Harapnya ‘Despicable Me 3’ Adalah Yang Terakhir

Diterbitkan: Khamis, 22 Jun 2017 1:12 PM

Rakyat Malaysia bertuah kerana dapat menonton filem Despicable Me 3 dua minggu awal daripada Amerika Syarikat.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Despicable Me 3

PENGARAH: Kyle Balda dan Pierre Coffin

PENYUMBANG SUARA: Steve Carrell, Kristen Wiig, Trey Parker, Miranda Cosgrove, Dana Gaier, Jenny Slate dan Julie Andrews

GENRE: Animasi

DURASI: 95 minit

PENGEDAR: United International Pictures

TARIKH TAYANGAN: 15 Jun 2017

UNTUK mencipta sebuah francais filem bukanlah perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan francais tersebut berjaya agar bertahan lama selain meninggalkan kesan di hati penonton.

Mahu atau tidak, harus diakui, penciptaan sesebuah francais filem adalah untuk dijadikan sebagai lubuk emas dalam mengaut keuntungan berlipat ganda.

Tidak kisahlah jika filem itu mendapat kritikan negatif atau sebaliknya, asalkan, ia dapat mencatatkan pelbagai rekod peribadi, itu sudah memadai buat penerbit dan studio terkemuka di Hollywood.

Francais filem Despicable Me terbitan Illumination Entertainment, syarikat penerbitan filem animasi milik Universal Studios juga tidak terkecuali apabila memperkatakan tentang perihal ini.

Menerusi Despicable Me 3, Gru (kiri) telah dipertemukan dengan saudara kembarnya, Dru yang mana kedua-dua watak itu dihidupkan menerusi suara aktor Steve Carrell.

Mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan diteruskan dengan filem susulannya, Despicable Me 2 pada 2013, francais filem animasi itu tidak perlu menunggu lama untuk meraih perhatian peminat filem seantero dunia.

Rata-rata, kedua-dua filem itu telah mendapat ulasan positif daripada pengkritik selain kedua-duanya juga telah mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$1.51 billion (RM6.47 billion) di seluruh dunia.

Kejayaan itu tidak terhenti di situ malah, ia terus meluncur laju dengan penerbitan filem spin-off, Minions (2015) yang berjaya membuat kutipan tiket sebanyak AS$1.15 billion (RM4.93 billion) lalu meletakkan Despicable Me di tangga ke-18 dalam carta francais filem terlaris sepanjang zaman.

Lalu, apakah dengan kehadiran filem ketiganya, Despicable Me 3 yang mula ditayangkan di negara ini minggu lalu (dua minggu lebih awal daripada Amerika Syarikat) akan terus melonjakkan kedudukan Despicable Me di dalam carta tersebut? Sudah pasti jawapannya positif dan tiada ragu akan kebenarannya.

Filem Despicable Me 3 mengenengahkan plot hubungan kekeluargaan dan persahabatan antara watak-watak utamanya termasuk Minions.

Dari sudut lain pula, apakah Despicable Me 3 mampu meninggalkan satu kesan abadi kepada pengikutnya dan peminat filem amnya untuk menjadi filem animasi yang akan dikenang untuk jangka masa yang lama? Itu adalah persoalannya yang mula dipersoalkan.

Penulis yang berkesempatan menonton Despicable Me 3 beberapa hari lalu tidak dapat menyembunyikan perasaan bahawa filem arahan Kyle Balda dan Pierre Coffin perlu dihentikan secepat mungkin atau lebih molek dikatakan, direhatkan sementara.

Faktornya adalah kerana filem ini sudah menampakkan tanda-tanda bahawa ia sudah kekeringan idea dan tiada apa untuk diceritakan lagi terutama membabitkan watak utamanya, Felonious Gru atau Gru (suara oleh Steve Carrell) yang penulis sifatkan Despicable Me 3 adalah sebagai penutup kepada francais ini.

Membicarakan tentang ceritanya, plot dan jalan cerita Despicable Me 3 sangat mudah dijangka lalu menjadikan perjalanannya begitu pantas tanpa adanya momentum yang seharusnya menjadi nadi utama kepada filem ini.

Salah satu babak antara Gru (kiri) dan penjahat bernama Balthazar Bratt.

Tetapi jangan salah anggap pula kerana penulis tidak merasakan Despicable Me 3 adalah sebuah filem buruk dan teruk. Sebagai sebuah filem animasi, ia masih lagi boleh ditonton seisi keluarga yang mahu berhibur dan melepaskan tekanan.

Cuma, ceritanya sahaja bagi penulis tiada apa yang baharu dan sememangnya ia dibikin untuk menceritakan transisi dan fasa hidup Gru.

Jika filem pertamanya lebih memfokuskan kepada kehidupan Gru sebagai watak antagonis dan menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa manakala sekuelnya pula lebih terarah kepada kehidupan peribadi Gru selepas bertemu dengan belahan jiwanya, Lucy Wilde (Kristen Wiig), filem ketiga ini lain pula ceritanya.

Seperti mana yang penulis terangkan di awal tadi, hanya kerana mahu menjadikan Despicable Me sebagai salah sebuah francais filem yang berjaya, maka, diciptakannya sebuah cerita yang pada hemat penulis sangatlah mudah.

Filem Despicable Me 3 memperlihatkan gandingan Gru dan saudara kembarnya, Dru dalam memerangi musuh.

Despicable Me 3 mengenengahkan kisah bagaimana Gru baru mendapat tahu dia mempunyai saudara kembar, Dru Gru (suara juga oleh Steve Carrell) selain sub plot dia dan Lucy dipecat daripada agensi kerana gagal menangkap penjenayah yang dikehendaki, Balthazar Bratt (Trey Parker).

Lalu, pertemuan Gru dengan saudara kembarnya itu telah membuatkan mereka sebagai pasukan untuk meneruskan misi menangkap Balthazar yang dalam masa sama, mahu melunaskan dendam dan amarahnya sejak kecil dengan menghancurkan Hollywood.

Dalam masa yang sama, Lucy masih lagi berhadapan dengan tugasnya sebagai ibu kepada anak-anak angkat Gru iaitu Margo, Edith dan Agnes yang akhirnya membawa kepada pengakhiran yang bahagia buat mereka sekeluarga.

Walaupun babak akhirnya memberi gambaran bahawa akan ada lagi filem susulannya selepas ini, mungkin tidak melibatkan watak Gru dan digantikan dengan Dru (dikhabarkan Steve Carrell enggan lagi meneruskan komitmennya), penulis berharap Despicable Me 3 adalah yang terakhir.

Jika tidak, ia akan ditimpa nasib yang serupa seperti francais filem Shrek dan Ice Age yang telah menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan menerusi beberapa filem akhir dalam francais mereka.

Gelagat dan keletah Minions masih lagi mencuit hati dan mencuri perhatian audiens dalam Despicable Me 3.

Kalau sekalipun Illumination Entertainment dan Universal Pictures mahu meneruskan francais ini, adalah lebih wajar untuk memfokuskan kepada watak Minions sahaja. Apatah lagi filem Minions sendiri mencatatkan kutipan luar biasa.

Pengaruh dan kuasa watak Minions memang cukup kuat dan mereka jugalah penulis anggap sebagai penyelamat kepada cerita Despicable Me 3 daripada terus menjadi sebuah karya yang membosankan. Keletah dan gelagat Minions masih mampu menggeletek dan mencuri perhatian penonton.

Ditambah pula dengan suplot bagaimana Minions mengambil pendekatan melancarkan perang dingin bersama Gru hanya kerana tuan mereka enggan lagi meneruskan misi jahat, babak-babak melibatkan mereka telah memberikan percikan warna kepada perjalanan Despicable Me 3.

Pun begitu, mengenali Hollywood, selagi mereka beranggapan francais filem terus berpotensi untuk memberikan keuntungan, mereka akan meneruskannya waima mendapat kritikan negatif.

Jadi, kita sama-sama nantikan nasib yang bakal menimpa Despicable Me seandainya tiada pembaharuan yang dilakukan.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Despicable Me 3

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan