‘Skyscraper’ sekadar lengkapkan portfolio Dwayne Johnson - Wayang | mStar

‘Skyscraper’ sekadar lengkapkan portfolio Dwayne Johnson

Diterbitkan: Khamis, 19 Julai 2018 10:00 AM

Walaupun kutipan pembukaan filem ‘Skyscraper’ tidak menepati jangkaan, ia dilihat telah memperkukuhkan portfolio seni Dwayne Johnson.

(Ubah saiz teks)

Filem: Skyscraper

Pengarah: Rawson Marshall Thurber

Pelakon: Dwayne Johnson, Neve Campbell, Chin Han, McKenna Roberts, Noah Cottrell, Roland Moller dan Pablo Schreiber

Genre: Aksi/Drama

Durasi: 102 minit

Pengedar: United International Pictures

Tarikh Tayangan: 12 Julai 2018

NAMPAKNYA filem baharu lakonan Dwayne Johnson iaitu Skyscraper tidak bermula dengan baik apabila ia hanya mampu mencatatkan kutipan pembukaan sebanyak AS$24.9 juta (RM100.6 juta) di Amerika Syarikat (AS), minggu lalu.

Walaupun filem arahan Rawson Marshall Thurber (Central Intelligence, 2016) itu dilihat berpotensi besar untuk menjadi salah sebuah filem terlaris musim panas tahun ini selain nilai bintang Johnson sebagai aktor, ia tidak dapat membantu Skyscraper menguasai panggung (di tempat ketiga selepas Hotel Transylvania 3: Summer Vacation dan Ant-Man and the Wasp).

Dwayne Johnson membawakan watak sebagai Will Sawyer yang perlu berhadapan dengan kesulitan dalam menyelamatkan keluarganya.

Persoalan mula dibangkitkan oleh pemerhati dunia hiburan Hollywood khususnya pengkritik dan wartawan filem yang tidak menolak kemungkinan bahawa kekerapan Johnson muncul dalam deretan filem menjadi faktor penyumbang kepada kutipan lemah Skyscraper.

Faktor itu ada benarnya juga kerana sebelum Johnson muncul dengan Skyscraper, bekas bintang gusti WWE itu baharu sahaja muncul dengan filem Rampage, April lalu dan tiga buah filem lain sepanjang tahun 2017 (Jumanji: Welcome To The Jungle, Baywatch dan Fast & Furios 8).

Pun begitu, soal berkenaan sebenarnya subjektif walaupun apa yang diperkatakan itu ada kebenarannya.

Penulis yang berkesempatan menonton Skyscraper baru-baru ini turut berpendapat bahawa Johnson atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, The Rock itu perlahan-lahan menampakkan ketepuannya sebagai bintang filem aksi khususnya.

Secara jujurnya, Skyscraper berada dalam acuan filem aksi yang sudah biasa ditonton sebelum ini tetapi karya yang ditulis oleh Marshall Thurber itu bukanlah berada dalam kategori buruk mahupun teruk.

Malah, menonton Skyscraper sedikit sebanyak mengingatkan penulis kepada filem lakonan Bruce Willis, Die Hard yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-30.

Salah satu babak cemas lakonan Dwayne Johnson dalam filem Skyscraper.

Dari sudut nilai sinematiknya, Skyscraper menawarkan sesuatu yang indah terutama dari sudut sinematografi dan suntingan yang meletakkan filem ini pada tempo yang menepati genre aksi itu sendiri.

Permainan visual, efek visual yang memberangsangkan serta gerak kamera yang penulis anggap sebagai membanggakan dalam konteks filem ini telah berjaya memberikan satu pengalaman ngeri buat penonton khususnya pada babak-babak cemas.

Semuanya berbalik kepada judul filem itu sendiri yang berlegar kepada situasi yang berlaku dalam bangunan pencakar langit moden dan sofistikated yang dibina di Hong Kong dan menjadi bangunan paling tinggi di dunia.

Pada babak tertentu juga, ia menghadirkan rasa gayat tatkala menontonnya sehingga membuatkan penulis mengetap bibir seolah-olah terasa berada di tempat kejadian dan mengalami pengalaman berkenaan.

Namanya pun filem aksi. Jadi, pada satu aspek lain, soal logik dan tidak masuk akal itu terbit juga di minda apatah lagi melihatkan watak Will Sawyer lakonan Johnson yang tidak dapat lari daripada klise seperti penulis sebutkan di atas.

Permainan visual dan efek filem Skyscraper boleh dibanggakan.

Secara lahiriahnya, perspektif penulis melihat watak berkenaan ada pro dan kontranya. Dari sudut positifnya, kemunculan Johnson itu memberi dimensi baharu terhadap pelakon aksi sepertinya yang bukan berketurunan kulit putih (Johnson berdarah kacukan kulit hitam dan Samoa).

Jika beberapa dekad lalu, nama-nama yang cukup sinonim dengan filem aksi dan bertubuh sasa seperti Arnold Schwarzenegger, Sylvester Stallone, Jean-Claude Van Damme dan Dolph Lundgren mewarnai sinema dunia dengan lakonan mereka.

Tetapi, takhta berkenaan sudah diambil alih oleh Johnson dan Skyscraper telah memperkukuhkan portfolio Johnson sebagai seorang bintang aksi tersohor dunia sekaligus membuktikan pelakon bukan kulit putih sepertinya mampu menawan peminat filem amnya.

Kontranya pula adalah lebih kepada watak Sawyer itu sendiri yang digambarkan sebagai seorang yang kurang upaya selepas insiden yang berlaku dalam hidupnya sewaktu berkhidmat sebagai seorang bekas tentera AS.

Seperti mana penulis menyentuh soal logik itu sendiri, penulis melihat sepanjang masa keadaan fizikal Sawyer itu digambarkan sebagai sempurna dan cukup sifat.

Pelakon kelahiran Singapura, Chin Han (kiri) dan Dwayne Johnson dalam salah satu babak filem Skyscraper.

Tertanya juga apakah orang kurang upaya sepertinya yang memiliki kaki palsu mampu melakonkan babak-babak aksi yang bergerak lancar sehingga ada ketika penulis merasakan watak Sawyer itu seperti orang normal.

Disebabkan itu dan dari satu sudut yang lain juga, penulis melihat Skyscraper tidak ubah seperti filem yang hanya mahu menjual populariti Johnson selepas melihat deretan filemnya sebelum itu berada dalam kategori pecah panggung.

Dari satu aspek lain yang menyentuh tentang temanya, Skyscraper dengan jelas mahu menonjolkan sikap dan realiti kehidupan manusia yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Apabila manusia memiliki segala-galanya – kuasa, wang dan kedudukan, perasaan rakus dan tidak pernah berasa puas akan terus beraja di hati walaupun diduga kerana itulah fitrah sebagai manusia waima sekelumit sahaja.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Skyscraper , Dwayne Johnson
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan