‘Get Out’ Bukan Sebuah Filem ‘Thriller’ Biasa

Diterbitkan: Khamis, 27 April 2017 1:41 PM

Filem 'Get Out' hadir tepat pada waktunya dalam senario politik yang tidak menentu ketika ini.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Get Out

PENGARAH: Jordan Peele

PELAKON: Daniel Kaluuya, Allison Williams, Bradley Whitford, Catherine Keener, Lil Rey Howery dan LaKeith Stanfield

GENRE: Misteri/Thriller

DURASI: 104 minit

PENGEDAR: United International Pictures

TARIKH TAYANGAN: 20 April 2017

TIADA siapa menyangka filem pertama arahan pelakon yang cukup sinonim dengan genre komedi, Jordan Peele ini mendapat sambutan luar biasa. 

Rata-rata ulasan yang diberikan terhadap Get Out semuanya positif dan pastinya ada sebab mengapa filem ini mendapat pujian melambung tinggi daripada pengkritik dan juga khalayak filem amnya. 

Apatah lagi, Get Out bukanlah filem yang dihasilkan dengan kos yang tinggi – AS$5 juta (RM21.75 juta) sahaja. 

Ditambah pula, ia tidak dibarisi dengan pelakon popular atau Gred A yang mampu menjadi umpan untuk penonton ke panggung menontonnya.

Justeru, apakah faktor yang telah meledakkan Get Out sehingga melayakkan ia memiliki nilai berita yang cukup tinggi di kalangan wartawan filem, peminat dan pengkritik di AS lalu menjadi tular di laman sosial?

Meskipun bukan pelakon popular, keserasian antara David Kaluuya (kiri) dan Allison Williams sebagai pasangan kekasih berjaya dicernakan di layar.

Positifnya, penularan itu juga telah membantu Get Out yang digelar sleeper hit itu mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak AS$170 juta (RM739.3 juta) di AS dan masih ditayangkan di sana. 

Penulis yang berkesempatan menonton Get Out beberapa hari lalu menganggap filem ini adalah yang terbaik untuk beberapa tahun kebelakangan ini daripada beberapa aspek. 

Pastinya, penulis menyifatkan Peele sebagai pengkarya yang bijak untuk meletakkan Get Out sebagai mahakaryanya dengan memberikan dimensi baharu dari sudut penceritaan untuk genre thriller

Menyedari thriller merupakan salah satu genre yang seringkali mendapat perhatian, Peele tidak hanya mahu mempersembahkan sesuatu yang klise dan normal. 

Sebaliknya, dia menggunakan statusnya sendiri sebagai golongan minoriti (dalam konteks ini Peele adalah Afrika-Amerika) sebagai suara untuk mewakili golongannya dalam permasalahan tertentu.

Pelakon komedi yang kini bergelar pengarah, Jordan Peele sewaktu di lokasi penggambaran filem Get Out.

Secara lahiriahnya, kalau ditonton filem ia secara jelas menceritakan tentang isu rasis yang masih lagi membelenggu rakyat AS. 

Perkara ini dapat dilihat bagaimana watak Chris Washington (lakonan David Klauuya) berhadapan dengan masalah tersebut selepas menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya yang berkulit putih, Rose Armitage (Allison Williams). 

Chris semakin menjadi tidak selesa dengan keadaan itu selepas dijemput oleh Rose ke rumah orang tuanya di pinggir bandar untuk bermalam di sana pada hujung minggu dan berhadapan dengan perkara pelik sewaktu majlis keramaian yang dianjurkan oleh keluarga Rose. 

Dari satu sudut, sebagai pengkarya, Peele berjaya mengadunkan elemen yang diperlukan dalam filem thriller sehingga membuatkan penonton mula tertanya-tanya dan mencari jawapan di setiap peristiwa yang terjadi sepanjang perjalanan filem ini. 

Dalam erti kata lain, Get Out mencabar minda penonton dalam acuannya sendiri dan disebabkan itu penulis mengatakan filem ini lari dari norma filem thriller yang sudah terlalu biasa dihidangkan kepada penonton.

Salah satu babak filem Get Out yang mempunyai maksud tersurat dan tersirat.

Keseraman itu turut dirasai terutama pada babak-babak menunjukkan sekumpulan manusia yang menghadiri majlis tersebut yang masing-masing memiliki perangai pelik sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada penulis.

 Perasaan itu secara tidak langsung mengingatkan bagaimana perasaan serupa yang dihadapi oleh penulis sewaktu menonton filem seram klasik, Rosemary’s Baby (1968) dalam konteks yang penulis sebutkan di atas. 

Sebagai sebuah filem thriller, pace atau pergerakan Get Out berada dalam keadaan yang sepatutnya dan diperlukan oleh sesebuah filem dalam genre tersebut. Tidak cukup dengan itu, suntingan dan skor muziknya juga memainkan peranan penting untuk terus membuatkan penonton resah di tempat duduk. 

Pun begitu, seperti mana yang penulis sebutkan, ‘keseraman’ Get Out sebenarnya merujuk kepada beberapa karakter di dalam filem ini yang mewakili masyarakat  terutama membabitkan isu perkauman, penindasan dan stereotaip terhadap golongan minoriti. 

Lebih tepat, Peele menjadikan Get Out dengan menggunakan genre thriller untuk menyampaikan sindiran tajam dan pedas kepada rakyat AS sendiri lebih-lebih lagi dalam suasana terkini politik negara itu. 

Babak komedi Get Out dihidupkan oleh Lil Rey Howard sebagai Rod Williams.

Menyedari tanggungjawabnya sebagai pengkarya, Peele mengambil peluang itu dengan sebijaknya untuk menyampaikan sebuah cerita yang berpaksikan kepada realiti kehidupan selain mahu mengubah tanggapan skeptikal masyarakat terhadap golongan kulit hitam. 

Jika dilihat, Get Out juga sebenarnya mengangkat golongan ini ke satu peringkat yang sebenarnya sudah patut diubah sejak sekian lama. Peele mahu golongannya diterima secara adil dan saksama dengan mereka yang berkulit putih. 

Apa yang mengagumkan apabila golongan kulit hitam di dalam filem ini dianggap hebat dan pencabar kerana memiliki kelebihan yang tiada pada golongan kulit putih. 

Semuanya dapat dilihat menerusi babak-babak pada majlis tersebut dengan lontaran dialog yang diucapkan. 

Dalam masa yang sama, Peele juga mahu menjadikan Get Out sebagai sebuah karya yang tidak menjadikan watak kulit hitam sebagai tempelan, mangsa keadaan, dianggap kurang cerdik dan hanya sekadar menjadi penghibur dengan lawak jenaka sinis. 

Bradley Whitford (kiri) dan Catherine Keener berjaya menghidupkan watak masing-masing yang penuh misteri.

Sebaliknya, Peele mengubah semuanya sehinggakan watak utamanya, Chris itu tidak menggambarkan watak yang klise seperti kebiasaannya walaupun memiliki teman wanita berkulit putih. 

Chris digambarkan sebagai lelaki kulit hitam yang bijak, berfikiran matang, berpenampilan kemas dan sedap mata memandang (walaupun tidak kacak) selain penuh santun dan memiliki budi bicara yang tinggi. 

Apa yang paling penting, penulis percaya Peele kini mampu tersenyum puas dan bangga apabila ia berjaya menjadikan golongannya sebagai seorang wira dalam konteks yang sebetulnya menerusi Get Out.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Get Out

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan