Di Mana Silapnya ‘The Mummy’?

Diterbitkan: Jumaat, 16 Jun 2017 2:49 PM

Francais filem Dark Universe tidak bermula dengan baik apabila 'The Mummy' gagal meraih kutipan membanggakan dan ulasan positif.

(Ubah saiz teks)

Filem: The Mummy

Pengarah: Alex Kurtzman

Pelakon: Tom Cruise, Annabelle Wallis, Russell Crowe, Sofia Boutella, Jake Johnson dan Courtney B. Vance

Genre: Aksi/Seram

Durasi: 110 minit

Pengedar: United International Pictures

Tarikh Tayangan: 8 Jun 2017

SESUATU yang cukup hangat diperkatakan dan menjadi perdebatan ketika ini di Hollywood tentang filem The Mummy yang baharu sahaja ditayangkan minggu lalu.

Bukan daripada sudut positif sebaliknya The Mummy telah menerima kritikan dan kecaman yang cukup hebat sehingga tiada apa yang positif tentang filem arahan Alex Kurtzman (People Like Us, 2012) itu.

Ditambah pula dengan kutipan pembukaannya yang hanya mampu mencatatkan sebanyak AS$32 juta (RM137 juta) di Amerika Syarikat, ia diibaratkan sesuatu yang cukup menyedihkan untuk sebuah filem blokbuster musim panas.

Lebih-lebih lagi, untuk sebuah filem seperti The Mummy yang ditunjangi oleh Tom Cruise yakni seorang bintang tersohor dunia bergred A, ia sepatutnya mampu mencatatkan kutipan yang lebih tinggi.

Membawakan watak Nick Morton, nampaknya Tom Cruise sudah dilihat tepu berlakon filem aksi.

Apa yang berlaku terhadap The Mummy adalah sesuatu yang agak tidak bernasib baik untuk Universal Pictures yang mahu mengorak langkah membina jenama baharu, Dark Universe yang mahu dijadikan sebagai sebuah francais filem baharu.

Barangkali untuk mereka yang kurang jelas, Dark Universe merupakan siri filem yang akan mengenengahkan watak fiksyen seram popular dan The Mummy merupakan filem pertama  bawah payung jenama itu.

Justeru, di manakah silapnya The Mummy sehingga ia tidak berupaya menjadi sebuah filem seram yang diharapkan oleh para peminat dan pengkritik filem yang pada awalnya meletakkan harapan tinggi untuk melihat ia meraih kejayaan luar biasa?

Bagi penulis yang berkesempatan menonton The Mummy, kesilapan besar filem ini terletak kepada lakon layar, cerita dan skrip yang cukup lemah sehingga sebagai bintang Gred A, Cruise sendiri tidak mampu menyelamatkannya.

Sejujurnya, apa lagi yang baharu tentang cerita The Mummy yang sudah acap kali dipersembahkan ke layar perak sehingga semuanya mudah dijangka.

Apabila Universal Pictures mengumumkan untuk menerbitkan semula The Mummy yang sebenarnya diinspirasikan daripada filem asalnya yang juga menggunakan judul serupa pada tahun 1932 (juga terbitan Universal Pictures), penulis menjangkakan ia akan memberikan santapan berbeza kepada audiens.

Biarpun mengambil latar belakang moden, ia bukan satu halangan untuk memberikan nafas baharu asalkan ada impak terhadap jalan ceritanya dengan pendekatan yang lebih bijak.

Bekas pemenang Oscar, Russell Crowe (kanan) dan bekas calon Oscar, Tom Cruise dipertemukan buat kali pertama dalam filem The Mummy.

Namun, sepanjang hampir dua jam menonton The Mummy, penulis tidak merasakan sesuatu yang spektakular mahupun ekstravganza tentangnya.

Bahkan, babak aksinya juga terasa seperti sudah biasa ditonton sebelum ini dan tidak memiliki elemen roller coaster yang sepatutnya ada dalam filem aksi seperti The Mummy.

Tambahan pula, elemen seram yang sepatutnya menjadi tunjang dan nadi kepada perjalanan ceritanya juga kurang rencahnya sehingga ia hanya bakal menjadi sebuah filem yang dilupakan begitu sahaja.

Dari aspek lakonan pula terutama Cruise, penulis merasakan beliau sudah tepu melakonkan filem aksi kerana tiada apa lagi yang mengagumkan daripada persembahan Cruise.

Dalam erti kata lain, sebagaimana anda menonton beliau dalam francais filem Mission: Impossible, begitu jugalah lebih kurang lakonannya dalam The Mummy. Kegagalan The Mummy bagaikan memberi tanda untuk Cruise bahawa sudah tiba masanya beliau berubah angin melakonkan watak yang mencabar dirinya sebagai aktor.

Akan tetapi, apa yang lebih membuatkan penulis tertarik adalah sub plot The Mummy yang memfokuskan kepada pengenalan watak Dr. Henry Jekyll (lakonan bekas pemenang Oscar, Russell Crowe) yang memiliki dua personaliti berbeza.

Sofia Boutella membawakan watak Puteri Ahmanet yang kemudiannya disumpah menjadi mumia yang bangkit semula menuntut keadilan yang tidak berpihak kepadanya.

Dikhabarkan, Crowe juga akan kembali membawakan watak Dr. Jekyll dan Mr. Hyde dalam filem solonya sendiri juga di bawah jenama Dark Universe.

Walau apa pun kritikan yang dilemparkan terhadap The Mummy, percayalah, filem susulannya akan pasti diterbitkan kerana pada babak-babak akhir terutama watak Nick Morton (Cruise) itu memberi bayangan bahawa dia akan kembali selepas apa yang berlaku kepadanya.

Biarpun kegagalan The Mummy membuatkan ramai pihak akan menjadi skeptikal, lebih-lebih lagi untuk Universal Pictures selaku penerbit, ia bukanlah penentu kepada kegagalan menyeluruh francais Dark Universe itu sendiri.

Siapa tahu dengan beberapa buah filem yang sudah direncanakan seperti Bride of Frankenstein (dikhabarkan Angelina Jolie menjadi pilihan teratas untuk watak utama), Invisible Man (Johnny Depp), Frankenstein (Javier Bardem), Wolf Man (Dwayne Johnson menjadi pilhan), Creature from the Black Lagoon mahupun Dracula akan terus memperkukuhkan jenama Dark Universe kelak.

Sementelah filem-filem yang penulis senaraikan di atas itu juga sudah membuat ‘kemunculan istimewa’ dalam The Mummy. Cuma anda perlu fokus dan perhatikan kedudukan mereka dalam babak tertentu kerana ada di antaranya hadir dengan sekali imbas sahaja.

Lihat sahaja bagaimana DC Extended Universe berhadpaan dengan situasi serupa tetapi francais itu bangkit semula dengan penghasilan filem Wonder Woman yang diterima baik dan positif.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa

Tags / Kata Kunci: The Mummy , Tom Cruise

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan