‘Fast & Furious 8’ Kisah Kitar Semula Dengan Elemen Kosmetik

Diterbitkan: Khamis, 20 April 2017 6:10 AM

Tiada yang baharu dan menarik untuk diperkatakan tentang Fast & Furious 8.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Fast & Furious 8

PENGARAH: F. Gary Gray

PELAKON: Vin Diesel, Dwayne Johnson, Michelle Rodriguez, Charlize Theron, Tyrese Gibson dan Scott Eastwood

GENRE: Aksi

DURASI: 136 minit

PENGEDAR: United International Pictures

TARIKH TAYANGAN: 13 April 2017

PENULIS percaya kesinambungan filem kelapan dalam francais filem The Fast and the Furious ini ada kaitannya dengan kejayaan luar biasa filem ketujuhnya, Furious 7 yang mencatatkan kutipan pecah panggung sebanyak AS$1.516 billion (RM6.68 billion) pada tahun 2015.

Rekod berkenaan merupakan julung kali yang dicatatkan oleh francais filem berkenaan sejak mula diperkenalkan kepada khalayak filem pada tahun 2001 menerusi filem The Fast and the Furious.

Lebih-lebih lagi, pada ketika Furious 7 ditayangkan, pelakon utamanya, Paul Walker sudah pun meninggal dunia dan itu juga dilihat sebagai salah satu faktor penyumbang kepada penjualan tiket filem berkenaan.

Bukan hanya terletak kepada rekod penjualan tiket semata-mata, tetapi Furious 7 juga diangkat dan diletakkan sebagai filem terbaik dalam francais The Fast and the Furious.

Pada awalnya, ramai yang skeptikal dengan francais filem ini dan menjangkakan ia tidak mampu bertahan lama. Namun, seperti mana francais filem terlaris yang lain,The Fast and the Furious memiiki kelompok peminat tersendiri.

Charlize Theron dan Vin Diesel dalam salah satu babak filem Fast & Furious 8.

Justeru, apabila Fast & Furious 8 (judul asalnya adalah The Fate of the Furious untuk pasaran Amerika Syarikat) kembali selepas dua tahun, ramai yang meletakkan harapan tinggi untuk melihat ia mampu mencipta kejayaan serupa atau mungkin lebih hebat lagi.

Ternyata, Fast & Furious 8 telah mencatatkan rekod luar biasa pada minggu pembukaannya di luar Amerika Syarikat (AS) terutama di China sekaligus memadamkan rekod dicipta oleh Jurassic World (2015).

Tetapi malangnya, untuk kutipan di AS sendiri, Fast & Furious 8 tidak mampu untuk mencatatkan rekod sama seperti Furious 7 yang paling tinggi dalam francais filem tersebut.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan kutipan Fast & Furious 8 tidak dianggap cemerlang dan salah satunya adalah premis cerita itu sendiri yang menyebabkan ramai berpendapat francais berkenaan perlu melakukan perubahan radikal untuk terus kekal relevan.

Pastinya selepas 16 tahun, persoalan utama yang timbul adalah apakah lagi cerita yang mahu dipersembahkan kepada khalayak di samping fokus utama francais filem ini yang setia ‘menjual’ aksi dan keberkesanan teknik imej janaan komputer (CGI) semata-mata.

Scott Eastwood (tengah) sebagai Eric Reisner.

Penulis yang berkesempatan menonton Fast & Furious 8 (walaupun francais filem ini bukan kegemaran penulis) mengakui bahawa ia adalah sebuah naskhah yang tergolong dalam kategori biasa sahaja.

Tiada yang menarik mahupun luar biasa. Bahkan, aksinya juga berada dalam tahap sederhana yang tidak berupaya untuk menangkap jiwa penulis. Bukan bersikap prejudis kerana penulis juga sukakan genre aksi.

Tetapi, apabila sudah acap kali filem seperti ini diterbitkan (dalam konteks francais filem ini), ia seperti kitar semula dan hanya dicantikkan dengan elemen kosmetik untuk memperbaharuinya.

Dalam erti kata lain, Fast & Furious 8 diibaratkan seperti sebuah kereta lama yang dibikin semula dengan menambah aksesori luaran yang kemudiannya diwarnakan dengan warna yang lebih menarik untuk menangkap perhatian masyarakat.

Elemen kosmetik dalam Fast & Furious 8 pastinya terletak kepada watak antagonis bernama Cipher lakonan bekas pemenang Oscar, Charlize Theron yang sekadar mengindahkan layar semata-mata.

Keserasian watak dalam filem Fast & Furious 8 seperti ada kekurangan.

Sebagai watak antagonis dan seharusnya menjadi wanita yang kejam, Theron tidak memaksimumkan lakonannya untuk memberikan rasa yang sepatutnya kepada audiens.

Kekejaman Theron hanyalah terletak kepada tindakannya yang menghasut dan memperdaya Dominic Toretto (lakonan Vin Diesel) untuk meninggalkan teman-teman yang sudah dianggap sebagai keluarga demi melunaskan misi jahatnya untuk memusnahkan dunia.

Jika Theron dianggap sebagai elemen kosmetik untuk lelaki, kemunculan Scott Eastwood (anak bongsu seniman legenda Hollywood, Clint Eastwood) sebagai Eric Reisner merupakan gula-gula untuk penonton wanita (dan mungkin lelaki) selain dilihat sebagai pengganti kepada watak Brian O’Conner (Walker) sebelum ini.

Dalam satu aspek lain, keserasian antara barisan pelakonnya juga kelihatan canggung dan tidak menyerlah seperti mana dalam filem terdahulu.

Barangkali mungkin ada kaitannya dengan ketiadaan watak Brian O’Conner yang sudah dianggap sebagai nadi kepada perjalanan cerita The Fast and the Furious.

Pun begitu, penulis sukakan gandingan Dwayne Johnson dan Jason Statham yang masing-masing memegang watak Luke Hobbs dan Deckard Shaw yang membuktikan mereka ada keserasian untuk membintangi filem komedi aksi pula selepas ini.

Filem Fast & Furious 8 memaparkan kisah Letty Ortiz (Michelle Rodriguez, kiri) dan Dominic Toretto (Vin Diesel) yang sudah mendirikan rumah tangga.

Babak-babak aksinya pula tidak menderum ganas seperti mana yang diharapkan kerana penggunaan CGI melebihi daripada sepatutnya lalu ia kelihatan sungguh cantik, kemas dan terlalu sempurna.

Bahkan, babak akhir filem ini turut membawa ingatan penulis kepada salah satu babak aksi filem James Bond, Die Another Day (2002). Seperti mana yang penulis katakan di awal tadi, francais filem ini seharusnya sudah mula memikirkan untuk menamatkan kisah ini secepat mungkin.

Jika mahu meneruskannya, maka, Universal Pictures selaku penerbit dan pengedar harus fikirkan formula baharu.

Diesel yang juga merupakan salah seorang penerbit ada menyatakan bahawa Fast & Furious 8 telah pun menghala ke arah baharu selepas ini terutama dari sudut penceritaannya malah, Diesel dengan penuh terbuka memberitahu francais filem ini akan diteruskan sehingga filem ke-10 kelak.

Apa yang pasti, Fast & Furious 8 dihasilkan khusus untuk peminat tegar yang mengikuti francais ini sejak dari filem pertama lagi selain keghairahan Universal Pictures yang melihat filem baharu ini sebagai lubuk emas untuk terus mengukuhkan portfolio mereka.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Fast & Furious 8

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan