‘Victoria & Abdul’ Persahabatan, Kasih Sayang Dua Dunia

Diterbitkan: Khamis, 16 November 2017 1:12 PM

Salah satu babak filem 'Victoria & Abdul' arahan Stephen Frears yang kini sedang ditayangkan.

(Ubah saiz teks)

Filem: Victoria & Abdul

Pengarah: Stephen Frears

Pelakon: Judi Dench, Ali Fazal, Eddie Izzard, Adeel Akhtar, Paul Higgins, Michael Gambon, Julian Wadham dan Olivia Williams

Genre: Drama

Durasi: 112 minit

Pengedar: United International Pictures

Tarikh Tayangan: 2 November 2017

SEBAIK sahaja dikhabarkan filem Victoria & Abdul akan ditayangkan di pawagam tempatan, penulis cukup gembira kerana memang menyimpan hasrat untuk menonton filem arahan bekas calon Oscar sebanyak dua kali, Stephen Frears ini.

Bimbang juga filem sebegini tidak akan ditayangkan kerana memandangkan penerimaan filem bercorak biografi dan sejarah bukanlah sesuatu yang diminati ramai di negara ini.

Sementelah, Victoria & Abdul juga sama sekali tidak mempertaruhkan wajah-wajah komersial untuk menarik perhatian penonton.

Sebaliknya, pertaruhan Victoria & Abdul terletak kepada aktres terbilang yang juga bekas pemenang Oscar, Dame Judi Dench yang ternyata mmebuktikan bahawa beliau adalah anak seni sejati.

Mengapa penulis berkata demikian? Tatkala pada usianya sudah 82 tahun dan berhadapan dengan masalah ingatan dan pandangan yang sedikit kabur, Dench masih mampu memberikan nyawa dalam menghidupkan watak Ratu Victoria.

Ternyata, titik tumpu perjalanan cerita Victoria & Abdul adalah kepada watak Ratu Victoria yang diceritakan dari sudut pandang berbeza menerusi watak Abdul Karim yang dilakonkan oleh pelakon Bollywood, Ali Fazal.

Buat mereka yang pernah menonton filem Furious 7 (2015) dan 3 Idiots (2009), pasti mengenali wajah aktor kacak ini yang kini mampu berbangga memiliki portfolio seni apabila digandingkan dengan bintang hebat seperti Dench.

Untuk mereka yang masih belum berkesempatan menonton Victoria & Abdul, ini peluang terbaik buat anda untuk ke pawagam dan meluangkan masa menontonnya.

Mungkin ada yang menyangkakan ia adalah sebuah filem biografi dan sejarah yang barangkali terlalu berat untuk dihadam, tetapi jangan cepat buat andaian.

Filem Victoria & Abdul mengisahkan tentang persahabatan dan kasih sayang antara dua insan dari dua dunia dan status yang berbeza

Ini kerana Victoria & Abdul bukanlah filem sedemikian kerana ia memiliki keseimbangan dalam menghiburkan dan dalam masa yang sama, memberikan perspektif berbeza terhadap pemerintahan Ratu Victoria keseluruhannya.

Penulis tidak meletakkan Victoria & Abdul sebagai sebuah karya terbaik untuk tahun ini tetapi penulis melihat naskhah ini begitu indah apabila ia ditonton dengan mata hati.

Tema kasih sayang dan persahabatan antara insan yang lahir dari dua dunia berbeza dengan status yang ibarat langit dan bumi itu diolah dengan cukup menarik.

Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Victoria & Abdul hadir tepat pada masanya di kala senario politik dunia lewat kebelakangan ini memang berada dalam keadaan yang kurang stabil.

Penulis sendiri yang berpeluang menonton filem arahan Frears yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Philomena (2013) dan The Queen (2006) ini sendiri tidak pernah menyangka bahawa Ratu Victoria memiliki personaliti dan jiwa yang sebegitu rupa.

Pelakon Bollywood, Ali Fazal memegang watak sebagai Abdul Karim.

Tidak salah dikatakan, filem ini memiliki ketelusan dan kejujuran terutama dalam mempamerkan watak Ratu Victoria yang barangkali tidak diketahui ramai sehingga mencetuskan kontroversi sewaktu pemerintahannya.

Dari sudut estetika pula, Victoria & Abdul cukup cemerlang dari sudut rekaan kostum dan penataan seni yang melengkapkan filem ini menghampiri kesempurnaan.

Jika ada yang tidak tahu, Victoria & Abdul sebenarnya diadapatasi daripada novel karya Shrabani Basu yang merupakan sebuah kisah benar seperti mana diceritakan oleh Abdul Karim sepanjang persahabatannya dengan Ratu Victoria.

Bukan itu sahaja, Victoria & Abdul juga dianggap sebagai filem sekuel tidak rasmi selepas filem Mrs. Brown (1997) yang telah melayakkan Dench menerima pencalonan Oscar pertamanya untuk Pelakon Wanita Terbaik pada tahun 1998.

Gandingan Dame Judi Dench dan Ali Fazal yang telah menggerakkan perjalanan cerita Victoria & Abdul.

Tentang lakonan, seperti mana yang penulis sebut di awal ulasan ini, Dench adalah nadi kepada nyawa filem Victoria & Abdul sementara Ali Fazal pula, lakonannya bukanlah cemerlang kerana masih menampakkan dirinya pada beberapa ketika kelihatan sedikit kaku.

Kehadiran Victoria & Abdul di pawagam tempatan sedikit sebanyak memberi pilihan buat penggemar filem di kala lambakan filem aksi, komedi dan seram yang ada ketikanya tiada pembaharuan yang membanggakan.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan