Sentuhan Kontemporari Guy Ritchie Untuk ‘King Arthur: Legend of the Sword’

Diterbitkan: Selasa, 16 Mei 2017 1:07 PM

Biarpun filem King Arthur: Legend of the Sword diberi sentuhan kontemporari, namun, ia tidak berupaya menjadi sebuah filem terbaik.

(Ubah saiz teks)

FILEM: King Arthur: Legend of the Sword

PENGARAH: Guy Ritchie

PELAKON: Charlie Hunnam, Astrid Berges–Frisbey, Jude Law, Djimon Hounsou, Eric Bana, Annabelle Wallis dan David Beckham

GENRE: Fantasi/Aksi

DURASI: 126 minit

PENGEDAR: Warner Bros. Pictures

TARIKH TAYANGAN: 10 Mei 2017

PADA awalnya, apabila mengetahui tentang filem ini, penulis tidak menolak tanggapan bahawa ia adalah sebuah filem sejarah yang mengenengahkan kisah Raja Arthur yang cukup dikenali dengan pemilikan pedang saktinya, Excalibur.

Sementelah, sebuah lagi filem tentang kisah legenda Britian itu, King Arthur (2004) pernah dihasilkan. Biarpun dibintangi oleh Clive Owen, Keira Knightley dan Ioan Gruffudd, filem arahan Antoine Fuqua itu dilihat tidak begitu berjaya dengan kutipan tiket sekadar cukup makan sahaja selain mendapat ulasan pelbagai.

Justeru, apabila filem baharu yang menggunakan judul King Arthur: Legend of the Sword ini muncul di pawagam, apakah ia sebuah lagi kisah sejarah yang serupa atau ada pembaharuan yang dilakukan?

Apatah lagi, ia dikemudikan oleh pengarah terkenal, Guy Ritchie yang pernah mengarahkan dua filem Sherlock Holmes (2009 dan 2011) sebelum ini, pastinya ada sesuatu yang ingin dipersembahkan oleh bekas suami penghibur terkenal dunia, Madonna itu menerusi karyanya kali ini.

Tidak hanya menduduki kerusi pengarah, Ritchie juga menggalas dua posisi lain iaitu salah seorang penulis lakon layar dan penerbit di bawah syarikat produksinya, Ritchie/Wigram Productions dengan kerjasama Warner Bros. Pictures dan Village Roadshow Pictures.

Percaturan meletakkan aktor kurang popular, Charlie Hunnam sebagai teraju utama dilihat sebagai satu kesilapan.

Sesuatu yang positif penulis boleh katakan tentang hasil kerja Ritchie kali ini apabila beliau masih lagi mengekalkan stail pengarahan kontemporari dalam sebuah kisah klasik yang bukan mudah untuk dihadam.

Seperti mana persembahannya dalam dua filem Sherlock Holmes yang menggunakan cara serupa, begitulah juga hasilnya untuk King Arthur: Legend of the Sword ini apabila genre sejarah itu digabungkan dengan aksi untuk menjadikan ia sebagai sebuah wadah hiburan ringan.

Sebagai seorang penulis dan pengarah, Ritchie sedar bahawa untuk menzahirkan sebuah kisah sejarah seperti Raja Arthur dalam zaman hari ini adalah risiko yang cukup tinggi.

Disebabkan itu, pengarah berusia 48 tahun ini mengambil jalan selamat untuk memodenkan kisah Raja Arthur dengan memfokuskan perkara penting bagi memastikan ceritanya mudah dicerna oleh penonton terutama golongan muda.

Untuk peminat dan pengikut sejarah Raja Arthur yang mungkin mengharapkan sesuatu luar biasa menerusi filem ini, lupakan sahaja kerana ia adalah hanya sebuah filem untuk hiburan semata-mata.

Bekas calon Oscar, Jude Law memegang watak antagonis bersama Vortigen.

Ia bukanlah kisah yang merangkumi semua watak-watak penting yang sudah biasa didengari tetapi fokus penceritaannya adalah tentang Arthur (lakonan Charlie Hunnam) yang menjadi mangsa keadaan selepas rampasan kuasa oleh bapa saudaranya, Vortigen (Jude Law) yang mahu menjadi raja dan menguasai Camelot.

Sehubungan itu, penonton didedahkan dengan perjalanan kisah hidup Arthur dari kecil sehinggalah dewasa dan kehidupannya sebagai golongan marhaen selepas kematian kedua ibu bapanya.

Seperti mana yang penulis katakan, menyedari kisah Raja Arthur bukan sebuah kisah biasa, Ritchie mengambil pendekatan untuk memendekkan semuanya dengan teknik imbas semula dengan harapan penonton akan dapat memahaminya.

Akan tetapi, filem King Arthur: Legend of the Sword ini ada kekurangan sesuatu yang tidak dapat menjadikan ia sebagai sebuah filem yang dapat dibanggakan.

Ia seperti kehilangan magis yang sepatutnya dipaterikan memandangkan milieunya berada dalam kehidupan fantasi.

Kemunculan selebriti sukan terkenal dunia, David Beckham hanyalah seketika dan bukannya pelakon utama.

Ditambah pula dengan judulnya sendiri yang mengaitkan Raja Arthur dengan kuasa sakti pedangnya, Excalibur, ia terpesong jauh daripada apa yang diharapkan.

Pada hemat penulis sendiri, jika judul itu yang digunakan untuk menarik perhatian penonton, seharusnya, olahan cerita dan fokusnya juga adalah berkisarkan tentang itu.

Alang-alang mahu memodenkan dan memberikan sentuhan kontemporari untuk sebuah kisah legenda, mengapa tidak sahaja, memberikan penekanan terhadap Arthur dan Excalibur untuk menentang Vortigen sebelum menuntut kembali takhtanya.

Penulis percaya jika fokus itu yang ditekankan oleh Ritchie, tidak mustahil filem ini akan menjadi lebih menarik kerana tiada apa yang istimewa telah dilakukan untuk menggambarkan keseluruhan cerita dengan judulnya sendiri.

Babak Arthur dan Excalibur hanyalah sekali dan ia memang memberikan impak yang sepatutnya menjadi nadi utama kepada jalan cerita filem ini, tetapi, hanya sekadar satu babak itu sahaja.

Eric Bana (kanan) dan Poppy Delevingne sebagai ibu bapa Arthur, Uther Pendragon dan Igraine.

Benar, filem ini mudah difahami dan tiada masalah tentang itu. Cumanya, ia terasa kosong dan penulis tertanya juga apakah sebenarnya yang mahu dipersembahkan oleh Ritchie sehinggakan babak aksinya juga kelihatan hambar.

Ia tidak memiliki faktor wow untuk menjadikan ia sebuah filem aksi fantasi yang sewajarnya. Pun begitu, sesuatu yang wajar dipuji tentang King Arthur: Legend of the Sword ini adalah sinematografi indah yang sedikit sebanyak menutup kelemahan filem ini.

Dek kerana kelemahan itulah, ia mungkin jadi faktor penyumbang utama kepada kegagalan King Arthur: Legend of the Sword yang tidak berupaya mencatatkan kutipan memberangsangkan untuk minggu pembukaannya di Amerika Syarikat di sebalik kos pembikinannya sebanyak AS$175 juta (RM760.9 juta).

Tambahan pula, dengan meletakkan Hunnam sebagai teraju utama juga dilihat sebagai satu kesilapan.

Harus diakui, namanya kurang popular dan dia tidak memiliki nilai bintang yang tinggi untuk menarik audiens ke pawagam walaupun Hunnam boleh dikategorikan sebagai pelakon kacak.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan