‘Jibam’ Sebuah Karya Bercelaru, Tiada Fokus - Wayang | mStar

‘Jibam’ Sebuah Karya Bercelaru, Tiada Fokus

Diterbitkan: Sabtu, 16 Disember 2017 10:00 AM

Watak Jibam dan Tok Ngah Sudin masing-masing dibawakan oleh Mohd. Ariff Abdullah (kiri) dan Bohari Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

Filem: Jibam

Pengarah: Che Mie

Pelakon: Mohd. Ariff Abdullah, Bohari Ibrahim, Syafie Naswip, Farah Ahmad, Kazar Saisi, Kamarool Haji Yusof, Esma Daniel dan Mia Ahmad.

Genre: Drama

Durasi: 99 minit

Pengedar: Empire Film Solution Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 7 Disember 2017

PENULIS tumpang simpati apabila membaca tentang nasib filem Jibam kerana berhadapan dengan kerenah birokrasi rangkaian pawagam tempatan yang menarik tayangan filem itu selepas seminggu tayangannya.

Mahu atau tidak, harus diakui, itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh filem tempatan seandainya gagal menarik perhatian penonton ke pawagam sekali gus tidak berupaya mencatatkan kutipan membanggakan.

Malah, penulis yang berkesempatan menonton Jibam beberapa hari lalu turut mengakui bahawa waktu tayangannya sudah dipendekkkan menjadi dua tayangan sahaja dalam sehari dalam tempoh kurang seminggu ditayangkan.

Lakon layar Jibam yang bercelaru dan hilang fokus menjadikan ia tidak berupaya menjadi sebuah filem yang menarik.

Seperti mana nasib filem tempatan lain yang pernah penulis lalui, Jibam juga berhadapan dengan masalah kekurangan penonton apabila ketika penulis menontonnya hanya tiga orang sahaja di dalam pawagam.

Akan tetapi, perkara itu tidak akan diambil oleh penulis kerana kritikan untuk filem Jibam ini adalah bersifat telus dan jujur kerana dalam apa jua hal sekalipun, kualiti masih menjadi perkara pokok dan perlu dititik beratkan.

Dalam konteks Jibam, terlebih dahulu, penulis harus katakan bahawa penulis tidak pernah membaca novel hasil karya Ibrahim Anon atau cukup popular dengan nama komersialnya, Ujang.

Tetapi, penulis cukup sedar akan kehadiran novel tersebut dan betapa besarnya impak Jibam terhadap industri penerbitan buku pada era ia diterbitkan.

Lalu, sebagai seorang penonton dan yang tidak pernah membaca novelnya, penulis tidak malu untuk mengakui bahawa meletakkan sedikit harapan untuk melihat Jibam menjadi sebuah filem yang boleh dikategorikan terbaik.

Sementelah dengan plot utama ceritanya tentang seorang kanak-kanak istimewa bernama Jibam (lakonan Mohd. Ariff Abdullah) melalui kehidupan sehariannya, pasti penulis menjangkakan ia akan menjadi sebuah karya yang menyentuh hati.

Lakonan Farah Ahmad sebagai Piah wajar diberikan pujian.

Sebagai penulis lakon layar dan pengarah, Che Mie barangkali terlupa bahawa bukan semua pernah membaca novel Jibam dan ini menyebabkan versi filemnya tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Che Mie harus sedar dan perlu meletakkan dirinya juga sebagai seorang penonton sewaktu menghasilkan Jibam kerana lakon layar filem ini ternyata cukup mengelirukan dan tidak menepati sasarannya.

Harus diingat bahawa, apabila mengambil subjek tentang seseorang dan meletakkannya sebagai titik tumpu sesebuah filem, maka, fokus utamanya haruslah tertumpu kepada subjek berkenaan.

Di sini terletaknya kelemahan cerita dan lakon layar filem Jibam yang bercelaru dan bersepah di sana-sini. Di manakakah fokus cerita utamanya tentang Jibam yang seharusnya dikembangkan dan menggerakkan jalan cerita itu sendiri?

Sekadar memberikan contoh paling mudah sahaja. Malah, jauh sekali untuk membandingkan dengan karya luar tetapi lihat sahaja bagaimana kejayaan siri filem Harry Potter.


Syafie Naswip memberikan lakonan yang boleh dibanggakan sebagai Kadir dalam filem Jibam.

Penulis percaya sebahagian besar tidak pernah membaca kesemua novel Harry Potter tetapi lihat bagaimana fokus utama yang diberikan kepada watak itu sendiri dalam setiap adaptasi filem yang dihasilkan.

Itulah yang cuba hendak disampaikan oleh penulis namun itu tidak berlaku dalam filem Jibam

Sebaliknya, Jibam bercampur-baur dengan subplot yang tidak meninggalkan impak yang sewajarnya lalu menyumbang kepada aspek suntingan yang kurang kemas.

Bukan itu sahaja, latar belakang filem ini juga tidak jelas dan kabur sehingga penulis sendiri tertanya-tanya milieu Jibam ini berlaku pada era mana sebenarnya.

Apakah sebelum merdeka atau sebaliknya?

Dengan mengenengahkan Mohd. Ariff Abdullah sebagai watak utamanya yang pernah mencipta fenomena menerusi watak Buntat dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, pastinya ramai yang mahu melihat kematangan lakonannya dalam Jibam.


Salah satu babak filem Jibam yang kini masih ditayangkan di pawagam.

Disebabkan itu, tiada apa yang boleh dikatakan tentang wataknya sebagai Jibam sebagaimana jangkaan yang penulis bayangkan di minda sebelum menonton Jibam.

Tidak ada keistimewaan di sebalik watak Jibam dalam filem ini yang dikatakan memiliki kuasa luar biasa meskipun secara lahiriahnya, dia tidak sesempurna kanak-kanak seusianya.

Bahkan, penulis meletakkan watak Tok Ngah Sudin (Bohari Ibrahim) sebagai cukup menjengkelkan dan kelihatan terlalu dibuat-buat sehingga membuatkan penulis hanya mampu mencebik setiap kali kemunculannya.

Akan tetapi, watak-watak seperti Kadir (Syafie Naswip), Piah (Farah Ahmad) dan Kazar Saisi (Usop Kidung) berjaya menghadirkan impak tersendiri terutama lakonan Farah Ahmad yang sewajarnya diberikan pujian meskipun sekadar watak pembantu.

Kehadiran Mia Ahmad sebagai Miah hanya sekadar tempelan sahaja.

Masalah utama perihal mengadaptasi novel ke layar perak ini apabila penulis lakon layar seperti mahu mengekalkan acuannya sama seperti versi novel. Ya, barangkali kerana mahu menjaga hati penulis novel asal dan bimbang versi filemnya tidak mencapai standard yang diletakkan.

Sedangkan, perkara itu tidak sepatutnya terjadi apabila semua pihak yang terlibat harus lebih terbuka untuk meneroka kreativiti dalam menjadikan ia sebagai sebuah karya yang meninggalkan kesan kepada penonton.

Memang benar. Novel atau apa jua bentuk naskhah lain yang ingin diadaptasi ke layar perak perlu ada acuannya agar tidak tersasar jauh daripada hala tuju asalnya tetapi kreativiti itu perlu disuntik untuk menjadikan ia lebih segar dan diterima baik oleh penonton.

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017. Penulis juga bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Jibam , Syafie Naswip , Buntat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan