Mesej Sejagat ‘Bidong: The Boat People’ Tidak Kesampaian - Wayang | mStar

Mesej Sejagat ‘Bidong: The Boat People’ Tidak Kesampaian

Diterbitkan: Rabu, 7 Mac 2018 10:00 AM

Tiga pelakon utama filem ‘Bidong: The Boat People’ iaitu Taufiq Hanafi (kanan), Livonia Ricky dan Irene Wong (kiri).

(Ubah saiz teks)

Filem: Bidong: The Boat People

Pengarah: Yusof Kelana

Pelakon: Taufiq Hanafi, Irene Wong, Livonia Ricky, Abby Nour, Z. Zamri, Vanessa Lim, Dickson Chin dan Man Raja Lawak

Genre: Drama

Durasi: 100 minit

Pengedar: Rex Film Distribution Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 1 Mac 2018

BUKAN satu perkara yang mudah untuk mengadaptasi atau mengambil inspirasi daripada sesebuah kisah benar dan kemudiannya diangkat ke layar perak.

Ini kerana ia merupakan satu risiko besar sama ada karya yang dihasilkan itu akan meninggalkan impak dan menjadi sebuah karya hebat yang akan dikenang mahupun sebaliknya.

Apatah lagi, untuk mengangkat sebuah kisah yang dianggap berat dan serius kerana pastinya tugas mengadaptasi itu sememangnya satu tanggungjawab yang tidak wajar dipandang enteng.

Akan tetapi, tugas itu boleh menjadi mudah seandainya penulis lakon layar dan pengarah bekerja keras untuk berfikir di luar kotak dengan menghasilkan sebuah karya yang dapat memberi kesan buat penonton.

Filem Bidong: The Boat People mampu menjadi sebuah filem dengan mesej sejagat tetapi tidak kesampaian.

Tidaklah mengambil kisah benar itu secara bulat-bulat dan menghasilkan lakon layar serta skrip yang akhirnya membuatkan penonton rasa bosan dan seterusnya tidak dapat menghargai karya itu sebaiknya.

Perkara inilah yang terjadi dan dapat penulis simpulkan usai menonton filem Bidong: The Boat People yang sebenarnya boleh menjadi sebuah filem yang hebat dan berkualiti seandainya ada beberapa perkara dititik beratkan seperti penulis sebutkan di atas.

Sebagai pengkritik filem, tugas penulis bukanlah untuk menghentam dan membunuh filem tempatan sebenarnya harapan penulis untuk melihat pembangunan filem tempatan melepasi ke tahap yang lebih baik adalah cukup besar.

Berbalik kepada filem Bidong: The Boat People yang diarahkan oleh pengarah veteran, Yusof Kelana (Tragedi Oktober, 1996), penulis tidak menafikan bahawa subjek dan tema filem ini sebenarnya sangat menarik untuk dipersembahkan ke layar perak.

Sementelah, penulis percaya ramai yang sudah terlupa (termasuk penulis) terutama generasi muda hari ini tentang kisah Pulau Bidong di Terengganu yang pernah menggemparkan negara sekitar pertengahan tahun 70-an.

Justeru, penulis melihat lesen kreatif yang dimiliki oleh Yusof untuk membikin sebuah filem yang berlatar belakangkan kisah pelarian Vietnam di Pulau Bidong itu amat luas.

Pun begitu, impak yang seharusnya dapat diberikan menerusi filem Bidong: The Boat People ini ternyata tidak berupaya untuk meletakkan karya ini ke tahap yang membanggakan kerana terlalu banyak kelemahan sekaligus menjejaskan keseluruhan jalan ceritanya.

Penulis yang berkesempatan menonton filem ini beberapa hari lalu melihat Bidong: The Boat People berpotensi untuk menarik perhatian penulis apabila adegan pembukaannya bergerak dengan langkah penuh yakin dalam mengembangkan cerita seterusnya.

Konflik yang berlaku antara Adib (Taufiq Hanafi) dan Maria (Abby Nour) juga tidak meninggalkan impak dan kurang menyakinkan.

Semuanya bermula daripada peperangan yang meletus di Vietnam dan kemudiannya membuatkan penduduk di negara itu bertempiaran lari mencari peluang untuk berhijrah ke beberapa negara jiran.

Di sini ceritanya bermula apabila ia memfokuskan tentang sepasang suami-isteri yang menyelamatkan diri dengan menaiki bot menuju ke negara berhampiran walaupun sedar akan bahaya dan cabaran yang menunggu mereka.

Sehinggalah mereka dibenarkan untuk menginap dan membuka perkampungan kecil di Pulau Bidong selepas mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan Malaysia yang seterusnya membawa penonton kepada kisah dengan latar belakang moden hari ini.

Secara ringkasnya, ia mengenengahkan kisah bagaimana seorang gadis bernama Kien Bidong (lakonan Livonia Ricky) yang mahu kembali ke Pulau Bidong sebagai memperingati momen kelahirannya di sana.

Pun begitu, niatnya itu pada mulanya mendapat tentangan daripada ibunya, Hong Yen (Irene Wong) kerana peristiwa pahit yang dialami apabila suaminya, Dae Kien (Dickson Chin) meninggal dunia di pulau itu kerana serangan jantung.

Dengan bantuan seorang pemuda bernama Adib (Taufiq Hanafi) yang mengaturkan segala-galanya, rancangan Kien Bidong akhirnya berjaya apabila dia bersama ibunya kembali ke Terengganu bagi melunaskan impian yang terpendam itu.

Irene Wong memegang watak sebagai wanita Vietnam bersama Hong Yen.

Dalam masa yang sama, Adib berhadapan dengan konflik bersama tunangnya, Maria (Abby Nour) apabila Adib disangka menjalinkan hubungan sulit dengan Kien Bidong walaupun sebenarnya ada bibit perasaan cinta dan sayang mula terbit di hati Adib dan gadis Vietnam itu (jika dibaca pada visual yang terzahir di layar perak).

Penulis tidak mahu memberikan kejutan apakah yang berlaku seterusnya tetapi keseluruhan filem ini yang sebenarnya ‘mengejutkan’ penulis kerana tidak percaya pada tahun 2018 ini, masih ada lagi pembikin filem yang terikat dengan acuan lama.

Apa yang penulis maksudkan di sini adalah skrip filem Bidong: The Boat People ini yang tersangat lemah dan tidak menyakinkan seolah-olah ia dihasilkan dalam semalaman. 

Kualiti skripnya tidak menampakkan perubahan pada era milenial ini lalu menjadikan Bidong: The Boat People tidak ubah seperti karya yang pernah dihasilkan dalam dekad lalu.

Paling tidak pun, Bidong: The Boat People hanya layak untuk dijadikan drama bersiri mahupun telefilem untuk tontonan di televisyen dan bukannya sebuah naskhah yang menepati estetika pembikinan filem dalam erti kata sebenar.

Lakon layar Bidong: The Boat People juga banyak kelompongan yang membuatkan penulis senyum sinis di dalam panggung terutama dari sudut fakta dan ketelitian pada babak-babak tertentu apabila membabitkan adegan yang melibatkan penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI).

Sebagai contoh, antara babak yang penulis anggap melucukan dan tidak masuk akal apabila babak sewaktu Kien Bidong menggunakan teknologi terkini untuk berhubung dengan Adib di atas bangku yang secara logiknya tidak terdapat di mana-mana taman sekalipun di Australia.

Salah satu babak filem Bidong: The Boat People yang ditayangkan sejak 1 Mac lalu.

Apatah lagi, adegan itu dilakukan di hadapan bangunan ikonik, Sydney Opera House yang langsung tidak menyakinkan dan menampakkan bagaimana penggunaan CGI untuk babak itu dilakukan dengan tidak kemas.

Begitu juga dengan babak di mana beberapa orang pelarian mati di atas bot yang kemudiannya dicampakkan ke dalam laut. Dalam masa yang sama, penonton sudah nampak wujudnya seekor jerung sedang berlegar di sekitar bot itu.

Dengan serta-merta, seekor jerung terus memakan mayat tersebut dan secara tidak langsung menjadikan babak itu bukannya gerun tetapi lucu. Persoalannya apakah ada jerung sebesar dan seganas itu di perairan negara kita?

Bukan itu sahaja, bahkan aspek sinematografi yang dikemudikan oleh pengarahnya, Yus Shikin juga tidak konsisten sedangkan filem ini mampu cemerlang jika sinematografinya dititik beratkan. Malah, skor muziknya yang kedengaran begitu diprogramkan dan menjejaskan emosi cerita tersebut.

Sudahlah lakonan para pelakonnya terutama Taufiq Hanafi, Abby Nour dan Irene Wong tidak memberikan impak yang sewajarnya. Ditambah pula dengan lontaran dialognya yang ‘menyedihkan’ lalu menjadikan Bidong: The Boat People tidak berada dalam piawaian yang diharapkan.

Dalam konteks ini, penulis boleh memberikan markah lulus sahaja kepada lakonan Livonia Ricky kerana dia kelihatan yakin berbicara dalam bahasa Inggeris walaupun wataknya itu boleh dipersoalkan.

Sebagai seorang yang dibesarkan di Australia sepanjang hidupnya, bukankah dia sepatutnya bertutur dalam telor Australia yang pekat tetapi itu tidak berlaku dalam watak Kien Bidong sekali gus menampakkan kelemahan watak itu sendiri.

Z. Zamri turut membintangi filem Bidong: The Boat People arahan Yusof Kelana.

Jujurnya, Bidong: The Boat People boleh menjadi sebuah filem yang bersifat sejagat dengan mesej dan latar belakang filem itu sendiri. Kalau difikirkan sedalamnya, watak Hong Yen itu boleh dijadikan sebagai satu representasi kepada wanita asing yang dapat hidup di negara orang dengan usaha dan kerja keras lalu menjadi seorang wanita berjaya.

Tetapi, tidak di dalam filem ini kerana watak Hong Yen itu hanyalah sekadar biasa sahaja dan tidak jelas perkembangan wataknya. Jika Hong Yen mencintai suaminya separuh nyawa, pastinya dia tidak akan berkahwin lain dan akan membesarkan anaknya dengan kudrat serta hasil titik peluhnya sendiri.

Penulis melihat Bidong: The Boat People juga mampu menjadi sebuah filem cinta universal apabila ada sub plot membabitkan Hong Yen dan seorang askar Melayu bernama Ali (Z. Zamri) tetapi plot itu hanya sekadar di permukaan sahaja.

Barangkali Yusof sebagai penulis lakon layar dan juga penulis cerita asal bersama Fendy Mahmood boleh merujuk kepada filem arahan bekas pemenang Oscar, Oliver Stone menerusi filem Heaven & Earth (1993) dan juga pementasan teater muzikal hebat, Miss Saigon untuk mendapat idea mengembangkan serta menggarap cerita Bidong: The Boat People.

Bukan meniru tetapi sekurang-kurangnya mendapat idea dalam memberikan sesuatu yang menarik untuk audiens. Kreativiti itu seharusnya melangkauai segala-galanya walaupun berhadapan dengan pelbagai isu terutama kekangan bajet dalam mencipta sebuah cerita dengan garapan yang indah.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Bidong , Yusof Kelana , Taufiq Hanafi , Wayang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan