‘Sindiket’ Karya Hambar Dan Tawar

Diterbitkan: Isnin, 10 April 2017 3:24 PM

Sharnaaz Ahmad memegang watak sebagai Inspektor Rudy yang mempunyai kisah silamnya sendiri dalam 'Sindiket'.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Sindiket

PENGARAH: Bade Haji Azmi

PELAKON: Sharnaaz Ahmad, Daphne Iking, Rashidi Ishak, Sharifah Amani, Tony Eusoff, Liyana Jasmay, Danny Prima Agung dan Wangi Julianda

GENRE: Drama/Aksi

DURASI: 86 minit

PENGEDAR: Empire Film Solution

TARIKH TAYANGAN: 6 April 2017

HANYA selang sebulan sahaja, dua filem arahan bekas pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-16 (2003 – KL Menjerit), Badaruddin Haji Azmi atau lebih dikenali sebagai Bade menemui penonton tempatan.

Hampir sebulan lalu, filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior ditayangkan dan kini, sebuah lagi filem arahan Bade, Sindiket sudah pun berputar di pawagam minggu lalu.

Rasanya itu adalah satu pencapaian yang membanggakan untuk Bade dan bukan mudah untuk dikecapi oleh mana-mana pengarah dalam suasana pasaran filem tempatan yang begitu teruk ketika ini.

Soalnya, apakah kedua-dua filem arahan Bade tersebut telah meninggalkan impak yang selayaknya untuk seorang pengarah handalan lagi dihormati sepertinya? Jawapan jujur penulis, maaf cakap… tidak!

Nampaknya filem Sindiket yang ditunjangi Sharnaaz Ahmad dan bekas pemenang Pelakon Harapan Wanita FFM-23 (2010 – Belukar), Daphne Iking juga tidak berupaya meletakkan naskhah ini pada tahap yang sewajarnya.

Sebelum mengeluarkan wang untuk membeli tiket filem Sindiket, penulis sememangnya melapangkan fikiran dengan tidak memikirkan yang buruk tentang filem ini.

Penglibatan bekas dua pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani dalam Sindiket tidak memberikan impak.

Apatah lagi memikirkan tema filem ini adalah sesuatu yang berat dan permasalahannya juga tidak pernah berkesudahan.

Tetapi, nampaknya, segala keraguan itu tidak menunggu masa lama untuk terbit dalam diri tatkala menonton Sindiket.

Sebelum itu, penulis akur dengan kenyataan Bade dalam satu artikel menerusi mStar yang mengatakan beberapa babak dalam filem Sindiket menjadi mangsa suntingan Lembaga Penapisan Filem.

Pun begitu, bagi penulis itu bukanlah satu masalah besar. Sebaliknya, kelemahan Sindiket adalah lakon layarnya yang sekali lagi maaf cakap, berterabur dan tidak kemas. Malah, ia langsung tidak memberikan impak yang sepatutnya terjadi untuk filem seperti Sindiket.

Mahu atau tidak, sepanjang menonton filem ini, fikiran penulis melayang seketika memikirkan kehebatan lakon layar filem Songlap (2012) yang juga berlegar kepada tema tentang sindiket pemerdagangan manusia.

Penulis tidak menafikan filem Sindiket merupakan filem yang bergerak secara linear dan mudah difahami dengan sedikit babak imbas semula.

Barangkali Bade juga mahu filem ini bergerak sedemikian rupa kerana tidak mahu audiens rasa terbeban sepanjang menontonnya.

Akan tetapi, apabila dilakukan sedemikan rupa, ia begitu tawar dan hambar dan menonton Sindiket ibarat menonton drama murahan di televisyen yang pernah dihasilkan sedemikan rupa.

Sebagai anak jati Sabah, Daphne Iking tidak mempunyai masalah berlakon dengan menggunakan loghat negeri kelahirannya itu.

Dalam erti kata lain, tiada pembaharuan yang dilakukan untuk tema sejagat seperti apa yang mahu ditonjolkan dalam Sindiket. Kelemahan ketara filem ini juga adalah dialog dan skripnya yang dilakukan dengan begitu mudah.

Bukan itu sahaja, gandingan pelakon juga tidak membuahkan keserasian yang sepatutnya untuk filem seperti ini.

Sedangkan, jika dua watak protagonisnya iaitu Inspektor Rudy (Sharnaaz Ahmad) dan Inspektor Sabrina (Daphne Iking) diterokai dan dibangunkan dengan sebaiknya, ia dapat memberikan kesan dramatik terhadap perjalanan filem Sindiket.

Apatah lagi filem ini mengenengahkan tentang bagaimana wanita menjadi mangsa kepada sindiket. Justeru, watak utama tadi seharusnya memainkan peranan penting juga untuk membangkitkan momentum cerita Sindiket ini.

Begitu juga dengan watak antagonis Jack dan Galang yang masing-masing dipegang oleh Tony Eusoff dan Rashidi Ishak. Emosi dan penghayatan kedua-dua pelakon itu hanyalah sekadar di permukaan sahaja lalu tidak berupaya membangkitkan rasa marah dan benci atas sikap dan tindakan mereka.

Penulis juga tidak melihat keberkesanan lakonan bekas pemenang dua Pelakon Wanita Terbaik FFM iaitu Sharifah Amani dan Liyana Jasmay yang menjadi mangsa culik dan seterusnya dijadikan hamba seks bernama Amira dan Noreen.

Dari satu aspek lain penulis membaca filem ini, subtek Sindiket sebenarnya tidak hanya mahu bercerita tentang isu pemerdagangan manusia tetapi ia membicarakan tentang permasalahan wanita dalam setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan oleh mereka.

Dalam erti kata lain, Sindiket mahu memberitahu bahawa dalam abad ke-21 ini, kaum wanita masih lagi lemah, bertindak mengikut emosi dan tidak mempunyai pemikiran yang bijak sehingga menyebabkan diri mereka terjebak menjadi mangsa.

Sharnaaz Ahmad dan Daphne Iking bergandingan kali pertama dalam filem Sindiket.

Penulis mengambil contoh watak Amira dan Noreen itu sendiri. Sebagai mahasiswi di universiti, apakah mereka tidak begitu bijak untuk menilai baik dan buruk sebelum membuat keputusan sehingga sanggup menipu keluarga demi mencari kepuasan diri?

Sebagai orang terpelajar (secara umum, sesiapa yang layak ke menara gading dianggap sebagai bijak pandai) dan dilahirkan dalam generasi Z, pastinya Amira dan Noreen tidak mudah untuk tertipu dan wajar melakukan tindakan sepatutnya.

Dalam konteks Sindiket itu sendiri, Amira dan Noreen dipaparkan sebagai wanita yang sengaja menyebabkan diri mereka menjadi mangsa oleh sikap dan tindakan kurang bijak mereka.

Perihal ini juga sama dipaparkan menerusi watak Yanti (Wangi Julianda) yang tewas dengan pujuk rayu lelaki bermulut manis sehingga tidak sedar bahawa diri mudah ditipu dengan cukup mudah.

Mungkin dalam kes Yanti ini boleh dimaafkan kerana dia digambarkan sebagai watak wanita kampung yang barangkali tidak berpelajaran dan hanya memikirkan tentang usaha untuk memajukan diri dan keluarga dengan mencari peluang berhijrah ke bandar.

Walaupun Sindiket diinspirasikan daripada kisah benar, sebenarnya Bade boleh lakukan sesuatu yang di luar kotak dan mengangkat Sindiket ke peringkat yang lebih baik daripada apa yang telah dilakukannya.

Bagi mereka yang belum menonton Sindiket, tontonlah dengan hati yang terbuka dan nilaikan sendiri. Setiap individu memiliki pandangan sendiri dari sudut pandang berbeza.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Sindiket , Bade

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan