‘American Made’ Tebus Maruah Tom Cruise

Diterbitkan: Khamis, 7 September 2017 10:00 AM

Filem 'American Made' berjaya menebus maruah Tom Cruise selepas kegagalan filem 'The Mummy'.

(Ubah saiz teks)

FILEM: American Made

PENGARAH: Doug Liman

PELAKON: Tom Cruise, Sarah Wright, Domhnall Gleeson, Jayma Mays, Jesse Plemons, Lola Kirke dan Caleb Landry Jones

GENRE: Drama/Jenayah/Biografi

DURASI: 115 minit

PENGEDAR: United International Pictures

TARIKH TAYANGAN: 31 Ogos 2017

KEGAGALAN filem The Mummy yang ditayangkan pada Jun lalu, ramai berteka-teki mengenai perjalanan karier pelakon bertaraf Gred A Hollywood, Tom Cruise.

Masakan tidak, filem itu tidak berupaya meletakkan nama Cruise di puncak kegemilangan seperti mana harapan yang sering diletakkan setiap kali filem lakonannya ditayangkan di pawagam.

Tidak hanya mendapat ulasan yang teruk, malah The Mummy juga gagal mencatatkan kutipan memberangsangkan terutama di Amerika Syarikat (AS) apabila hanya mampu membuat kutipan tiket sekitar AS$80 juta (RM340.8 juta) sahaja setakat bulan Ogos lalu.

Disebabkan itu, ramai yang beranggapan kerdipan bintang Cruise semakin malap.

Tambahan pula, dengan usianya yang sudah melewati separuh abad membuatkan Cruise tidak lagi dianggap sebagai bintang filem pecah panggung seperti mana yang pernah dilabelkan kepadanya.

Pun begitu, sebagai seorang pemerhati dan peminat filem, penulis berpendapat Cruise bijak mengimbangi karier lakonannya yang tidak hanya tertumpu kepada filem popular yang mengaut keuntungan berjuta-juta dolar.

Salah satu babak filem 'American Made' yang ditayangkan sebulan lebih awal di Malaysia berbanding Amerika Syarikat.

Tetapi, sebagai seorang aktor, Cruise juga tidak mahu melepaskan peluang membintangi filem yang dapat terus meneroka bakatnya seperti mana yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Antaranya adalah Born on the Fourth of July (1989), A Few Good Men (1992), Jerry Maguire (1996), Magnolia (1999) dan Collateral (2004).

Dan, Cruise boleh terus berbangga dengan dirinya apabila sebuah lagi filem lakonannya, American Made yang memulakan tayangannya di Malaysia pada 31 Ogos lalu (tayangan di AS hanya akan bermula 29 September) tersenarai dalam kelompok filem yang terus mempamerkan bakatnya sebagai aktor berkaliber.

Jangan salah faham pula. Penulis bukan peminat tegar Cruise tetapi apabila pelakon popular seperti Cruise dapat membintangi filem yang luar daripada norma kebiasaan, ia adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Menerusi American Made yang diarahkan oleh Doug Liman (The Bourne Identity, 2002), Cruise telah memberikan sebuah persembahan yang membanggakan sekali gus menebus maruahnya selepas kegagalanThe Mummy.

Tidak hanya menerusi lakonan Cruise, tetapi kekuatan American Made turut terletak kepada lakon layarnya yang penulis sifatkan lengkap dalam menterjemahkan kisah seorang manusia biasa bernama Barry Seal (lakonan Cruise) yang kehidupannya berubah secara total sehingga dia menjadi satu ‘komoditi’.

Tom Cruise cukup menyerlah sebagai Barry Seal. Turut berlakon adalah Domhnell Gleeson sebagai Monty Schafer.

Daripada lakon layar yang ditulis oleh Gary Spinelli itu, sebagai pengarah, Liman telah melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengarah untuk menentukan hala tuju American Made untuk tidak menjadi sebuah karya yang membosankan.

Pergerakan kamera yang seolah-olah menggambarkan perjalanan filem ini seperti satu realisme membuatkan American Made berada dalam landasan yang tidak tersasar daripada destinasinya.

Bahkan, jalinan genre drama yang turut disuntik dengan sedikit humor ini (bukan lawak slapstik mahupun jenaka yang membuatkan penonton ketawa berdekah-dekah) membuatkan American Made begitu menghiburkan.

Untuk merasai pengalaman itu, penonton perlu memahami dialog dan persekitarannya agar perasaan terhibur itu terabit secara automatik tatkala menonton babak-babak yang diberi suntikan berkenaan.

Teknik suntingannya turut memainkan peranan penting selain permainan warna yang melengkapkan perjalanan American Made untuk memberi gambaran jelas kepada penonton tentang era yang dilalui oleh Seal sepanjang kehidupannya.

Tidak hanya itu, runut bunyi dan pemilihan lagu-lagu yang tepat berlatar belakangkan tahun yang dipilih untuk beberapa babak juga sedikit sebanyak menghidupkan American Made.

Penulis memuji pemilihan subjek cerita yang barangkali agak asing untuk kita tanpa mengetahui siapakah Seal sebenarnya.

Dan, American Made tidak memerlukan anda untuk mencari maklumat mendalam tentang Seal kerana pembikinannya sudah cukup membuatkan penonton untuk mengenali Seal dan dunianya.

Menonton American Made pada babak-babak tertentu juga membuatkan kita sebagai manusia biasa ini berfikir tentang kemahuan dan kehendak dalam erti kata sebenar dalam mencari sebuah kehidupan sebenar yang diingini.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Tom Cruise , American Made

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan