Kesilapan Besar Hollywood Terbitkan Semula 'Ben-Hur'

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2016 4:02 PM

(Ubah saiz teks)

FILEM: Ben-Hur

PENGARAH:
Timur Bekmambatov

PELAKON:
Jack Huston, Morgan Freeman, Toby Kebbell, Nazanin Boniadi, Sofia Black D’Elia dan Marwan Kenzari

GENRE:
Drama

DURASI:
114 minit

PENGEDAR:
United International Pictures

TARIKH TAYANGAN:
15 September 2016

SEWAKTU mendapat perkhabaran tentang filem Ben-Hur diterbitkan semula dan ditayangkan tahun ini, berkerut dahi penulis memikirkannya.

Persoalan yang berlegar, apa rasionalnya Ben-Hur perlu muncul semula di layar perak selepas hampir 60 tahun?

Banyak alasan yang penulis bangkitkan. Ini kerana pada pendapat penulis, filem Ben-Hur yang diterbitkan dan ditayangkan pada tahun 1959 adalah sebuah mahakarya (masterpiece) Hollywood yang tanpa ragu, perlu terus dipelihara dan dikekalkan sampai bila-bila.

Mengapa? Filem Ben-Hur yang dihasilkan pada tahun itu merupakan sebuah filem yang memiliki nilai estetika yang tinggi dalam segenap aspek apabila memperkatakan tentang penerbitan filem epik secara amnya.

Dalam erti kata lain, filem yang pernah memenangi 11 Oscar termasuk Filem, Pengarah dan Pelakon Lelaki Terbaik untuk Charlton Heston itu telah mencapai satu standard yang tinggi lalu membuatkan sesiapa pun waima Hollywood sendiri ‘ditegah’ untuk menzahirkan semula Ben-Hur ke layar perak.

Adegan perlumbaan kereta kuda dalam Ben-Hur versi baharu ini tidak menyamai standard filem terbitan tahun 1959.

Bukan mudah untuk menerbitkan semula filem yang sudah dikategorikan sebagai filem klasik kerana apa jua keadaannya, peminat filem dan penonton akan pasti membuat perbandingan kerana itu adalah resmi dunia perfileman.

Justeru, apabila Hollywood atau secara spesifiknya, Paramount Pictures dan Metro-Goldwyn-Meyer (MGM) selaku penerbit ‘gatal tangan’ untuk menerbitkan semula filem Ben-Hur, ia adalah satu kesilapan yang sewajarnya tidak harus dimaafkan.

Sedari awal, penulis sendiri sudah menjangkakan filem Ben-Hur yang baharu ini akan berhadapan dengan masalah besar terutama kritikan dan kutipan tiket.

Ternyata, telahan itu tidak silap dan Ben-Hur kini merupakan filem yang menanggung kerugian paling besar untuk 2016 (kos penerbitan AS$100 juta dan kutipan setakat ini hanyalah sekitar AS$81 juta di seluruh dunia).

Penulis melihat nasib Ben-Hur saling tidak tumpah seperti mana filem Psycho yang diterbitkan semula pada tahun 1998 biarpun diarahkan oleh pengarah hebat, Gus Van Sant ketika itu.

Itulah padahnya apabila ‘gatal tangan’ menyentuh filem yang sudah dikategorikan sebagai masterpiece dan klasik.

Dalam konteks Ben-Hur versi terkini ini, biarpun, Paramount Pictures dan MGM mengatakan ia adalah adapatasi semula daripada novel Ben-Hur: A Tale of the Christ, tulisan Lew Wallace pada tahun 1880 tanpa mengikut acuan filem tahun 1959, ia masih lagi belum mampu meletakkan ia sebagai karya yang hebat.

Penulis tidak mahu menyentuh tentang kontroversi filem ini yang dikhabarkan mengalami banyak pemotongan terutama babak memaparkan Jesus Christ (lakonan Rodrigo Santoro) untuk tayangan di negara ini tetapi hanya mahu fokus kepada apa yang penulis tonton beberapa hari lalu.

Secara jujurnya, penulis tidak merasakan filem ini sangat teruk atau sampai ke tahap ‘busuk’ tetapi Ben-Hur sebenarnya kekurangan jiwa, perkataan mudahnya ialah kosong.

Penulis merasakan Ben-Hur hanya sekadar dibikin untuk memeriahkan dan mewarnakan industri perfileman Hollywood.

Ben-Hur mempertaruhkan dua muka baharu, Jack Huston sebagai Judah Ben-Hur (kiri) dan Tony Kebbell (Messala).

Mungkin juga untuk memberikan santapan berbeza kepada penonton dan peminat filem tetapi semuanya itu tidak membawa sebarang erti.

Ia seolah-olah Ben-Hur memperolok-olokan kesucian sebuah naskhah yang diangkat tinggi oleh pengikut dan penggemarnya.

Walaupun naskhah yang diadaptasi oleh penulis lakon layar yang juga bekas pemenang Oscar, John Ridley (12 Years a Slave) bersama-sama Keith Clarke tidak cukup untuk memberikan sentuhan emas dalam menterjemahkan kehebatan Ben-Hur ke layar perak.

Lebih malang lagi apabila Ben-Hur mempertaruhkan muka-muka baharu sebagai teraju utama yang merupakan kesilapan besar.

Barangkali Paramount Pictures dan MGM mahu menarik perhatian generasi baharu untuk mengenali Ben-Hur, tetapi, itu juga tidak berhasil.

Lakonan Jack Huston yang memegang watak Judah Ben-Hur dan Toby Kebbell (Messala) tidak fokus dan gagal menterjemahkan kedua-dua watak itu dengan penuh penghayatan, sebaliknya, karakter masing-masing hanya dirasai di permukaan sahaja.

Mereka membawakan watak adik-beradik walaupun Messala hanyalah adik angkat yang dibela sejak kecil tetapi hubungan itu kelihatan canggung dan tidak terasa siblings’ rivalry (persengketaan adik-beradik) yang mampu mencetuskan ketegangan.

Biarpun Ben-Hur turut mempertaruhkan bekas pemenang Oscar, Morgan Freeman sebagai Sheik Ilderim tetapi itu juga belum cukup untuk menguatkan Ben-Hur dan penulis menganggap kemunculan Freeman hanyalah sekadar penyeri sahaja.

Kemunculan Morgan Freeman dalam Ben-Hur hanyalah sekadar penyeri semata-mata.

Seperkara tentang kehebatan dalam naskhah Ben-Hur adalah adegan perlumbaan kereta kuda yang dianggap sebagai momen penting dan klimaks kepada jalan cerita Ben-Hur.

Adegan tersebut untuk filem versi 1959 telah divisualkan dengan sempurna lalu dikategorikan sebagai yang terbaik dalam sejarah sinema dunia.

Justeru, apakah dengan teknologi moden hari ini yang dianggap mudah untuk mencantikkan lagi sesebuah filem telah membantu adegan yang sama untuk Ben-Hur baharu ini?

Sekali lagi maaf cakap kerana ia tidak dapat menyamai standard seperti mana versi tahun 1959.

Syotnya kelihatan berterabur dan ditambah pula dengan suntingan yang tidak kemas telah menjadikan adegan itu hanyalah sekadar seindah biasa sahaja.

Ia tidak mampu membangkitkan keterujaan untuk sama-sama merasai perlumbaan berkenaan.

Untuk itu, Timur Bekmambatov selaku pengarah seharusnya dihukum kerana ‘menghancurkan’ babak ikonik berkenaan yang menjadi nadi kepada Ben-Hur.

Kegagalan Ben-Hur seharusnya dijadikan tauladan oleh Hollywood agar mereka tidak lagi berani menyentuh karya-karya ‘suci’ yang sudah diangkat ke peringkat tertinggi dalam sejarah sinema dunia.

Pastinya ‘mimpi ngeri’ itu akan dikenang untuk jangka masa panjang oleh mereka yang degil dan keras kepala untuk menjadi bijak pandai mengubah sesuatu yang sudah dihadam dengan sempurna oleh masyarakat.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Tags / Kata Kunci: Ben-Hur

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan