Di sebalik kehebatan ‘Pulang’ terselit jua celanya - Wayang | mStar

Di sebalik kehebatan ‘Pulang’ terselit jua celanya

Diterbitkan: Khamis, 2 Ogos 2018 9:30 AM

Bukan hanya dari aspek penceritaan, filem ‘Pulang’ turut mempertaruhkan keindahan sinematografi.

(Ubah saiz teks)

Filem: Pulang

Pengarah: Kabir Bhatia

Pelakon: Remy Ishak, Puteri Aishah, Erwin Dawson, Azrel Ismail, Alvin Wong, Sherry Al Jeffry, Datuk Jalaluddin Hassan, Syazuwan Hassan dan Juliana Evans

Genre: Drama

Durasi: 120 minit

Pengedar: Primeworks Studios

Tarikh Tayangan: 26 Julai 2018

SEHINGGA ke hari ini, penulis masih meletakkan filem cereka pertama arahan Kabir Bhatia, Cinta (2006) sebagai salah sebuah filem tempatan terbaik yang pernah dihasilkan.

Malah, dalam senarai sembilan filem yang sudah diarahkan Kabir, Cinta yang juga merupakan Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19 – 2007) itu turut berada di kedudukan paling atas filemografi Kabir sebagai seorang pembikin filem.

Dalam erti kata lain, Cinta sudah menjadi mahakarya Kabir dan telah meletakkan satu tanda aras baharu dalam sinema tempatan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut cerita dan lakon layar tetapi aspek sinematografi.

Gandingan pertama Remy Ishak dan Puteri Aishah dalam filem 'Pulang'.

Pun begitu, itu tidak bermakna karya-karya Kabir selepas Cinta tidak hebat. Cuma mereka berdiri atas kapasiti genre dan tema yang berbeza tetapi masih memperlihatkan keunggulan Kabir.

Antaranya adalah Bisik Pada Langit (2017), Dollah Superstar (2014), Setem (2010) dan Love (2008) yang berada dalam senarai filem kegemaran penulis.

Justeru, apabila Kabir kembali dengan filem ke-10 arahannya, Pulang yang menjengah pawagam tempatan minggu lalu, penulis meletakkan harapan tinggi untuk melihat karya baharunya itu.

Sementelah mengambil masa lebih kurang tiga tahun untuk disempurnakan, pastinya peminat filem tempatan amnya mahu melihat sejauh manakah kehebatan filem Pulang yang juga merupakan filem epik dan berbajet besar (kos penerbitan sebanyak RM6 juta) arahan Kabir ini.

Penulis yang berkesempatan menonton Pulang beberapa hari lalu pulang dengan perasaan bercampur-baur sehingga otak terus ligat memikirkan bagaimana hendak mengulas filem ini.

Sebagai permulaan, biarlah penulis menyentuh tentang kecemerlangan Pulang terlebih dahulu. Penulis tidak menafikan bahawa cerita Pulang yang berdasarkan idea daripada Datuk Ahmad Izham Omar dan bapanya, Omar Othman ini memang berada dalam kelas tersendiri.

Dari sudut penceritannya, Pulang bukan sebuah kisah cinta biasa yang sering kita tonton menerusi drama di televisyen. Bahkan, kisah cinta dalam Pulang cukup unik dan jarang sekali dipersembahkan kepada khalayak tempatan.

Memang tidak dinafikan kekuatan cerita filem Pulang tetapi disebabkan kelemahan aspek teknikal menyebabkan ia menjadi sedikit cacat.

Pulang membuka mata dan minda penonton bahawa kisah cinta yang berlaku antara Othman Alias (lakonan Remy Ishak) dan Thom (Puteri Aishah) secara realitinya memang benar-benar wujud.

Jika selama ini, kisah cinta seperti ini sering ditonjolkan dalam filem barat, namun, Pulang hadir dengan sebuah cerita yang berbeza lalu membuktikan bahawa kisah cinta yang selama ini difikirkan adalah mustahil dan tidak mungkin berlaku sebenarnya memang wujud dalam masyarakat kita.

Dengan cerita yang diinsipirasikan daripada kisah benar antara datuk dan nenek Ahmad Izham itu, olahan dan perkembangan cerita itu dicantikkan lagi dengan penghasilan lakon layar gandingan Ahmad Izham bersama-sama bekas pemenang Lakon Layar Terbaik FFM19, Mira Mustaffa yang juga isteri Kabir.

Semuanya tersusun cantik dan perjalanan filem juga bergerak pada paksi yang sewajarnya untuk melengkapkan tempoh masa dua jam filem ini ditayangkan.

Walaupun Pulang adalah sebuah filem genre drama namun, disebabkan keberkesanan lakon layar dan suntingannya, Pulang tidak meleret dan membuatkan penonton resah gelisah di dalam panggung.

Sehinggakan apabila menonton Pulang dan dilihat secara sekali imbas, mahu atau tidak, ia membawa fikiran penulis menerawang membayangkan Pulang yang memiliki sedikit sahaja persamaan dengan filem mega, Titanic (1997) terutama pada babak akhir filem ini.

Pulang mempertaruhkan bakat baharu, Puteri Aishah sebagai Thom.

Dari sudut pengarahan, Kabir masih lagi mengekalkan magisnya sebagai seorang sutradara lalu membuktikan filem drama dan melodrama sememangnya sudah sebati dalam dirinya.

Mungkin disebabkan itu jugalah, sepanjang berkarya sebagai seorang pembikin filem, Kabir hanya mengarahkan tiga filem komedi sahaja iaitu Gila Baby (2014), Dollah Superstar (2014) dan Setem (2010) manakala selebihnya adalah filem drama.

Menyentuh tentang lakonan pula, Remy masih membuktikan keunggulannya sebagai aktor berkaliber negara apabila watak Othman dengan cara lakonannya yang tersendiri.

Penulis tidak skeptikal dengan lakonan Remy kerana percaya watak berat adalah makanan anak kelahiran Melaka dan dia mampu membawakannya dengan baik.

Tidak mustahil untuk Remy tersenarai sebagai salah seorang calon utama bagi Pelakon Lelaki Terbaik dan mungkin trofi itu akan menjadi miliknya pada FFM akan datang.

Lakonan Puteri Aishah pula masih memerlukan penambahbaikan menyeluruh jika pelakon genit ini benar-benar mahu menjadi seorang aktres yang disegani satu hari nanti.

Azrel Ismail memegang watak sebagai Omar Othman.

Watak Thom di tangan Puteri Aishah ada kalanya tidak konsisten dan agak sukar untuk merasai penderitaan serta kesedihannya ditinggalkan suami yang berkorban berkelana ke seluruh dunia demi mencari nafkah untuk keluarga.

Tetapi, watak berkenaan sesuai dengan personaliti dan kelembutan wajah Puteri Aishah yang membuatkan penulis percaya bahawa itu adalah sebab mengapa Thom menjadi miliknya.

Pun begitu, penulis tidak dapat menzahirkan rasa kecewa terhadap Pulang yang ada celanya dari beberapa aspek yang penulis sifatkan mampu untuk terus mengukuhkan acuan Pulang menjadi filem terbaik.

Disebabkan hanya kesilapan dan kelemahan teknikal, ia telah mencacatkan mood penulis menonton Pulang dan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi memikirkan ia adalah karya Kabir.

Aspek sinematografi bukan hanya terletak kepada permainan kamera dalam menzahirkan visual yang menarik tetapi penggunaan warna itu juga penting terutama untuk filem epik seperti Pulang.

Namun, itu tidak wujud dalam Pulang dan sebaik sahaja filem Pulang bermula, penulis mula tertanya apakah Pulang sebuah filem kontemporari ataupun epik?

Watak Ahmad Izham Omar sememangnya tepat untuk Erwin Dawson.

Penggunaan warna untuk memperlihatkan peredaran zaman itu tidak selari lalu menjadi kesinambungan filem Pulang itu tidak bergerak dengan kemas dan cantik. Walhal, ia mampu untuk berbuat demikian jika aspek itu diberi penekanan.

Mungkin kedengaran mudah dan dilihat enteng, tetapi permainan warna memainkan peranan sangat penting untuk membangkitkan mood selain menjadi satu bahasa visual untuk penonton menyelami dan merasai satu-satu babak itu.

Malah, penggunaan warna yang betul dan tepat juga mampu membawa penonton berada dalam milieu cerita itu untuk merasai pengalaman tersebut. Pulang memiliki kekurangan aspek ini untuk melengkapkan ia menjadi sebuah filem epik.

Penulis tidak menafikan bahawa hasil kerja kamera Zambere Mohamed Haras (Cicakman 3, 2015) memang cantik dan indah tetapi ada ketika ia kelihatan terlalu mencuba dan berlebih-lebihan dalam beberapa babak yang sepatutnya tidak dilakukan sedemikian.

Apatah lagi, ia disulami dengan skor muzik oleh Aubrey Suwito lalu menjadikan ia kelihatan sebagai sebuah montaj.

Begitu juga dengan rekaan kostum dan busana yang juga membuat penulis berfikir apakah pada zaman sebelum merdeka penduduk kampung seperti yang digambarkan dalam Pulang memakai pakaian yang cantik dan kemas serba baharu seperti itu?

Antara mereka yang terlibat dalam Pulang.

Malah, Thom yang berhadapan dengan kesulitan dan kesempitan hidup masih memiliki rumah yang dihiasi dengan langsir yang cantik dan baharu seolah-olah baru ditempah dari gedung Kamdar.

Disebabkan itu, walaupun aspek seperti itu mungkin pada mata orang lain nampak mudah dan tidak wajar diambil perhatian, tetapi, ia sebenarnya memainkan peranan besar serta meninggalkan impak jika tidak diberi penelitian.

Persoalan itu juga melibatkan pertuturan dan dialog yang dilontarkan oleh pemain watak dalam Pulang yang tidak selari dan konsisten. Ada ketika ia diucapkan dalam bahasa Melayu lama tetapi ada ketika dalam bahasa Melayu moden.

Jika ditanya kepada penulis kedudukan Pulang pada skala 1 hingga 5, penulis memberikan tiga setengah bintang sahaja. Ia mampu untuk mendapat empat atau mungkin empat setengah bintang jika Pulang lengkap dengan tidak meminggirkan aspek dan kelemahan penulis sebutkan.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Pulang , Remy ishak , Kabir Bhatia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan