Dia penerbit... dialah pelakon! Boy Iman syok sendiri ke? - Wayang | mStar

Dia penerbit... dialah pelakon! Boy Iman syok sendiri ke?

Diterbitkan: Khamis, 28 Jun 2018 2:17 PM

Tiga pelakon asal dari telemovie Blok 404 iaitu Boy Iman (kiri), Zamarul Hisham dan Raja Azrey dikekalkan dalam filem.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit filem Datuk Boy Iman menafikan filem terbitannya Blok 404 seakan-akan 'syok sendiri' seperti yang diperkatakan.

Biarpun Boy, 38, mengeluarkan kos untuk pembikinan filem itu namun dia menyerahkan tanggungjawab kepada pengarah Isma Aizal Yusoof untuk memilih barisan pelakon utama.

Menurut pemilik nama Norul Iman Abd Rahman ini, dia menganggap pengarah adalah ketua yang menentukan segalanya untuk sesebuah karya.

"Memang saya yang terbitkan dan keluarkan kos untuk filem itu. Tapi bukan saya sendiri yang tawarkan diri untuk jadi pelakon utama.

Teraju utama filem Blok 404 dari kiri Raja Azrey, Amar Asyraf, Nadia Brian dan Boy Iman.

"Saya serahkan tanggungjawab itu kepada pengarah Isma untuk dia nak pilih siapa pelakon bagi menjayakan filem tersebut.

"Kalau saya gunakan kuasa, sudah tentu saya pilih watak yang tidak akan mati atau tidak mati awal dalam filem itu," kata Boy kepada mStar Online.

Filem itu menelan belanja sebanyak RM600,000 dan dia menyasarkan kutipan sebanyak RM5 juta.

Menerusi filem terbitan DBI Entertainment itu, Boy memegang salah satu watak utama sebagai Zul.

Isma selaku pengarah yang memilih barisan pelakon.

Kata Boy, Isma memberitahu watak tersebut tidak sesuai namun dia tetap meneruskan dengan menonjolkan kelainan.

"Saya memegang watak sebagai Zul yang pada awalnya dia seorang yang tenang tetapi berubah menjadi psiko.

"Isma ada beritahu saya yang watak itu macam tak sesuai dengan saya. Tapi saya tetap teruskan dengan menampilkan kelainan.

"Setiap watak dalam filem ini mempunyai identiti tersendiri. Bukan sebab saya nak 'overshadow' pelakon yang lain," ujarnya.

Antara babak cemas Hairi (Amar) dan Misha (Risteena) di dalam hutan.

Selain Boy, ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Zamarul Hisham, Raja Azrey, Nur Risteena, Nadia Brian, Aedy Ashraf, Fasha Sandha dan ramai lagi.

Dalam pada itu, pelakon asal telemovie yang pernah mencetus fenomena pada 2003, Blok 404 ini turut meluahkan rasa kecewa apabila beberapa babak utama terpaksa dipotong.

Boy memberitahu babak tersebut mampu menghidupkan lagi filem itu namun terpaksa akur dengan keputusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Agak kecewa dan sedih juga apabila beberapa babak utama dalam filem ini terpaksa dipotong sebab katanya tidak bersesuaian untuk ditonton.

"Ikutkan babak yang dipotong dalam 30 minit. Saya berharap pihak tertentu dapat mempertimbangkan untuk melakukan perubahan.

Kemunculan Fasha Sandha sebagai Su.

"Kita sekat babak yang tidak sesuai tapi sebenarnya penonton masih boleh menonton di medium lain," katanya.

Filem itu mengisahkan tiga sahabat iaitu Hairi (lakonan Amar Asyraf), Intan (Nadia Brian) dan Zul (Boy Iman) dalam perjalanan untuk bercuti bagi melepaskan tekanan.

Bagaimanapun, kereta mereka rosak di kawasan hutan dan terpaksa berjalan kaki ke rumah tamu 404 yang diuruskan Wan (Raja Azrey) dan Husin (Zamarul) serta pekerjanya Misha (Risteena).

Pelbagai kejadian aneh berlaku pada malam pertama mereka tinggal di rumah tamu itu dan seorang demi seorang dibunuh.

Untuk mengetahui siapa pembunuh dan apa yang terjadi selepas itu, boleh tonton filem ini yang mula ditayangkan di pawagam pada Khamis.

Tags / Kata Kunci: Boy Iman , Blok 404
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan