Karakter Warna-Warni Dalam ‘Trolls’

Diterbitkan: Khamis, 10 November 2016 4:15 PM

Filem animasi Trolls mempertaruhkan nama-nama popular sebagai penyumbang suara yang memiliki karakter tersendiri.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Trolls

PENGARAH:
Mike Mitchell dan Walt Dohrn

PENYUMBANG SUARA:
Justin Timberlake, Anna Kendrick, Zooey Deschanel, Russell Brand, James Corden dan Christine Baranski

GENRE:
Animasi/Komedi/Muzikal

DURASI:
92 minit

PENGEDAR:
20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN:
3 November 2016

BARANGKALI ada sebab mengapa DreamWorks Animation memilih subjek tentang kisah koloni troll untuk dijadikan taruhan sebagai filem animasi ke-33 terbitan mereka.

Pastinya, salah satu faktor itu ialah sejak troll mula menjengah pasaran selepas dicipta oleh penciptanya, Thomas Dam hampir enam dekad lalu, tidak banyak kisah tentang makhluk kecil yang terkenal dengan imej berambut tinggi dan berwarna itu diangkat ke layar perak.

Jika ada sekalipun hanyalah menerusi medium televisyen dan permainan video selain membuat ‘kemunculan khas’ atau cameo dalam trilogi Toy Story pada 1995, 1999 dan 2010.

Melihatkan kepada senario itu dan tambahan pula, makhluk kecil itu memiliki kelompok peminat tersendiri dek kerana saiznya yang comel telah mendorong DreamWorks Animation yakin dengan pertaruhan mereka menerusi filemTrolls yang sudah pun ditayangkan di negara ini.

Bagi penulis yang juga gemar menonton filem animasi, peluang itu tidak dilepaskan begitu sahaja untuk menyaksikan sejauh manakah kehebatan Trolls yang rata-ratanya telah mendapat ulasan positif di Amerika Syarikat (AS).

Watak Poppy (kiri) dan Branch digambarkan sebagai dua karakter yang memiliki ideologi berbeza tentang takrifan mengenai kehidupan.

Untuk memancing audiens terutama kanak-kanak yang menjadi penonton sasaran utama bagi filem animasi, perkara pokok yang harus diutamakan ialah aspek warna dan perjalanan cerita itu sendiri.

Dalam konteks Trolls, DreamWorks Animation telah menzahirkan sesuatu yang cukup indah di pandangan mata apabila menggambarkan kehidupan koloni troll itu sendiri dengan permainan warna yang berjaya menangkap mata.

Bukan hanya watak troll itu sendiri tetapi daripada aspek penataan seni dan sinematografinya telah banyak menyumbang kepada penghasilan Trolls yang pada hemat penulis telah dizahirkan secara visual dengan baik sekali.

Malah, setiap watak itu sendiri diwarnai dengan pelbagai karakter yang berwarna-warni lalu meletakkan Trolls sebagai sebuah filem animasi yang memiliki jiwanya yang tersendiri.

Penulis juga tertanya-tanya alangkah indahnya filem Trolls ini dihasilkan dalam bentuk tiga dimensi (3D) dan IMAX yang pastinya akan memberikan satu pengalaman menonton yang cukup menarik.

Jika hendak menyentuh tentang tema dan jalan ceritanya, bagi penulis, secara zahirnya, tiada apa yang baharu. Semuanya masih berlandaskan kepada tema kasih sayang, semangat setiakawan dan kekeluargaan.

Bukan hanya watak protagonis, filem Trolls juga ada watak antagonis bernama Chef yang suaranya disumbangkan oleh Christine Baranski.

Akan tetapi, penulis melihat cerita asal yang dihasilkan oleh Erica Rivinoja disifatkan hadir tepat pada masanya di kala dunia hari ini sedang bergolak dan dilanda pelbagai masalah.

Penulis percaya Rivinoja ada misinya tersendiri dalam menulis ceritaTrolls terutama untuk menyuntik semangat dan menerapkan elemen positif dalam diri kanak-kanak hari ini.

Dengan pendedahan melampau terhadap teknologi selain ‘ketagihan’ terhadap gajet terutamanya sedikit sebanyak telah merubah mentaliti generasi baharu hari ini yang menjadikan mereka kurang gemar bersosial dan lebih selesa dengan dunia mereka sendiri.

Permasalahan inilah yang cuba diketengahkan oleh Rivinoja dengan mengenengahkan ideologi berbeza menerusi dua watak troll berlainan karakter iaitu Poppy (Anna Kendrick) dan Branch (Justin Timberlake).

Secara ringkasnya, Poppy digambarkan sebagai seorang yang periang, sentiasa menjadikan kehidupannya penuh kegembiraan dan gemar menyanyi serta berhibur selain memiliki rakan-rakan yang juga mempunyai karakter sepertinya.


Empat bintang terkenal yang menyumbang suara mereka untuk filem animasi Trolls iaitu dari kiri: Anna Kendrick sebagai Poppy, Justin Timberlake (Branch), James Corden (Biggy) dan Zooey Deschanel (Bridget).

Tetapi, Branch pula berbeza apabila dia lebih bersikap pesimis dan enggan bersosial dengan kaum troll yang lain disebabkan melalui satu pengalaman pahit walhal dia juga sebenarnya seperti Poppy dan rakan-rakannya sewaktu zaman kanak-kanaknya.

Di sinilah terletaknya bagaimana watak-watak ini cuba menonjolkan semangat positif dan menyebarkannya bukan hanya kepada kaum mereka sendiri tetapi juga musuh-musuh mereka iaitu makhluk yang menggelarkan diri mereka sebagai Bergens.

Sehubungan itu, penulis menyifatkanTrolls sebagai sebuah filem yang wajar ditonton dan ibu bapa seharusnya mengambil peluang ini untuk membawa anak-anak mereka menonton di pawagam.

Bukan hanya aspek visual, tetapi memandangkanTrolls juga menyuntik elemen muzikal (walaupun bukan dalam erti kata sebenar takrifan genre muzikal itu sendiri) dengan menyelitkan lagu-lagu lama dan baharu yang dinyanyikan oleh penyumbang suara filem ini sendiri.

Lantaran itu,Trolls berjaya menjadi sebuah filem animasi yang menghiburkan, mengasyikkan dan menyeronokkan. Tidak mustahil juga Trolls akan dijadikan francais filem terbitan DreamWorks Animation di masa hadapan.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Tags / Kata Kunci: Trolls

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan