‘Desolasi’ Terus Perkukuhkan Jenama Syafiq Yusof

Diterbitkan: Rabu, 21 Disember 2016 2:31 PM

Syamsul ketika penggambaran filem Desolasi.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Desolasi

PENGARAH:
Syafiq Yusof

PELAKON:
Syamsul Yusof, Bella Dally, Datuk Jalaluddin Hassan, Pekin Ibrahim, Jacky Kam dan Aida Khalida

GENRE:
Drama

DURASI:
111 minit

PENGEDAR:
Skop Productions Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN:
8 Disember 2016

PENULIS masih ingat sewaktu menemuramah penerbit dan pengarah filem tersohor, Datuk Yusof Haslam di rumahnya sekitar enam tahun lalu selepas filem KL Gangster arahan anaknya, Syamsul mencatatkan kutipan luar biasa pada ketika itu.

Pada sesi fotografi dan temuramah yang turut dihadiri Syamsul dan anak bongsu Yusof, Syafiq ketika itu, Yusof sempat memberitahu bahawa Syafiq juga akan mengikut jejak langkahnya dan Syamsul untuk menjadi seorang sutradara.

Kata Yusof lagi, pendekatan Syafiq sebagai seorang pengarah amat berbeza dengan abangnya kerana kecenderungan dan kepakaran anak bongsunya dalam penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI).

Sebagai seorang yang masih baharu dan mentah dalam dunia pengarahan filem, penulis harus mengakui bahawa Syafiq sebenarnya matang dalam karya-karyanya dan mempunyai acuannya sendiri.

Ini dapat dibuktikan menerusi filem pertamanya, SAM (Saya Amat Mencintaimu) pada tahun 2012 yang penulis sifatkan karya sulungnya yang cukup menyakinkan dan membuktikan bahawa Syafiq benar-benar tahu apa yang diinginkan sebagai seorang pencerita.

Salah satu watak lakonan Syamsul (kanan) dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Malah, tidak adil sama sekali untuk membandingkan Syafiq dengan Syamsul.

Tiga filem yang menyusul selepas itu, Abang Long Fadil (2014), Villa Nabila (2015) dan Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit (2016) terus meletakkan Syafiq sebagai pengarah yang wajar diberikan perhatian walaupun Abang Long Fadil dan Mat Moto bukanlah filem kegemaran penulis.

Justeru, apabila filem keempatnya, Desolasi yang ditayangkan bermula 8 Disember lalu, penulis tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton hasil kerjanya kali ini dan sedikit sebanyak meletakkan harapan bahawa Syafiq mampu meneruskan kecemerlangannya.

Ternyata, Syafiq berjaya mengekalkan momentumnya sebagai penglipur lara dalam mempersembahkan karyanya kali ini yang penulis sifatkan sebagai salah sebuah filem terbaik sebelum 2016 melabuhkan tirainya selepas Hanyut dan Interchange.

Menyentuh tentang soal cerita dan lakon layarnya, biarpun tidak sempurna dan masih ada kekurangannya, tetapi bagi penulis, Syafiq berjaya memberikan cerita yang baharu dengan mengambil pendekatan mengenengahkan penyakit sindrom Anton-Babinski yang agak jarang diberi perhatian.

Dengan mengambil sindrom itu, olahan Syafiq yang seterusnya ke arah pendekatan cerita yang Islamik membuatkan Desolasi terus menjadi kuat dengan persoalan yang penulis harus akui sering berlegar dalam fikiran kita sebagai umat Islam.

Syafiq Yusof mempunytai potensi cerah sebagai pengarah filem dan Desolasi merupakan sebuah karya sempurna arahannya.

Syafiq bijak menggabungkan konsep drama, sedikit sains fiksyen dan penceritaan Islamik dalam menyebarkan dakwahnya berhubung dengan persoalan kehidupan kita seharian.

Percayalah, walaupun tidak banyak, tetap akan ada sedikit apa yang menjadi tema penceritaan Desolasi sering berlegar dalam diri kita.

Dalam erti kata lain, ia bukanlah sebuah cerita yang diunjurkan secara linear tetapi sebaliknya ia juga memerlukan penonton berfikir dan tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku sehingga ada beberapa momen membuatkan penonton ketawa kerana merasakan ia adalah sesuatu yang tidak tercapai dek akal manusia.

Namun, itulah namanya kreativiti dan Syafiq menggunakan apa yang dimiliknya untuk memberikan santapan yang bukan klise baik dari segi tema, penceritaan dan hala tuju filem Desolasi itu sendiri terutama bab menyebarkah dakwah dengan caranya sendiri.

Seperti mana yang dikatakan oleh bapanya, ternyata Desolasi cukup padat dengan teknik CGI dan pastinya, babak bandaraya Kuala Lumpur yang kosong tanpa manusia itu adalah yang terbaik serta cukup menyakinkan.

Sehinggakan penulis begitu fokus menonton untuk cuba mencari kesilapan dan kesalahan dengan mencari manusia tersembunyi dalam babak berkenaan tetapi malangnya tiada. Untuk aspek itu, sekalung tahniah harus diberikan kepada Syafiq.

Syafiq (tengah) memberi arahan agar penggambaran Desolasi berjalan lancar.

Walaupun secara keseluruhannya penggunaan teknik CGI itu bukanlah sempurna dan ada sentuhan yang masih kelihatan tidak realistik, tetapi untuk konteks filem tempatan, ia masih boleh diperbaiki dan berada dalam posisi yang boleh diterima pakai.

Mengenai lakonan pula, penulis memberikan merit kepada aktor senior, Jalaluddin Hassan dan Pekin Ibrahim yang menghidupkan watak masing-masing dengan jayanya biarpun lakonan mereka bukanlah bertaraf award material tetapi ada impaknya.

Untuk Syamsul pula, maaf, penulis merasakan anda masih harus perbaiki lakonan anda yang penulis sifatkan tidak memiliki dinamik dan masih di takuk lama. Syamsul mungkin cemerlang di kerusi pengarah tetapi sebagai pelakon, anda memiliki masa lagi untuk memperbetulkan apa yang sepatutnya.

Begitu juga dengan Bella Dally yang penulis sifatkan hanya sebagai penyeri dengan personaliti lembut dan sejuk mata memandang yang dimilikinya selaku pemegang watak sebagai pesakit Anton-Babinski.

Namun, kewujudan Bella dalam filem Desolasi sebagai Maya ada signifikan tersendiri terutama buat Aiman (Syamsul) yang mencari jawapan terhadap permasalahan melanda dirinya selama dia menjadi hamba Allah di muka bumi ini.

Masih hangat ditayangkan, buat peminat tempatan, ambil kesempatan yang ada untuk menonton Desolasi. Siapa tahu, ada hikmah tersembunyi dan cubalah mengambil sesuatu yang positif daripada apa yang dipersembahkan menerusi Desolasi.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tags / Kata Kunci: Desolasi , Syafiq Yusof

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan