‘Arrival’ Naskhah Hebat Di Luar Kotak Pemikiran

Diterbitkan: Rabu, 25 Januari 2017 5:15 PM

Bukan filem sembarangan, 'Arrival' merupakan filem yang dihasilkan luar daripada pemikiran konvensional.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Arrival

PENGARAH:
Denis Villeneuve

PELAKON: 
Amy Adams, Jeremy Renner, Forest Whitaker, Michael Sthulberg, Mark O’Brien dan Tzi Ma

GENRE:
 Sains Fiksyen/Drama

DURASI:
116 minit

PENGEDAR:
Sony Pictures Releasing International

TARIKH TAYANGAN:
12 Januari 2016

PENULIS
merasakan masih belum terlambat untuk membuat ulasan tentang filem Arrival walaupun sudah menontonnya sekitar minggu lalu. Apatah lagi, seminggu dua ini tiada filem yang penulis rasakan berbaloi untuk diulas.

Menyentuh tentang Arrival, sebelum menontonnya, penulis memang cukup sedar akan perhatian meluas yang diberikan terhadap nashkah arahan Denis Villenueve (Sicario, 2015).

Pun begitu, seperti biasa, penulis tidak mahu larut dengan segala ulasan positif yang diberikan terhadap Arrival kerana mahu merasai pengalaman menonton itu sendiri selain enggan terpengaruh dengan ulasan pihak lain.

Sebenarnya, ada perkara yang menggerak penulis penonton filem ini dan salah satunya apabila Arrival dipilih sebagai salah sebuah 10 filem terbaik 2016 oleh Institut Perfileman Amerika (AFI) meskipun ia tergolong dalam genre sains fiksyen.

Apatah lagi, untuk genre sedemikian mendapat pengiktirafan AFI adalah sesuatu yang boleh dikatakan ‘luar biasa’ kerana sains fiksyen jarang sekali menambat hati ramai terutama pengkritik, juri anugerah dan seumpamanya.

  Salah satu babak filem Arrival lakonan Amy Adams (kanan) dan Jeremy Renner.

Penulis juga tidak dapat lari daripada berfikiran skeptikal pada mulanya kerana apabila membaca sinopsisnya, penulis merasakan ia adalah sebuah filem sains fiksyen biasa yang sudah acap kali dihasilkan.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan penaklukan makhluk asing membuatkan penulis membuat telahan bahawa Arrival tidak ubah seperti filem yang berkonsepkan seperti itu sebelum ini.

Namun, selepas menontonnya, barulah penulis faham mengapa Arrival yang diadaptasi daripada cerita pendek berjudul Story of Your Live tulisan Ted Chiang itu diangkat sebagai salah sebuah karya terbaik 2016.

Benar, penulis tidak dapat menafikan bahawa Arrival sememangnya naskhah hebat lagi luar biasa yang tidak pernah terjangkau dek akal.

Bagi penulis, jika sebuah filem yang dihasilkan itu terus menjadi bualan dan perdebatan, ia adalah sebuah karya yang bagus.

Begitulah pengalaman yang dirasai oleh penulis selepas menonton Arrival, ia membuatkan penulis berfikir bagaimana penghasilannya boleh menjadi begitu hebat dan ternyata ia adalah satu pendekatan baharu dalam konteks dan genre sains fiksyen.

Aspek teknikal seperti sinematografi dan suntingan turut melengkapkan Arrival untuk menjadi sebuah naskhah hebat.

Kehebatan Arrival terletak kepada lakon layarnya yang dihasilkan oleh Eric Heisserer (Lights Out, 2016) yang bukan bersifat linear sehingga ia turut menimbulkan kekeliruan kepada audiens untuk meneka apakah sebenarnya yang berlaku.

Akan tetapi, semakin lama filem ini bergerak, momentum itu mula mendaki dan apabila Arrival menghampiri kemuncaknya, di situlah segala misteri terungkai dan di sinilah terletaknya kehebatan Arrival sebagai sebuah naskhah.

Penulis tidak mahu mengulas lanjut kerana mungkin ada di antara pembaca yang belum berkesempatan menontonnya tetapi apa yang boleh penulis katakan, lakon layar
Arrival benar-benar mencabar penonton untuk berfikir.

Jika sebelum ini, kita sering disogokkan dengan penceritaan konvensional dan lapuk tentang penaklukan makhluk asing yang ingin memusnahkan tamadun manusia, tetapi
Arrival memutar cerita itu menjadi sesuatu yang luar biasa.

Arrival
tidak memiliki elemen kosmetik untuk mencantikkan penghasilannya tetapi ia menghadiahkan penceritaan kepada audiens untuk membuktikan bahawa manusia telah diberikan akal fikiran yang sempurna dan lebih hebat.

Jauh lebih hebat daripada makhluk asing yang sebelum ini sering disangka lebih maju daripada manusia.


Amy Adams telah memberikan persembahan lakonan yang cukup mengagumkan dalam Arrival.

Dalam konteks lain, Arrival mempersembahkan tema lingustik yang jarang sekali diketengahkan dalam sinema yang juga mampu membuatkan kita berfikir bahawa bahasa dan komunikasi itu sebenarnya membentuk ketamadunan untuk maju ke hadapan.

Bukan hanya lakon layar, tetapi kehebatan Arrival juga terletak kepada kehebatan Villenueve selaku pengarah genius yang menentukan hala tuju filem ini sehingga ke garis penamat sehingga layak bergelar juara.

Malah, kecemerlangan Arrival turut dibantu dengan teknik suntingan oleh Joe Walker yang mengemaskan lagi perjalanan ceritanya.

Sinematografi oleh Bradford Young juga cukup cemerlang sehingga ia memberikan satu mood berbeza buat penonton merasai satu pengalaman sinematik berbeza seolah-olah ia benar-benar berlaku di hadapan mata.

Dari segi lakonan pula, Amy Adams selaku teraju utama telah memberikan persembahan yang penulis sifatkan terbaik sepanjang kariernya.

Adams membuktikan bahawa dia bukan aktres sembarangan dan mampu melakonkan watak yang menuntutnya bermain dengan emosi yang mendalam.

Arrival juga mengenengahkan tema linguistik, bahasa dan komunikasi yang jarang dipaparkan sebelum ini.

Secara tidak langsung, watak profesor linguistik bernama Louise Banks di tangan Adams turut memperlihatkan terjemahan baharu terhadap pemaparan watak wanita dalam filem yang berbeza.

Namun, sayang seribu kali sayang apabila pihak juri memandang sepi terhadap lakonan Adams dalam Arrival sehingga dia gagal dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Academy ke-89 atau Oscar yang baru diumumkan biarpun Arrival mendapat lapan pencalonan termasuk Filem dan Pengarah Terbaik.

Walhal, Adams telah tersenarai dan memenangi sebahagiannya untuk kategori berkenaan dalam beberapa anugerah perfileman termasuk anjuran badan pengkritik yang menyifatkan lakonannya antara yang terbaik untuk 2016.

Apa yang pasti, Arrival telah tersenarai sebagai salah sebuah filem terbaik sepanjang zaman dalam senarai peribadi penulis. Arrival memang cukup hebat!.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Arrival

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan