Two Jaga
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan