‘Tombiruo: Penunggu Rimba’ Meleret Tapi Okey!

Diterbitkan: Khamis, 26 Oktober 2017 10:00 AM

Naskhah ini memberikan nilai tambah terhadap lakonan Zul Ariffin.

(Ubah saiz teks)

Filem: Tombiruo: Penunggu Rimba

Pengarah: Seth Larney

Pelakon: Zul Ariffin, Nabila Huda, Farid Kamil, Hasnul Rahmat, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Dynas Mokhtar dan Faizal Hussein

Genre: Aksi/Thriller

Durasi: 115 minit

Pengedar: Astro Shaw Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 12 Oktober 2017

PASTINYA, masih belum terlambat untuk penulis mengulas tentang filem aksi yang semakin hari semakin menjadi sebutan, Tombiruo: Penunggu Rimba atau ringkasannya, Tombiruo yang mula ditayangkan pada 12 Oktober lalu.

Ditambah pula dengan kutipannya yang sudah melebihi angka RM5 juta hanya kurang daripada 10 hari sejak ditayangkan membuatkan Tombiruo masih belum lemau dan basi untuk diulas.

Katalah apa sahaja tetapi pengakuan jujur penulis apabila penulis tidak pernah membaca novel Tombiruo: Penunggu Rimba yang dianggap sebahagian besar peminat novel tempatan sebagai sebuah karya agung tulisan Ramlee Awang Murshid.

Lalu, sebelum menonton versi filemnya, sempat juga penulis bertanyakan kepada beberapa teman yang berulang kali sudah membaca novelnya tentang sinopsis cerita berkenaan.

Lakonan Nabila Huda memang tidak boleh dipertikaikan kehebatannya.

Justeru, penulis mendapat sedikit pemahaman dan bayangan tentang cerita berkenaan yang hanya bermain di minda penulis. Namun, dari sudut aspek lain, bagus juga penulis tidak membaca novelnya dan hanya memfokuskan kepada pembikinan versi filemnya sahaja.

Bahkan, penulis juga seringkali berbuat demikian apabila menonton karya Hollywood yang diadaptasi daripada novel dan kemudiannya, barulah penulis membeli novelnya demi pemahaman yang lebih mendalam.

Berbalik kepada Tombiruo, untuk seorang yang tidak pernah membaca novelnya, penulis harus memberikan pujian kepada Tombiruo apabila ia menepati definisi genre aksi dan thriller seperti mana yang dijanjikan kepada penonton sebelum ia ditayangkan.

Apabila memperkatakan tentang genre aksi dan thriller yang digabungkan dalam satu naskhah, tempo atau pergerakan filem seharusnya berada dalam keadaan pantas, konsisten dan tidak boleh membiarkan penonton berasa gelisah.

Dalam konteks Tombiruo keseluruhannya, perkara itu tidak berlaku kerana ia membawa mata penonton terus tertancap pada skrin untuk menantikan apakah babak seterusnya.

Akan tetapi, ada ketikanya momentum itu sedikit terganggu dengan adegan yang dirasakan tidak perlu. Lantaran itu, ia kelihatan sedikit meleret-leret dan meresahkan untuk menanti babak seterusnya.

Malah, perkara kecil yang mungkin terlepas pandang oleh semua pihak terbabit dalam pembikinan filem ini tidak sewajarnya dipandang enteng kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan keseluruhan perjalanan filem.

Mungkin tidak ramai yang melihatnya kerana begitu asyik menonton tetapi untuk mereka yang memiliki mata tajam umpama helang akan dapat mengenal pasti kekurangan itu.

Biasalah. Dalam membikin filem, tidak akan pernah menjadi sempurna kerana itu adalah lumrah alam. Namun, ia ibarat satu kemestian buat pembikin filem untuk meminimumkan kesalahan tersebut.

Dari satu aspek lain, untuk mengadaptasi sebuah karya yang boleh dianggap klasik dan pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu memang bukan sesuatu yang mudah.

Sehubungan itu, usaha penulis lakon layarnya, Yasmin Yaacob dan Choong Chi-Ren untuk mengekalkan acuan novelnya dalam versi filem wajar diberikan pujian.

Faizal Hussein

Bahkan, hasil kerja pengarahan Seth Larney juga tidak mengecewakan kerana beliau bijak untuk mencipta dan membina syot menarik untuk tatapan penonton.

Namun, Seth tidak akan berjaya jika tanpa bantuan Khalid Zakaria selaku pengarah fotografi dan Nazim Md. Shah (penyunting filem) yang melengkapkan karya ini untuk menjadi sebuah filem aksi dan thriller yang menarik untuk ditonton.

Penulis harus akui sinematografi filem ini berada dalam kelas tersendiri dengan permainan warna yang cukup membangkitkan mood sekaligus membawa penonton berada dalam dunia Tombiruo.

Pendek kata, Tombiruo berjaya meninggalkan impak sedemikian buat penonton walaupun kalau dilihat secara mata kasar, Tombiruo tidak ubah seperti karya legenda barat, Tarzan.

Persamaan itu barangkali ada kaitan dengan semangat hutan dan kehidupan Tarzan dan Tombiruo itu sendiri selain ceritanya yang berlegar di dalam milieu berkenaan serta perjuangan kedua-dua watak itu dalam mempertahankan ekosistem dunia.

Inilah antara barisan pelakon ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’.

Cuma bezanya, Tarzan tidak memerlukan topeng kayu untuk menutup wajahnya dan hanya memperagakan tubuh sasa untuk menarik perhatian penonton dengan pemilihan aktor yang tepat.

Ternyata, pemilihan bekas pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM 26), Zul Ariffin sebagai Tombiruo memang tepat. Dengan sosok tubuh tegap dan sasa, Zul terus melengkapkan portfolio seninya sebagai pelakon aksi berkaliber.

Walaupun wajahnya dilindungi topeng sepanjang waktu, Zul menghidupkan karakter berkenaan dengan bahasa tubuhnya terutama babak bersama Wan Suraya (lakonan Nabila Huda) yang membuatkan penonton faham apa yang cuba diluahkan oleh Tombiruo.

Penulis turut mengagumi lakonan Farid Kamil sebagai Amiruddin apabila dapat melihat fasa kematangannya sebagai seorang aktor. Biarpun trofi Pelakon Lelaki Terbaik FFM belum menjadi miliknya, pasti satu hari nanti nama Farid Kamil akan terlakar juga.

Sebagai penutup bicara, terselit rasa bangga dan kagum dengan penghasilan filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang pastinya telah berjaya merealisasikan penggemar dan peminat tegar karya berkenaan.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan