‘Pirates of the Caribbean: Salazar’s Revenge’ Karya Kitar Semula

Diterbitkan: Isnin, 29 Mei 2017 11:30 AM

Filem Pirates of the Caribbean: Salazar’s Revenge tidak lebih hanyalah sekadar mahu melengkapkan francais filem berkenaan.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Pirates of the Caribbean: Salazar’s Revenge

PENGARAH: Joachim Ronning dan Espen Sandberg

PELAKON: Johnny Depp, Javier Bardem, Geoffrey Rush, Brendon Thwaites, Kaya Scodelario, Kevin McNally, Orlando Bloom dan Keira Knightley

GENRE: Fantasi/Aksi

DURASI: 129 minit

PENGEDAR: Walt Disney Pictures

TARIKH TAYANGAN: 25 Mei 2017

MEMANG tidak dinafikan, sewaktu filem pertama dalam francais filem Pirates of the Caribbean, The Curse of the Black Pearl ditayangkan pada 2003, ia telah mencipta satu fenomena baharu dalam sinema dunia. 

Tiada siapa menyangka, filem yang diadaptasi daripada salah sebuah taman tema popular di Disneyland itu berjaya menjadi sebuah filem digemari ramai selain mencatatkan kutipan pecah panggung. 

Bahkan, menerusi filem arahan Gore Verbinski itu jugalah telah menjenamakan semula nama Johnny Depp sehingga watak Kapten Jack Sparrow itu membawa tuah untuk Depp sehingga mampu dicalonkan untuk Oscar bagi Pelakon Lelaki Terbaik pada 2004. 

Selepas kejayaan The Curse of the Black Pearl, Walt Disney Pictures selaku penerbit tidak mahu melepaskan peluang keemasan yang sudah terbentang luas itu untuk menjadikan Pirates of the Caribbean sebagai sebuah francais filem baharu.

Apatah lagi, ketiadaan filem yang bertemakan lanun diterbitkan berdekad lamanya sebelum kemunculan Pirates of the Caribbean membuatkan ia memiliki potensi besar untuk menjana keuntungan.

Lakonan bekas pemenang Oscar, Javier Bardem sebagai Kapten Armando Salazar tidak mengecewakan. 

Maka dengan itu, muncullah tiga buah lagi filem selepasnya iaitu Dead Man’s Chest (2006), At World’s End (2007) dan On Stranger Tides (2011) yang kesemuanya berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung di seluruh dunia.

Selepas enam tahun, Walt Disney Pictures terus mempersembahkan filem kelima dalam siri filem itu, Salazar’s Revenge (untuk pasaran Amerika Syarikat dan sekitarnya, judulnya adalah Dead Men Tell No Tales) yang mula ditayangkan minggu lalu.

Justeru, apakah keistimewaan filem kelima ini yang dikemudikan oleh dua orang pengarah, Joachim Ronning dan Espen Sandberg selepas empat filem sebelumnya mendapat kritikan pelbagai daripada pengkritik?

Secara jujurnya selepas menonton Salazar’s Revenge, penulis membuat kesimpulan bahawa filem ini hanyalah sekadar pelengkap francais Pirates of the Caribbean semata-mata dengan tujuan utama untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

Penulis juga tidak meletakkan filem yang diterbitkan dengan kos sebanyak AS$230 juta (RM981.8 juta) ini sebagai yang terburuk tetapi apabila memperkatakan tentang filem blokbuster musim panas, ia sekadar untuk memberi hiburan sahaja.

Perubahan drastik perlu dilakukan agar watak Kapten Jack Sparrow terus segar dan menjadi tunjang kepada kekuatan Pirates of the Caribbean.

Begitulah perihalnya dengan Salazar’s Revenge yang penulis lihat tidak mampu menandingi keaslian dan kecemerlangan filem pertama dan kedua yang kini masih kekal sebagai terbaik dalam francais Pirates of the Caribbean.

Apabila memperkatakan tentang plot dan jalan ceritanya, penulis tidak melihat Salazar’s Revenge memiliki keistimewaan untuk menjadikan ia sebagai sebuah filem terbaik bagi slot musim panas tahun ini.

Apa yang boleh penulis katakan bahawa filem kali ini juga seperti mengitar semula plot filem terdahulu dengan mengambil cebisan demi cebisan yang kemudiannya dicantumkan menjadi sebuah filem.

Kemudiannya, untuk menambah rasa bagi menjadikan Salazar’s Revenge lebih menarik, maka muncullah watak antagonis baharu, Kapten Armando Salazar (lakonan bekas pemenang Oscar, Javier Bardem) selain subplot yang barangkali agak mudah dijangka.

Lakonan Bardem tidak mengecewakan walaupun wataknya banyak dihidupkan menerusi teknik imej janaan komputer (CGI) terutama bagi menimbulkan rasa seram sewaktu menonton efek visual wajahnya.

Dua watak baharu, Carina Smyth (Kaya Scodelario) dan Henry Turner (Brendon Thwaites) dilihat sebagai penyambung legasi Pirates of the Caribbean di masa akan datang.

Dari sudut lain pula, penulis melihat kehadiran dua watak protagonis baharu, Henry Turner (Brendon Thwaites) dan Carina Barbossa atau dikenali sebagai Carina Smyth (Kaya Scodelario) adalah strategi Walt Disney Pictures untuk menjenamakan semula Pirates of the Caribbean di masa akan datang.

Sesuatu yang agak menghampakan adalah watak Jack Sparrow yang penulis rasakan sudah hilang magis dan tidak seperti di awal kemunculannya.

Sebagai aktor penuh karisma, watak berkenaan di tangan Depp bagai tiada lagi impak dan kelihatan beliau seperti sudah tepu membawakannya.

Khabar angin juga bertebaran bahawa Salazar’s Revenge dikatakan filem terakhir Depp tetapi setakat ini masih belum ada pengesahan rasmi daripada pihak Depp mahupun Walt Disney Pictures.

Bukan hanya Salazar’s Revenge dikhabarkan sebagai filem terakhir Depp tetapi ia juga dikatakan yang terakhir dalam francais tersebut.

Watak Will Turner lakonan Orlando Bloom (kiri) sebagai penunjuk bahawa francais Pirates of the Caribbean tidak akan berhenti setakat filem kelima ini sahaja.

Penulis tidak merasakan sedemikian kerana dengan kemunculan semula watak Will Turner (Orlando Bloom) dan Elizabeth Swann (Keira Knightley) selain babak pada pasca kredit membuktikan bahawa francais Pirates of the Caribbean tidak akan tamat begitu sahaja.

Sehubungan itu, Walt Disney Pictures perlu melakukan sesuatu dengan memperbaharui cerita dan memberikan suntikan yang lebih segar dari semua aspek agar Pirates of the Caribbean dapat menjadi sebuah francais yang tidak akan terus tenggelam di sebalik angka besar.

Sebaliknya, keseimbangan itu perlu dititik beratkan untuk membenarkan Pirates of the Caribbean terus berlayar dengan gahnya di samudera sinema dunia.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan