Lima Bintang Untuk 'Dangal'

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2017 12:33 AM

Filem 'Dangal' antara karya terbaik Bollywood dan mencatatkan kutipan pecah panggung sejak ditayangkan pada 23 Disember 2016.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Dangal

PENGARAH:
Nitesh Tiwari

PELAKON:
Aamir Khan, Sakshi Tanwar, Fatima Sana Shaikh, Sanya Maholtra, Zaira Wasim dan Suhani Bhatnagar

GENRE:
Drama/Biografi

DURASI:
160 minit

PENGEDAR:
Suraya Filem

TARIKH TAYANGAN:
23 Disember 2016

PUAS
dan terbaik! Itulah gambaran paling tepat yang penulis berikan untuk filem Hindustan terbaharu, Dangal (bermaksud pertandingan gusti) yang kini sedang rancak ditayangkan di pawagam tempatan.

Bagi penulis yang jarang sekali menonton filem Bollywood, apatah lagi untuk menjadi penggemar tegar filem dari bumi India itu, Dangal memberikan satu perspektif baharu dalam pembikinan filem Hindustan. Itu adalah hemat penulis.

Biarpun sebelum ini penonton di seluruh dunia sudah terlalu lama disogokkan dengan filem Bollywood yang sudah sedia maklum akan acuan tetapnya yang memiliki ramuan wajib yakni tarian, muzik dan sinematografi indah, namun Dangal adalah berbeza.

Ada beberapa faktor yang menggerakkan penulis untuk mengeluarkan wang dan menonton Dangal di pawagam.

Salah satu yang menarik perhatian penulis ialah penglibatan studio terkemuka dunia, Walt Disney Studios Motion Pictures untuk menghasilkan filem ini.

Fatima Sana Shaikh (kanan) dan Sanya Maholtra masing-masing memegang watak sebagai Geeta Kumari Phogat dan Babita Kumari Phogat.

Bagi penulis ia satu pencapaian yang dibanggakan kerana bukan mudah menarik perhatian studio itu untuk bekerjasama dengan produksi luar.

Kemudian, penularan video transformasi susuk tubuh pelakon utama filem Dangal yang merupakan aktor gred A Bollywood, Aamir Khan bagi menghidupkan watak Mahavir Singh Phogat yang menjadi titik tumpu filem ini.

Dan pastinya, cerita yang diangkat daripada kisah benar tentang bagaimana Mahavir Singh Phogat yang melatih dua anak perempuannya menjadi atlet gusti benar-benar menarik perhatian penulis sambil menolak tanggapan bahawa Dangal adalah filem Bollywood tipikal.

Ternyata, persembahan dan cerita yang ditampilkan menerusi Dangal boleh dikatakan sempurna bermula dari minit pertama sehingga tamat.

Duduk di dalam panggung selama hampir tiga jam tidak terasa kerana tempo filem ini bergerak dengan pantas, tepat pada sasaran tanpa perlu membuang masa dalam mempersembahkan adegan yang tidak perlu.

Mungkin ada yang mencebik jika penulis memberikan pujian melangit untuk Dangal tetapi percayalah Dangal berhak menerima pujian itu kerana filem ini memang dalam kelas terbaik.

Aamir Khan bersama Sakshi Tanwar (dua dari kanan), Fatima Sana Shaikh (kiri) dan Sanya Maholtra (kanan).

Tidak hairanlah apabila Dangal kini menjadi filem terlaris di India dan mendapat pujian positif secara keseluruhannya di sana.

Lakon layarnya cukup cemerlang dan penulis percaya semuanya disebabkan ceritanya yang ditulis oleh empat orang penulis iaitu Piyush Gupta, Shreyas Jain, Nikhil Meharotra dan pengarah filem Dangal sendiri, Nitesh Tiwari.

Keberkesanan empat idea untuk mencorakkan perjalanan filem ini yang kemudiannya bergabung menjadi satu telah membuahkan hasil sekaligus mengangkat industri perfileman Bollywood ke satu peringkat lebih tinggi dalam mempersembahkan cerita yang bukan konvensional seperti lazimnya.

Bukan itu sahaja, teknik suntingan oleh Bhallu Saluja juga dalam kategori A kerana Dangal memiliki beberapa momen terbaik sehingga beberapa kali penulis menitis air mata tanpa perlu dipaksa dan meninggalkan kesan yang bukan sedikit pada diri.

Apatah lagi untuk membikin sebuah filem biografi dengan mengenengahkan bidang sukan sebagai plot utama bukanlah mudah. Jika tersilap langkah, ia akan menjadi bosan tetapi tidak untuk Dangal.

Anda tidak perlu menjadi peminat tegar sukan gusti untuk memahami filem ini kerana ia mudah difahami.

Salah satu babak menarik yang menarik perhatian penonton.

Filem Dangal terjalin dengan baik apabila ceritanya memiliki rencah yang cukup untuk menjadi sebuah filem keluarga yang wajar ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam erti kata lain, Dangal merupakan sebuah karya yang tulus, jujur dan dibikin dengan penuh keikhlasan untuk menyampaikan mesej positif daripada filem ini.

Menyentuh tentang aspek tema, penulis cukup suka untuk membicarakan bagaimana Tiwari selaku sutradara dan salah seorang penulis cerita dalam mempersembahkan pemaparan dan kedudukan wanita dalam bidang sukan yang didominasi oleh kaum lelaki selama ini.

Tiwari menampakkan kebijaksanaannya untuk tidak melihat wanita ditindas atau dipersembahkan dengan elemen murahan.

Sebagai contoh, mungkin adegan perlawanan gusti itu cuba hendak menampakkan golongan lelaki mengambil kesempatan atas pemain wanita dengan memasukkan adegan yang tidak sepatutnya.

Penulis agak skeptikal juga seandainya perkara itu berlaku dan ternyata telahan itu silap.

'Dangal'  bukan hanya filem tentang sukan gusti semata-mata tetapi memiliki elemen kekeluargaan, kasih sayang dan pengorbanan.

Tiwari menjadikan Dangal berdiri dengan penuh kemegahan dan mengimbangkan kedudukan lelaki dan wanita biarpun ada ketika ideologi itu cuba dimomokkan dengan niat untuk melemahkan kedudukan wanita di mata masyarakat.

Dalam satu aspek lain pula, Dangal juga menjalinkan sinergi yang cukup hebat dengan muzik skor dan lagu yang sudah menjadi elemen penting dalam setiap filem Bollywood. Setiap lagu kena dengan adegannya lalu menjadi satu nilai tambah kepada aspek penceritaannya menerusi lirik dan melodi.

Menyentuh aspek lakonan, Aamir Khan benar-benar menghidupkan watak Mahavir Singh Phogat sebagai seorang bapa, suami dan bekas atlet gusti yang mahukan terbaik untuk keluarganya selain menongkah arus dengan meruntuhkan dunia domestik wanita India apabila membimbing anak-anak perempuannya menjadi atlet bertaraf dunia.

Bahasa tubuh, mimik muka dan penghayatan Aamir Khan terus meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelakon Bollywood dalam kelasnya tersendiri.

Begitu juga dengan lakonan Fatima Sana Shaikh sebagai Geeta Kumari Phogat dewasa yang memberangsangkan dan mampu pergi jauh sebagai seorang aktres.

Biarpun munculnya seketika dalam beberapa babak penting, namun, penulis juga sukakan lakonan Sakshi Tanwar sebagai Daya Shobha Kaur yang memegang watak sebagai isteri dan ibu.

Kelembutan dan naluri keibuan pada dirinya cukup terserlah dan ada ketika dia sendiri mencuri tumpuan dalam beberapa babak dengan lakonan bersahaja.

Penulis sendiri tidak tahu bagaimana hendak menzahirkan kepuasan menonton Dangal. Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata dan pastinya Dangal akan tersenarai dalam senarai filem terbaik pilihan penulis sepanjang zaman.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Dangal

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan