Kecemerlangan berganda ‘Ant-Man and the Wasp’ - Wayang | mStar

Kecemerlangan berganda ‘Ant-Man and the Wasp’

Diterbitkan: Rabu, 11 Julai 2018 10:00 AM

Gandingan Evangeline Lilly sebagai Wasp dan Paul Rudd (Ant-Man) ternyata ada keserasiannya dan langsung tidak kelihatan canggung di layar.

(Ubah saiz teks)

Filem: Ant-Man and the Wasp

Pengarah: Peyton Reed

Pelakon: Paul Rudd, Evangeline Lilly, Michael Douglas, Michael Pena, Hannah John-Kamen, Laurence Fishburne dan Michelle Pfeiffer

Genre: Aksi/Sains Fiksyen

Durasi: 118 minit

Pengedar: Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan: 4 Julai 2018

SEWAKTU filem Ant-Man ditayangkan tiga tahun lalu, ia telah menjadi filem kegemaran penulis yang disifatkan sebagai karya berani daripada Marvel Studios.

Berani dalam konteks tersebut adalah merujuk kepada inisiatif Marvel Studios yang dilihat mahu lari daripada acuan filem adaptasi komik tipikal yang telah diterbitkan mereka sebelum itu.

Ditambah pula filem berkenaan menampilkan aktor yang cukup sinonim dengan watak komedi, Paul Rudd sebagai watak adiwira Scott Lang dan alter egonya, Ant-Man membuatkan ramai yang agak skeptikal dengan penghasilan Ant-Man.

Namun, semua sangkaan itu meleset apabila Ant-Man melepasi jangkauan pengkritik filem dan wartawan hiburan serta peminat filem amnya yang rata-rata telah memberikan maklum balas positif sekaligus mencatatkan kutipan pecah panggung melepasi RM2.014 billion di seluruh dunia.

Dari sudut lain, kejayaan Ant-Man membuktikan bahawa watak adiwira yang tergolong dalam strata kurang popular jika hendak dibandingkan dengan watak komik Marvel yang lain juga mampu memberikan kepuasan buat pencinta filem adaptasi komik.

Bahkan, Ant-Man juga lari daripada pengimejan sosok tubuh sasa apabila Rudd diberi kepercayaan menerajui filem arahan Peyton Reed itu yang sedikit sebanyak telah menaikkan kembali taraf populariti Rudd sebagai aktor di Hollywood.

Justeru, selepas mengubat kerinduan peminat apabila muncul dalam filem Captain America: Civil War (2016), kini, Ant-Man kembali dengan filem susulannya, Ant-Man and the Wasp yang memperlihatkan Ant-Man tidak keseorangan dalam menyempurnakan misi baharu yang menantinya.

Kali ini, Ant-Man mendapat mandat bagi membantu Hope van Dyne (lakonan bekas bintang siri televisyen Lost, Evangeline Lilly) atau alter egonya, Wasp dengan memasuki ruang kuantum untuk mencari ibunya, Janet van Dyne (Michelle Pfeiffer) yang hilang sejak 30 tahun lalu.

Dengan bantuan bapa van Dyne, Hank Pym (Michael Douglas) yang telah mencipta dan membina sebuah terowong dalam makmal mudah alih, rancangan mereka itu tidak berjalan lancar apabila mereka mula diganggu oleh seorang wanita, Ava Starr atau Ghost (Hannah John-Kamen) yang memiliki kuasa untuk menembusi ruang.

Bukan itu sahaja, disebabkan kesilapan Ant-Man sewaktu menyertai pertempuran bersama barisan Avengers yang lain dalam Captain America: Civil War, ia membuatkan van Dyne dan Pym menjadi buruan polis selain Ant-Man sendiri menjadi tahanan dalam rumah selama dua tahun.

Salah satu babak yang memperlihatkan kecemerlangan aspek efek visual dalam Ant-Man and the Wasp.

Seperti mana pengalaman menyeronokkan yang penulis rasai sewaktu menonton Ant-Man, ternyata Ant-Man and the Wasp juga telah memberikan pengalaman serupa buat penulis terutama setiap kali Ant-Man dan Wasp berganding bahu.

Sekuel yang masih mengekalkan Reed sebagai sutradara itu ternyata masih mengekalkan formula yang telah diguna pakai dalam Ant-Man yakni menggabungkan aksi, komedi dan drama lalu membentuk sebuah jalinan untuk menzahirkan sebuah karya yang seronok ditonton.

Namun, keserasian antara Rudd dan Lilly sebenarnya telah memberikan impak yang tersendiri untuk melihat Ant-Man and the Wasp terus bergerak dengan lancar sepanjang hampir dua jam tayangannya.

Gandingan dua bintang itu tidak memerlukan penonton untuk berasa terpaksa menyukai mereka tetapi ia lahir dengan secara sendirinya lalu membuktikan sekali lagi bahawa Ant-Man and the Wasp tidak memerlukan faktor luaran terutama fizikal untuk menjual bakat mereka.

Memang tidak dinafikan, baik Rudd mahupun Lilly, kedua-duanya tidak berada dalam kelompok pemain seni popular dan memiliki rupa paras yang kacak mahupun cantik rupawan tetapi keyakinan diri mereka itu membuatkan watak masing-masing hidup di skrin.

Bukan hanya mereka berdua, tetapi, penulis menyifatkan lakonan Michael Pena sebagai sahabat Lang bernama Luis telah meninggalkan momen tersendiri dan bukan hanya sekadar penyeri tetapi ada fungsinya untuk menambahkan lagi corak indah dalam Ant-Man and the Wasp.


Dua bintang legenda Hollywod, Michelle Pfeiffer dan Michael Douglas turut membintangi Ant-Man and the Wasp.

Menyentuh tentang aspek teknikal pula, Ant-Man and the Wasp tidak kurang hebatnya terutama dari sudut suntingan dan efek visual yang menjadi tumpuan utama untuk filem ini untuk terus kekal pada paksi tanpa tersasar daripada landasannya.

Jika Ant-Man menghadirkan pengalaman seperti menaiki roller coaster, filem ke-20 terbitan Marvel Studios ini juga telah menggandakan pengalaman berkenaan terutama melibatkan babak Ant-Man dan Wasp yang perlu mengubah saiz fizikal mereka dalam babak-babak konfrontasi.

Malah, penceritaan menjadi menarik dalam babak berkenaan apabila Ant-Man bertukar menjadi Giant-Man yang juga salah satu identiti Ant-Man berdasarkan apa yang pernah diterbitkan dalam komik.

Pun begitu, kehadiran Ghost sebagai watak antagonis tidak begitu meninggalkan impak meskipun kuasa yang dimiliki mampu menjadikannya sebagai watak penjahat dalam kelas tersendiri untuk merencatkan rencana Ant-Man dan Wasp.

Sesuatu yang membuatkan penulis tersenyum dan berasa sedikit sentimental menonton karya itu apabila melihat gandingan Douglas dan Pfeiffer yang cukup dikenali sebagai aktor dan aktres popular di zaman kegemilangan mereka (penulis membesar dengan filem-filem lakonan mereka).

Watak Ava Starr atau Ghost lakonan Hannah John-Kamen tidak begitu meninggalkan impak.

Biarpun masing-masing sudah melewati usia 60 tahun, tetapi kehadiran mereka bukan sekadar untuk menjadi pelengkap tetapi watak yang diberikan kepada mereka begitu penting dalam konteks penceritaan filem tersebut.

Sedikit maklumat tentang watak Janet van Dyne atau alter egonya, The Wasp yang mungkin tidak ramai yang tahu apabila beliau sebenarnya merupakan pengasas, ketua asal The Avengers yang juga menjadi ahli paling aktif dan lama berkhidmat untuk pasukan tersebut.

Disebabkan itu jugalah, penulis tidak sabar untuk menantikan kemunculan Janet van Dyne bersama keluarganya dan Ant-Man dalam filem keempat The Avengers yang akan ditayangkan lebih kurang 10 bulan daripada sekarang.

Michael Pena sebagai Luis telah menghidupkan perjalanan cerita Ant-Man and the Wasp.

Malah, dua babak pasca kredit selepas berakhirnya Ant-Man and the Wasp telah menjawab persoalan peminat berhubung kehilangan Ant-Man sewaktu Avengers: Infinity War dan gambaran yang bakal berlaku seterusnya nanti.

Biarpun sehingga ke hari ini tiada sebarang pengesahan tentang filem ketiga Ant-Man tetapi, penulis harap ia dapat direalisasikan kerana watak Ghost dan Bill Foster (Laurence Fishburne) telah meninggalkan seribu satu persoalan terutama watak Foster yang juga tidak kurang hebatnya dalam sejarah penerbitan komik Marvel.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan