Luar biasa ‘Dukun’ kerana kehebatan pelakonnya - Wayang | mStar

Luar biasa ‘Dukun’ kerana kehebatan pelakonnya

Diterbitkan: Selasa, 10 April 2018 10:00 AM

Filem 'Dukun' bukanlah diadaptasi sepenuhnya daripada sebuah kes pembunuhan berprofil tinggi tetapi hanya sekadar mengambil intipatinya sahaja.

(Ubah saiz teks)

Filem: Dukun

Pengarah: Dain Iskandar Said

Pelakon: Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae, Hasnul Rahmat, Elyana, Allahyarham Ramli Hassan dan Adlin Aman Ramlie

Genre: Drama/Seram

Durasi: 106 minit

Pengedar: Astro Shaw Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 5 April 2018

SEBELUM penulis meneruskan dengan ulasan filem Dukun yang mula menemui penonton 5 April lalu selepas 12 tahun ditunda tayangannya, hanya satu pesanan penulis untuk mereka yang masih belum menontonnya.

Sebelum membuat keputusan untuk menonton Dukun, pastikan anda membebaskan minda dan fikiran anda daripada memikirkan filem ini adalah diadaptasi sepenuhnya daripada sebuah kes pembunuhan berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara satu ketika dahulu.

Realitinya, Dukun bukan seperti mana yang anda fikirkan. Benar, kesilapan yang dilakukan oleh pihak tertentu 12 tahun lalu dengan mensensasikan Dukun dan mengaitkannya dengan kes berkenaan hanyalah sekadar strategi pemasaran.

Pengarah Dukun iaitu Dain Said (dua dari kanan) bersama para pelakonnya iaitu Hasnul Rahmat (dari kiri), Faizal Hussein dan Umie Aida.

Sudah menjadi resmi sebahagian besar rakyat Malaysia yang memang gemarkan cerita sensasi dan kontroversi kerana memang tidak dinafikan, elemen seperti ini mampu menarik perhatian masyarakat dan akan menjadi bahan perbualan.

Akhirnya, Dukun menjadi mangsa sehingga diperap selama 12 tahun dan secara tiba-tiba, tanpa sebarang hebahan umum, ia dibenarkan tayangannya. Barangkali ia juga strategi Astro Shaw Sdn. Bhd. selaku penerbit selepas Dukun bocor di alam maya.

Justeru, adakah penantian selama 12 tahun itu benar-benar berbaloi untuk sebahagian besar rakyat Malaysia secara amnya yang sudah lama menantikan tayangan Dukun di pawagam? Ulasan penulis yang seterusnya ini akan menjawab persoalan itu.

Bagi penulis yang berkesempatan menonton Dukun pada tayangan awal sebelum tarikh tayangan umum minggu lalu, secara harafiahnya, Dukun sebenarnya adalah sebuah filem yang penulis sifatkan pada skala biasa sahaja. Tidak teruk mahupun buruk.

Bahkan, filem cereka pertama arahan Dain Iskandar Said ini (yang kemudiannya memenangi trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali menerusi filem Bunohan dan Interchange) lebih selesa untuk berada dalam zon selamat.

Dukun memperlihatkan kredibiliti Faizal Hussein sebagai salah seorang pelakon lelaki terbaik.

Dalam erti kata lain, tiada yang spektakular mahupun luar biasa tentang Dukun tetapi dari sudut perspektif yang lain, Dukun memiliki keistimewaan yang menjadikan ia sebagai karya yang berada dalam liga tersendiri.

Penulis tidak menafikan kes pembunuhan berprofil tinggi itu hanyalah dijadikan sebagai intipati kepada pembentukan sebuah cerita yang pada hemat penulis untuk memberikan satu penontonan baharu kepada audiens tempatan.

Tema dan cerita tentang ilmu hitam, sihir dan dunia gelap ini bukanlah baharu apabila memperkatakan tentang konteks pembikinan filem mahupun drama tempatan.

Tetapi, apa yang menjadikan Dukun ini istimewa di mata penulis adalah penciptaan lakon layar dan olahan cerita yang bukan klise.

Sehubungan itu, Dukun tidak hanya bercerita pada satu lapisan semata-mata tetapi memiliki pelbagai lapisan cerita baik secara tersurat mahupun tersirat untuk membuatkan penonton terutama masyarakat Melayu beragama Islam dalam memikirkan tentang peranan kita sebagai seorang hamba.

Apatah lagi, masyarakat Melayu sudah terlalu lama dimomokkan dan minda mereka dijajah dengan pemikiran kolot dan dangkal apabila menyentuh tentang soal ilmu hitam, alam ghaib dan mistik. Benar, sebagai umat Islam, kita harus percaya tentang perkara yang sukar dilihat dengan mata kasar.

Tetapi, bak kata Diana Dahlan (lakonan Datin Seri Umie Aida) dalam salah satu babak sewaktu dia bertemu dengan peguam belanya, Abdul Karim Osman (Faizal Hussein): “Orang kita takut sangat dengan apa yang mereka tak tahu. Apa yang paling mereka takutkan adalah seorang wanita jelita.”

Lakonan cemerlang Umie Aida sebagai Diana Dahlan dalam filem ‘Dukun’ yang kini sedang ditayangkan.

Untuk penulis, dialog yang diucapkan itu sangat kuat dan menggambarkan satu kebenaran tentang masyarakat kita apabila menyentuh tentang sesuatu perkara yang belum dipastikan namun, sudah pun dihakimi terlalu awal sehingga mencetuskan polemik serta perdebatan yang ada kalanya membuang masa dan tenaga.

Malah, dalam konteks berbeza, kekuatan dialog itu sebenarnya lebih merujuk kepada kelemahan sikap dan minda masyarakat kita yang semakin hari semakin mundur dan bersifat jumud biarpun ada ketikanya ia melibatkan isu remeh.

Disebabkan itu, Dukun masih lagi relevan ditonton walaupun ia telah dihasilkan lebih 10 tahun lalu dan tidak terasa ia kelihatan ketinggalan zaman.

Menyentuh aspek teknikal pula, kekuatan Dukun terletak kepada aspek suntingan dan sinematografi yang telah berjaya membangkitkan mood dan membawa penonton kepada satu dunia yang berbeza dari mula filem ini bergerak sehingga ke garisan penamat.

Salah satu babak yang mempamerkan kecemerlangan suntingan oleh Affandi Jamaludin adalah pada babak akhir sewaktu Diana Dahlan menunggu masa nyawanya diambil di tali gantung yang telah dilakukan dengan cukup kemas dan berkesan.

Kemunculan pelakon yang cukup sinonim dengan watak komedi, Kazar Saisi sebagai sang algojo telah memberikan nilai tambah kepada babak berkenaan walaupun tiada sebarang dialog dan cukup sekadar ekspresi wajah serta bahasa tubuhnya sahaja.

Bukan hanya suntingan dan sinematografi semata-mata tetapi, Dukun memiliki merit dari sudut penataan seni yang menyumbang kepada warna cerita ini yang memiliki tema dan pendekatan cerita yang gelap.

Namron (tengah), Bront Palarae dan Jason Chong (kanan) turut membintangi filem Dukun.

Seperti mana yang penulis katakan di atas berhubung filem Dukun yang penulis sifatkan sebagai biasa sahaja itu, sebenarnya telah bertukar menjadi luar biasa hasil persembahan barisan pelakonnya yang penulis letakkan sebagai sangat cemerlang.

Baik dari pelakon utamanya sehinggalah kepada pelakon pembantu, kesemua mereka telah memberikan lakonan yang cukup menyakinkan dan sekali gus melengkapkan Dukun sebagai sebuah filem yang wajar dijadikan rujukan oleh pelakon generasi baharu hari ini untuk mendalami maksud sebenar terma lakonan dan penghayatan.

Keseimbangan setiap watak itu dilakukan dengan baik dan tidak terasa sesiapa pun mahu mencuri tumpuan lebih atau cuba membayangi dan menenggelamkan antara satu sama lain. Disebabkan itu, filem yang memiliki cerita yang biasa boleh bertukar menjadi sebaliknya jika pemilihan pelakon dibuat teliti dan Dukun membuktikannya.

Bahkan watak pembantu seperti Elyana, Mislina Mustaffa dan Allahyarham Ramli Hassan biarpun kemunculan mereka hanyalah seketika, tetapi impak lakonan mereka memang dirasai dan tidak terasa kehadiran mereka itu sebagai tempelan dan tidak dihargai.

Malah, watak misteri yang sebenarnya ada karakter tersendiri dan perlu difahami yang dilakonkan Hasnul Rahmat juga meninggalkan impak tersendiri walaupun tata rias dan solekannya sedikit melucukan.

Hasnul Rahmat dan Faizal Hussein dalam salah satu babak filem Dukun yang menemui penonton tempatan selepas 12 tahun ditunda tayangannya.

Aktor-aktor handalan seperti Faizal Hussein dan Namron pula, berjaya membawakan watak masing-masing dengan penuh berkesan serta menterjemahkan karakter mereka ke layar lalu membuktikan bahawa mereka sememangnya wajar dihormati sebagai pelakon berkaliber negara.

Pastinya, kekuatan dan perjalanan cerita Dukun tidak akan menjadi hebat dan luar biasa tanpa lakonan hebat Umie Aida yang ternyata membuktikan bahawa beliau sememangnya adalah antara pelakon wanita terbaik negara.

Sehinggakan apabila difikirkan jika Dukun dihasilkan dalam landskap filem pada ketika ini, memang tiada pelakon lain yang mampu membawakan watak Diana Dahlan seperti mana persembahan yang telah diberikan oleh Umie.

Lakonan Umie sebagai Diana Dahlan memang cukup cemerlang, konsisten dan berfokus dari awal hingga akhir walaupun sebenarnya mengenali kredibiliti Umie dalam menjayakan watak-watak berat, bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM 16 (2003) menerusi filem Embun itu mampu melakukan lebih berani dan kejam dalam menghidupkan watak Diana Dahlan.

Akan tetapi, menyedari akan sensitiviti dan minda masyarakat negara ini yang masih belum terbuka, Umie telah melakukan sehabis baik dan membentuk acuan Diana Dahlan dalam caranya yang tersendiri. Bukan sekadar omongan kosong tetapi penulis meletakkan Umie sebagai calon utama untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam FFM akan datang.

Dukun sebenarnya adalah sebuah karya biasa tetapi persembahan lakonan para pelakonnya menjadikannya luar biasa terutama lakonan Umie Aida.

Barangkali ada yang akan bertanya mengapakah penulis mengatakan Dukun hanyalah sebuah filem biasa sedangkan ia istimewa di mata penulis.

Ya, benar. Dukun sebuah filem biasa kerana ia tidak memiliki momentum dan keberanian seperti mana yang penulis harapkan dalam konteks yang lebih besar.

Ini kerana Dukun boleh menjadi sebuah filem yang hebat dan luar biasa jika ceritanya dihasilkan dengan lebih berani jika semua pihak terlibat sanggup mengambil risiko untuk menongkah arus.

Tetapi, apabila memperkatakan tentang pelbagai isu birokrasi, sensitiviti dan penerimaan masyarakat yang masih belum terbuka untuk menerima pembaharuan membuatkan penulis faham mengapa Dukun dihasilkan sebegitu rupa seperti mana yang disaksikan di layar lebar.

Natijahnya, Dukun menjadi filem yang selamat dari segenap aspek terutama pada babak akhir filem ini yang penulis sifatkan sedikit klise tetapi dalam masa yang sama, berjaya menyampaikan maksud tersurat dan tersiratnya.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 (Akifma) kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Dukun , Umie Aida , Dain Said
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan