'Abang Long Fadil 2' Lebih Kemas

Diterbitkan: Rabu, 30 Ogos 2017 1:53 PM

Abang Long Fadil 2 yang mula ditayangkan di pawagam pada 24 Ogos lalu kini sudah mengutip RM5 juta.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Abang Long Fadil 2

PENGARAH: Syamsul Yusof

PELAKON: Zizan Razak, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, A. Galak, Tania Hudson, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu dan Achey

GENRE: Aksi/Komedi

DURASI: 95 minit

PENGEDAR: Astro Shaw Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 24 Ogos 2017

SEBAGAI pembikin filem muda yang terus berusaha memperkukuhkan portfolio seninya, penulis harus akui Syafiq Yusof memiliki keistimewaan tersendiri dalam menterjemahkan karyanya ke layar peraK.

Bahkan, penulis sendiri tidak malu untuk mengakui bahawa filem-filem arahannya seperti SAM (Saya Amat Mencintaimu) yang ditayangkan pada 2012, Villa Nabila (2015) dan Desolasi (2016) antara yang digemari penulis.

Karya yang disebutkan di atas memiliki sentuhan tersendiri dengan tema dan cerita yang berbeza lalu menjadikan Syafiq sebagai karyawan muda yang mempunyai visi dalam memberikan pembaharuan kepada lanskap sinema tempatan.

Akan tetapi, filem Abang Long Fadil yang dihasilkan pada tahun 2014 dengan menampilkan Zizan Razak dan Kamal Adli sebagai teraju utama bukanlah sesuatu yang mengagumkan penulis.

Namun, sebagai pengkarya, penulis memahami kehendak Syafiq untuk memberikan santapan berbeza kepada khalayak filem tempatan dengan menghasilkan filem komedi aksi seperti Abang Long Fadil.

Pelakon A. Galak membawa watak sebagai Taji Samprit.

Lalu, apabila Syafiq kembali dengan filem susulannya, Abang Long Fadil 2 yang baru membuka tirainya minggu lalu, penulis tidak dapat menyembunyikan perasaan skeptikal seandainya ia juga memiliki resipi serupa seperti filem pertamanya.

Sementelah, pandangan pertama penulis sewaktu berulang kali menonton gazetnya juga tidak mampu untuk berpendapat bahawa ia memiliki acuan filem Kingsman: The Secret Service (2014).

Menolak semua andaian yang berlegar di kepala, dengan minda dan hati yang terbuka, penulis meluangkan masa menonton Abang Long Fadil 2 tanpa sebarang prejudis.

Ternyata Abang Long Fadil 2 dihasilkan dengan penuh kekemasan dengan jalan cerita yang lebih menarik dan mudah difahami sekaligus memenuhi kehendak pasaran massa yang sentiasa dahagakan filem bercorak sedemikian.

Jujurnya, karya Syafiq kali ini bukanlah bertaraf filem terbaik tetapi sebagai filem aksi komedi, ia berjaya dalam genrenya. Ada ketika filem seperti ini mudah dijangka sebaik sahaja menontonnya pada minit pertama tetapi itu tidak berlaku dalam Abang Long Fadil 2.

Kemunculan Tania Hudson sebagai Yana Ibrahim kurang memberi impak.

Ia memiliki putaran jalan cerita (twist) yang tidak disangka dan dek kerana itu, Abang Long Fadil 2 wajar diberi pujian kerana tidak memberikan sesuatu yang klise.

Disebabkan itu, penulis sifatkan Abang Long Fadil 2 berjaya menandingi filem pertamanya sehingga penulis sendiri terlupa tentang filem pertamanya.

Tidak keterlaluan dikatakan juga, Abang Long Fadil 2 dilihat sebagai bukan filem sekuel tetapi sebagai sebuah filem baharu tanpa perlu mengaitkannya dengan filem terdahulu.

Walaupun penulis melihat Abang Long Fadil 2 memiliki acuan seperti filem antarabangsa terutama dari Hollywood, setidak-tidaknya, humor dan jenakanya tidaklah terlalu memperbodohkan audiens seperti lambakan filem komedi murahan sedia ada sebelum ini.

Dalam erti kata lain, sentuhan aksi dan komedi Abang Long Fadil 2 masih lagi berpaksikan acuan tempatan terutama dalam mempamerkan penggunaan dialek berbeza menerusi watak King Kong (lakonan Datuk AC Mizal), Taji Samprit (A. Galak) dan Wak Doyok (Wak Doyok).

Syafiq Yusof berjaya menghasilkan Abang Long Fadil 2 dengan lebih kemas dan jalan cerita menarik.

Dengan menampilkan kelainan seperti itu, humor dan komedinya nampak asli dan tidak dibuat-buat. Untuk itu, penulis harus berikan pujian kepada Syafiq selaku pengarah kerana mewarnakan watak berkenaan dengan memberikannya kepada pelakon yang layak membawakannya.

Dari sudut teknikal, keberkesanan penontonan terhadap Abang Long Fadil 2 juga disebabkan hasil suntingannya yang penuh teliti dan kemas lalu menjadikan filem kelima arahan Syafiq ini bergerak pantas sekaligus memberikan hiburan yang diperlukan.

Pun begitu, masih ada beberapa kelemahan yang dapat dilihat secara jelas menerusi suntingannya di mana pada hemat penulis, ia tidak seharusnya terjadi memandangkan Syafiq seorang yang mahir dalam bidangnya itu.

Menyentuh aspek lakonan pula, teraju utamanya, Zizan Razak masih lagi menjadi Zizan Razak dan pastinya, khalayak filem massa tiada masalah tentang lakonan pelawak popular itu.

Penulis juga sukakan kolaborasi dan keserasian antara Inspektor Wahab (Syamsul Yusof) dan Inspektor Shuib (Shuib Sepahtu) walaupun lakonan Syamsul masih seperti yang ditonton sebelum ini.

Barisan pelakon Abang Long Fadil 2 pada tayangan perdana filem itu baru-baru ini.

Cuma, nasihat penulis untuk Tania Hudson yang memeran watak wartawan penyiaran bernama Yana Ibrahim, luangkanlah masa anda dengan menghadiri kelas lakonan dan menuntut ilmu daripada mereka yang berpengalaman.

Lakonan Tania sangat lemah dan hanya dilihat sekadar tempelan sehingga penulis merasakan watak wartawan penyiaran itu tidak layak dibawakan oleh Tania.

Watak Yana itu mampu menjadi kuat jika wataknya dikembangkan dengan baik dan dibawakan oleh pelakon yang lebih baik daripada Tania. Akhirnya, watak itu tidak memberikan impak yang sepatutnya walhal ia sepatutnya mampu berbuat demikian.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Abang Long Fadil 2

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan