‘The Space Between Us’ Bukan Naskhah Untuk Dikenang

Diterbitkan: Rabu, 8 Februari 2017 5:45 AM

Filem 'The Space Between Us' menggabungkan genre romantik dan sains fiksyen, namun, gagal menjadi sebuah karya yang dapat diingati.

(Ubah saiz teks)

FILEM: The Space Between Us

PENGARAH:
Peter Chelsom

PELAKON:
Asa Butterfield, Britt Robertson, Gary Oldman, Carla Gugino, B. D. Wong dan Janet Montgomery

GENRE: 
Drama

DURASI:
121 minit

PENGEDAR:
GSC Movies

TARIKH TAYANGAN:
2 Februari 2017

JIKA dikaji, seawal tahun 1910, filem-filem terbitan Hollywood sudah mengembara jauh ke hadapan apabila mengambil latar belakang planet Marikh sebagai plot penceritaan.

Walaupun filem-filem tersebut berpaksikan kepada genre sains fiksyen, namun, suntikan genre lain di dalamnya menambahkan rencah untuk menjadikan ia lebih menarik untuk ditonton.

Pun begitu, daripada kajian yang dijalankan, hampir kesemua filem yang mengetengahkan kisah di planet keempat dalam sistem solar itu tidak berjaya di pawagam dan mendapat kritikan negatif daripada pengkritik.

Jika ada sekalipun, hanyalah beberapa buah sahaja dan yang paling diingati adalah Total Recall (1990) dan paling baharu, The Martian (2015).

Bagi pengkritik, filem yang mengambil konsep sedemikian kecuali
The Martian dilihat tidak banyak berubah dan masih statik dengan pengkisahan eksplorasi di Marikh yang sudah berulang kali dikitar semula.


Salah satu babak filem 'The Space Between Us.'

Justeru, apabila filem The Space Between Us akhirnya ditayangkan tahun ini selepas dua tahun ditunda, apakah filem arahan Peter Chilsom (Hanna Montana: The Movie, 2009) ini membawa satu evolusi baharu dalam pengkisahan cerita tentang dunia Marikh?

Secara jujurnya, penulis mengakui plot penceritaan The Space Between Us ini sesuatu yang cukup menarik apabila ia mengisahkan bagaimana seorang bayi dilahirkan di Marikh ketika ibunya dihantar ke angkasa lepas untuk sebuah misi.

Ketika berlepas, si ibu yang juga seorang angkasawan bersama Sarah Elliot (lakonan Janet Montgomery) tidak sedar dirinya sedang hamil.

Apabila perkara itu berlaku, hal tersebut terpaksa dirahsiakan sekeras-kerasnya atas arahan ketua misi, Nathaniel Shepherd (Gary Oldman) yang tidak mahu misi tersebut dibatalkan dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Namun, Sarah meninggal dunia sewaktu melahirkan bayi tersebut dan kemudiannya, dia dibesarkan di Marikh bersama sekumpulan saintis dan angkasawan selama 16 tahun.

Dunia Gardner Elliot (Asa Butterfield) hanya termaktub di kawasan persekitaran Marikh dan dia diberikan sepenuh kasih sayang serta dilindungi oleh seorang angkasawan bernama Kendra Wyndham (Carla Gugino) serta sebuah robot, Centaur.

Pelakon berkarakter, Gary Oldman boleh dikatakan sebagai penyelamat filem ini biarpun wataknya hanyalah sekadar biasa sahaja.

Akan tetapi, semakin meningkat usianya, Gardner mahu terus mencari dan merungkai rahsia tentang dirinya sebenar.

Malah, perasaannya membuak-buak mahu pulang ke bumi untuk mencari bapa kandungnya.

Dalam masa yang sama, Gardner telah berkomunikasi dengan seorang gadis dan anak yatim piatu bernama Tulsa (Britt Robertson) lalu membibitkan perasaan cinta dan sayang di dalam diri Gardner terhadap Tulsa.

Impian Gardner tercapai untuk ke Bumi bagi melunaskan misinya, namun, implikasi yang bakal diterimanya telah menyebabkan huru-hara apabila tubuh badan dan organ dalamannya tidak berupaya menerima udara bumi yang tidak serasi dengan dirinya.

Disebabkan itu, penulis merasakan kisahnya adalah sesuatu yang baharu dan berbeza daripada apa yang sudah dipersembahkan sebelum ini (hanya mengambil konsep penceritaan di Marikh).

Asa Butterfield memegang watak protagonis bernama Gardner Elliot.

Setidak-tidaknya, plot cerita The Space Between Us menceritakan sesuatu yang logik dan boleh terima akal lalu membuktikan bahawa sebenarnya manusia boleh hidup di Marikh serta melihat manusia itu daripada sudut berbeza dan meletakkan diri mereka sebagai makhluk asing.

Akan tetapi, suntikan elemen cinta bagi menjadikan The Space Between Us ini lebih komersial tidak berupaya menyelamatkan naskhah tulisan Allan Loeb daripada menjadi sebuah filem untuk dikenang.

Kisah pencintaan antara Gardner dan Tulsa tidak begitu dirasai dan semuanya hanyalah berada di permukaan sahaja.

Apatah lagi, penulis melihat keserasian antara Butterfield dan Robertson tidak cukup kuat dan mereka gagal untuk membangkitkan emosi dan jiwa mereka dalam menzahirkan perasaan mereka di layar.

Lebih-lebih lagi, penulis melihat Robertson sedikit berusia untuk menjadi heroin filem ini dan membawakan watak sedemikian lalu mencacatkan penontonan itu.

Keserasian Britt Robertson dan Asa Butterfield tidak membangkitkan jalinan yang sewajarnya.

Jika watak Gardner dan Tulsa itu digambarkan sebagai kawan rapat, itu adalah lebih baik dan keakraban itu akan dirasai.

Daripada aspek teknikal juga, filem ini tiada apa yang dapat dibanggakan dan hasil kerja Chelsom sebagai pengarah juga tidak kemas dan dilihat sebagai asal siap untuk dijual kepada golongan remaja yang menjadi penonton sasaran.

Mungkin faktor usia penulis tidak dapat ‘memasuki’ dunia remaja dalam filem ini tetapi jika sebuah filem cinta yang memiliki jiwa yang kuat, sesiapa sahaja tanpa mengira usia pasti boleh menerimanya.

Dalam konteks ini, contoh terbaik yang boleh penulis berikan adalah The Fault In Our Stars (2014) dan A Walk To Remember (2002).

Pengakhirannya, The Space Between Us hanyalah sebuah kisah cinta untuk remaja yang akhirnya akan dilupakan begitu sahaja.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: The Space Between Us

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan