‘Hidden Figures’ Angkat Kisah Wira Tersembunyi

Diterbitkan: Jumaat, 3 Mac 2017 12:45 PM

Filem 'Hidden Figures' mengangkat kisah wira tersembunyi yang dikuatkan dengan lakonan Janelle Monae (kiri), Taraji P. Henson dan Octavia Spencer (kanan).

(Ubah saiz teks)

FILEM: Hidden Figures

PENGARAH:
Theodore Melfi

PELAKON: 
Taraji P. Henson, Octavia Spencer, Janelle Monae, Kevin Costner, Kirsten Dunst, Jim Parsons dan Mahershala Ali

GENRE:
Drama

DURASI: 
126 minit

PENGEDAR:
 20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 
23 Februari 2016

BAGI
penulis sendiri, menonton filem yang mengangkat kisah kaum minoriti yang berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran sebelum mencapai atau mencipta kejayaan lalu membentuk diri mereka hari ini adalah sesuatu yang luar biasa.

Apatah lagi, terutama di Hollywood, sering kali kisah kejayaan tersembunyi tentang golongan ini terutama mereka yang berkulit hitam dan seangkatan dengannya tidak banyak dipaparkan seiring dengan propanda mereka yang mahu meletakkan kaum kulit putih sebagai wira.

Justeru, usai menonton filem Hidden Figures arahan Theodore Melfi (St. Vincent, 2014) baru-baru ini, ada satu perasaan bangga bercampur gembira dan terharu dalam diri penulis.

Sementelah, penulis sendiri menantikan tayangan filem ini di pawagam tempatan selepas menonton sedutan filemnya dan membuat sedikit pembacaan tentang kisah di sebalik Hidden Figures.

Ternyata, cerita yang menjadi insipirasi pembikinan filem ini memang penulis sifatkan luar biasa.

Jika selama ini, dunia menganggap kejayaan Amerika Syarikat (AS) menembusi angkasa lepas adalah disebabkan oleh kaum kulit putih yang banyak mempelopori penciptaan sejarah berkenaan, namun, realiti sebenar adalah sebaliknya.

Taraji P. Henson memberikan lakonan yang cukup berkesan dalam filem Hidden Figures.

Jika bukan kerana kepakaran dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh tiga wanita kulit hitam bernama Katherine Johnson, Dorothy Vaughan dan Mary Jackson, pastinya misi AS ke angkasa tidak akan menjadi kenyataan.

Disebabkan itulah, penulis menganggap Hidden Figures hadir tepat pada waktunya di kala AS sendiri berhadapan dengan kemelut politik dan pelbagai masalah lain yang sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi kepada dunia secara amnya untuk terus hidup tanpa sebarang batasan.

Jika sebelum ini banyak kisah tentang golongan kulit hitam diceritakan dan dipaparkan untuk merendah-rendahkan mereka tetapi Hidden Figures memiliki kehebatan tersendiri dalam mengangkat imej golongan itu sekali gus membuktikan mereka juga mampu berdiri setanding dengan sesiapa juga.

Filem Hidden Figures merupakan sebuah karya jujur dan kejujuran itu cukup terserlah sepanjang lebih dua jam perjalanannya.

Lakon layarnya yang kemas menjadikan Hidden Figures memiliki hala tuju dalam menyampaikan penceritaannya dengan penuh keseimbangan.

Sudah pasti titik fokus Hidden Figures adalah tentang kisah Johnson lakonan bekas calon Oscar, Taraji P. Henson, seorang pakar matematik yang berkhidmat di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

Salah satu babak filem Hidden Figures.

AS yang tidak pernah diketahui kehebatannya dalam ilmu berkenaan sehinggalah dia bertugas sebagai “manusia komputer” untuk membuat pengiraan trajektori di sebuah divisyen terpenting di NASA.

Selama bekerja di NASA, dia bersama dua teman baiknya, Vaughan (Spencer) dan Jackson (Moane) ditempatkan di sebuah bilik terpencil dikhususkan untuk wanita kulit hitam sahaja yang terletak di sebuah bangunan jauh daripada pusat pentadbiran.

Sesuatu yang menarik tentang Hidden Figures yang membuatkan penonton meletakkannya sebagai salah sebuah karya terbaik apabila ia tidak menggunakan latar belakang penindasan terhadap kaum kulit hitam itu sendiri untuk menagih simpati penonton.

Sebaliknya, latar belakang itu yang memberi suntikan baharu dengan mempamerkan kekuatan, kecekalan dan kebangkitan tiga wanita ini dalam membuktikan kelebihan masing-masing untuk menempatkan diri mereka dalam bidang yang selama ini didominasi oleh golongan lelaki dan kulit putih.

Tidak seperti dalam filem-filem sebelum ini, kekerasan dan penentangan terhadap tiga wanita yang mewakili kaum minoriti ini tidak ditonjolkan dengan keterlaluan. 

Sebaliknya, paparan itu adalah menerusi beberapa karakter dan situasi tertentu yang cukup jelas menunjukkan sentimen yang ada di dalam diri mereka.

Meskipun seorang penyanyi, Janelle Monae memiliki bakat lakonan tersendiri dan menghidupkan watak Mary Jackson.

Dalam berhadapan dengan masalah penindasan dan diskriminasi, ketiga-tiga wanita ini memiliki prinsip dan pendirian tegas tanpa mahu terus dipandang sebelah mata lalu mereka berusaha untuk ke hadapan agar keistimewaan yang mereka miliki itu dipandang dan dihargai.

Seperti mana yang penulis jelaskan tentang keseimbangan dan kekemasan lakon layar Hidden Figures yang ditulis oleh sendiri oleh Melfi dan Allison Schroeder, meskipun ia tentang tiga wanita penting ini tetapi ceritanya tidak bercelaru dan memiliki momen tersendiri untuk setiap karakter tersebut.

Watak Johnson misalnya, bukan sahaja dipaparkan tentang kehidupannya di NASA tetapi bagaimana dia mengimbangi kerjayanya dengan kehidupan peribadi sebagai balu dan memiliki tiga cahaya mata perempuan sehinggalah dia bertemu dengan seorang pegawai tentera, Jim Johson (Mahersahala Ali) dan kembali berumah tangga.

Begitu juga dengan kisah Vaughan yang berhadapan dengan dilema untuk mengangkat kedudukannya ke tahap lebih tinggi dan cabarannya sendiri di tempat kerja selain kisah hidupnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Sementara untuk Jackson pula, sebagai seorang yang memiliki latar belakang akademik yang tinggi sama seperti dua rakannya, dia juga mahu memperbaiki dirinya menjadi lebih baik dan menyahut cabaran di sebalik ketegangan situasi yang berlaku ketika itu.

Segenap aspek penerbitan filem ini tepat dikategorikan sebagai terbaik. Baik dari segi sinematografi, suntingan, rekaan kostum, rekaan produksi dan skor muzik, semuaya melengkapkan Hidden Figures sebagai karya terbaik.

Bekas pemenang Oscar, Kevin Costner turut menguatkan lagi filem Hidden Figures.

Tidak mustahil apabila ia menerima tiga pencalonan Oscar untuk Filem Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Spencer), baru-baru ini yang ternyata ia layak untuk dimiliki Hidden Figures meskipun ia juga wajar dicalonkan dalam beberapa kategori teknikal lain.

Dari sudut lakonan pula, Henson berjaya menghidupkan watak Johnson dengan baik sekali. Lakonannya berfokus dari mula sehingga akhir dan Henson sebenarnya layak  menerima pencalonan Oscar untuk lakonannya itu bagi Pelakon Wanita Terbaik.

Bagi penulis, lakonan Spencer kali ini sebenarnya hanyalah sekadar biasa-biasa sahaja dan tidak seperti lakonan mantapnya dalam filem The Help yang telah menobatkannya dengan trofi Oscar bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada 2012.

Namun, lakonan Monae cukup mengagumkan penulis dan tidak menyangka penyanyi pop itu memiliki bakat lakonan yang tidak kurang hebatnya.

Monae mampu pergi jauh dan tidak mustahil Oscar mampu menjadi miliknya satu hari nanti.

Pun begitu, kehebatan lakonan ketiga-tiga aktres wanita ini turut didokong dengan persembahan lakonan para pelakon lain seperti Ali, Kevin Costner, Kirsten Dunst, Jim Parsons dan Glen Powell yang telah mewujudkan keseimbangan untuk meletakkan Hidden Figures sebagai salah sebuah karya yang akan dikenang.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Hidden Figures , Wayang

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan