'It' Sempurna Dalam Acuan Seram

Diterbitkan: Khamis, 14 September 2017 1:30 PM

Tidak syak lagi, 'It' ialah filem seram terbaik tahun ini dan kini tersenarai sebagai salah sebuah filem seram terbaik sepanjang zaman.

(Ubah saiz teks)

FILEM: It

PENGARAH: Andy Muschietti

PELAKON: Jaeden Lieberher, Jeremy Ray Taylor, Sophia Lilis, Finn Wolfhard, Wyatt Oleff dan Bill Skarsgard.

GENRE: Seram

DURASI: 135 minit

PENGEDAR: Warner Bros. Pictures

TARIKH TAYANGAN: 7 September 2017 

PERCAYA atau tidak, siri mini televisyen (TV) It yang ditayangkan sekitar awal tahun 90-an dahulu pernah memberikan kesan tersendiri buat penulis sewaktu menontonnya. 

Ditambah pula dengan kemunculan watak antagonis, Pennywise lakonan pelakon legenda, Tim Curry ketika itu benar-benar meninggalkan impak yang bukan sedikit. 

Lalu, apabila Hollywood mengkhabarkan untuk menerbitkan semula It yang diadaptasi daripada salah sebuah novel popular tulisan penulis hebat, Stephen King ke layar perak, penulis menerimanya dengan penuh keterujaan. 

Pastinya, penulis mahu melihat sejauh manakah kehebatan naskhah It versi filem cereka ini dihasilkan dan sudah tentu, penulis menunggu kehadiran Pennywise yang kali ini dibawakan oleh aktor kelahiran Sweden, Bill Skarsgard. 

Tambahan pula, sebelum It berjaya dizahirkan ke layar perak, projek filem berkenaan yang bermula sejak tahun 2009 sudah beberapa kali tertangguh dengan penukaran pengarahnya sebanyak dua kali sebelum Andy Muschietti menggalas tanggungjawab berkenaan. 

Menonton It di pawagam IMAX (penulis amat syorkan menontonnya dalam versi ini dan percayalah, ia akan memberikan pengalaman berbeza), ternyata telah memberikan kepuasan maksimum buat penulis.

Aktor kelahiran Sweden, Bill Skarsgard memberikan lakonan yang telah meninggalkan impak tersendiri sebagai Pennywise.

Pertamanya, pujian harus diberikan kepada Chase Palmer, Cary Fukunaga dan Gary Dauberman selaku penulis lakon layar yang telah berjaya menghasilkan sebuah karya seram yang berada dalam acuan seperti mana seharusnya dilakukan. 

Sepanjang menonton It, ia membuatkan penonton seolah-olah berada dalam milieu yang secara tidak langsung turut merasai setiap detik pengalaman dan situasi yang pelbagai. 

Apatah lagi, untuk mengadaptasi sebuah novel yang dianggap sebagai terbaik daripada King dengan ketebalan melebihi 1,000 muka surat bukanlah satu kerja yang mudah dan tidak boleh dibuat sambil lewa. 

Untuk bahagian pertama ini (ya, It akan menyusul dengan filem sekuelnya memandangkan bukunya yang tebal itu dan kisah bahagian pertama tidak tamat di situ), Muschietti menggunakan segala ideanya selaku sutradara untuk menjadikan It terus kukuh dan tidak tersasar dari landasan. 

Bagi penulis atau sesiapa yang pernah menonton siri mini TV It, pasti akan bersetuju bahawa kedua-dua versinya adalah jauh berbeza dan versi filemnya telah meletakkan satu tanda aras berbeza dalam merealisasikan dunia seram ciptaan King.

Filem It ditunjangi oleh tujuh pelakon kanak-kanak yang mempamerkan lakonan penuh luhur dan jujur sekaligus menyerlahkan keakraban mereka sebagai satu pasukan.

Kecemerlangan It bukan hanya diukur kepada teknik pengarahan dan keberkesanan lakon layarnya tetapi suasana filem ini juga terletak kepada sinematografi yang telah melengkapkan lagi rencahnya untuk menjadikan It sebagai santapan terbaik. 

Untuk itu, pujian harus diberikan kepada Chung-Hoon Chung kerana memberikan satu penontonan yang terus meletakkan It sebagai salah sebuah filem seram terbaik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan mungkin sepanjang zaman. 

Biarpun It ditunjangi oleh tujuh pelakon kanak-kanak tetapi keserasian setiap seorang daripada mereka telah mewujudkan rasa kejujuran dan keluhuran menerusi lakonan mereka. 

Lakonan mereka secara tidak langsung seperti melihat satu senario yang realistik di depan mata dan bagi penulis sendiri, kehadiran mereka membuatkan penulis mengingati zaman kanak-kanak penulis yang merujuk kepada kesetiaan dan keakraban mereka dalam satu pasukan. 

Menyentuh tentang watak Pennywise pula, penulis tidak menafikan bahawa Skarsgard telah memberikan penghormatan yang sewajarnya dalam memberikan keseraman dan menakutkan audiens setiap kali membuat kemunculannya.

Salah satu babak mendebarkan dalam filem It yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Ternyata, Pennywise versi Skarsgard lebih kejam, realitistik dan meninggalkan impak yang sepatutnya. Secara tidak langsung juga, penonton dapat tahu siapakah sebenarnya Pennywise yang berselindung di sebalik kostum badut yang memancing kanak-kanak dengan kata-kata manisnya. 

Akan tetapi, penulis terfikir juga apakah karakter Pennywise itu mampu menjadi lebih menarik seandainya aktres terkenal yang bekas pemenang Oscar, Tilda Swinton menggalas tanggungjawab itu (Swinton merupakan satu-satunya pelakon wanita yang tersenarai untuk membawakan watak Pennywise). 

Dalam satu aspek lain pula, It sebenarnya bukan sebuah filem seram semata-mata tetapi jika dibaca maksud tersirat di sebalik filem ini, kritikan sosialnya boleh dijadikan bahan penyelidikan akademik terutama membabitkan jiwa dalaman. 

Sudah pasti, penulis akan sabar menanti kehadiran bahagian kedua It yang kini sudah pun di dalam proses pra penerbitan. Jika bahagian pertamanya sudah sehebat ini, pastinya harapan untuk melihat bahagian kedua adalah lebih tinggi.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan