'Suicide Squad' Karya Hambar Namun Tidak Seburuk Mana

Diterbitkan: Khamis, 11 Ogos 2016 12:35 AM

Filem Suicide Squad menggabungkan watak-watak supervillain ciptaan DC Comics.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Suicide Squad

PENGARAH: David Ayer

PELAKON: Will Smith, Jared Leto, Margot Robbie, Viola Davis, Jai Courtney, Jay Hernandez dan Cara Delevingne

GENRE: Aksi

DURASI:
123 minit

PENGEDAR: Warner Bros. Pictures

TARIKH TAYANGAN: 4 Ogos 2016

SEBAIK sahaja pengumuman tentang penerbitan filem Suicide Squad sekitar dua tahun lalu, saya tidak pantas berasa gembira. Sebaliknya, saya melahirkan kegusaran kerana bimbang penghasilan filemnya kelak tidak akan menjadi seperti mana yang diharapkan.

Pertamanya, ia merupakan sebuah filem superhero atau lebih tepat untuk menggunakan istilah antihero yang menggabungkan barisan watak supervillain (antagonis ternama) popular kelahiran DC Comics yang kemudiannya dibentuk menjadi sebuah pasukan untuk menyelamatkan bumi daripada serangan musuh.

Dalam masa yang sama, saya turut meletakkan harapan tinggi untuk melihat Suicide Squad sebagai sebuah filem summer blockbuster yang mampu mencipta fenomena tersendiri lantaran ia adalah filem pertama seumpamanya daripada DC Comics dan ketiga dari siri DC Extended Universe selepas Man of Steel (2013) dan Batman v Superman: Dawn of Justice (2016).

Justeru, apabila sebuah filem sedemikian meletakkan barisan watak antagonis yang begitu ramai dan memiliki status penjahat yang bukan calang-calang, pastinya perkembangan watak dalam filem Suicide Squad akan menjadi keutamaan.

Ternyata, telahan saya itu tidak meleset apabila menonton Suicide Squad di pawagam minggu lalu yang pada hemat saya sebuah karya yang hambar namun, belum sampai ke tahap mengecewakan saya sebagai seorang peminat dan pemerhati filem. Dalam erti kata lain, masih lagi boleh ditonton.

Seperti mana yang saya katakan tadi, perkembangan watak dalam filem ini tidak dieksploitasi sepenuhnya oleh Ayer selaku pengarah dan penulis lakon layarnya.

Salah satu babak filem Suicide Squad menampilkan Viola Davis sebagai Amanda Waller (tengah).

Walhal, peluang ini seharusnya digunakan sebaiknya oleh Ayer untuk menjadikan Suicide Squad sebuah filem ekstravaganza selepas kegagalan Batman v Superman: Dawn of Justice yang mendapat kritikan teruk daripada pengulas mahupun peminat secara amnya.

Saya faham apabila filem yang diadaptasi daripada komik dan memiliki pengikut tersendiri ada kala pengarah dan penulis berbelah bagi untuk menggunakan kreativiti dan mengikut acuan yang sudah tersedia.

Tetapi, nasi sudah menjadi bubur dan Suicide Squad tidak mampu menjadi sebuah filem seperti mana yang diharapkan oleh semua pihak. Bukan mahu membandingkan apatah lagi ia adalah daripada ‘musuh’ DC Comics, dua filem The Avengers sebelum ini bagi saya adalah contoh terbaik dalam mengenengahkan fokus cerita serta perkembangan watak yang seimbang.

Dalam konteks Suicide Squad, saya berpendapat watak Joker itu seharusnya menjadi titik fokus kepada perjalanan filem ini memandangkan Joker adalah watak antagonis paling ‘agung’ dan kejam dalam sejarah DC Comics.

Sebaliknya, watak berkenaan di tangan Jared Leto langsung tidak menyerlah selain tidak berupaya membangkitkan perasaan yang sepatutnya dirasai setiap kali watak itu menjelma di skrin seperti mana keseraman yang timbul menonton lakonan mendiang Heath Ledger dalam The Dark Knight yang sehingga ke hari ini dilabel sebagai watak Joker terbaik dalam sinema Hollywood.

Hakikatnya, ada beberapa watak yang saya sifatkan mampu menyerlah dalam filem ini dan ditonjolkan kehebatan mereka tetapi peluang itu tidak digunakan sebaiknya. Sebagai contoh, watak Captain Boomerang (Jai Courtney) ada karakter tersendiri tetapi dirasakan terlalu sedikit impaknya.

Apa yang paling ‘melucukan saya’ apabila watak Slipknot (Adam Beach) yang langsung tidak dirasai impak kehadirannya dan riwayat hidupnya ditamatkan sebelum dia mampu berjuang bersama ahli Suicide Squad yang lain untuk babak-babak terakhir.

Antara babak dalam filem berkenaan.

Ia sekali gus membuktikan bahawa Ayer seboleh-bolehnya mahu menyumbat sebanyak watak yang mungkin untuk melihat Suicide Squad sebagai gah tetapi sebenarnya, dia telah gagal untuk menjadikan ia sebagai sebuah naskhah spektakular.

Kehambaran Suicide Squad sebenarnya juga terletak kepada kekurangan aksi dalam misi yang sepatutnya diselesaikan oleh watak-watak antagonis ini. Mereka dilabel sebagai supervillain yakni penjahat yang sejahat-jahatnya tetapi elemen kekejaman dan kejahatan itu tiada dalam filem ini.

Akan tetapi, di sebalik kekurangan Suicide Squad, ada beberapa elemen yang saya fikir dapat menutup sedikit sebanyak kelemahan filem ini dan salah satunya adalah watak Amanda Waller (Viola Davis) yang saya lihat memberikan definisi sebagai seorang wanita besi.

Begitu juga watak El Diablo (Jay Hernandez) yang begitu mengejutkan dan mengagumkan saya apabila watak berkenaan dapat membangkitkan keterujaan buat saya sewaktu babak pertarungan lalu membuktikan kuasa sebenar El Diablo.

Seperkara yang menjadikan Suicide Squad menarik apabila babak Batman (Ben Affleck) menentang Joker dan Harley Quinn serta Deadshot (Will Smith) dimasukkan dalam filem ini yang terus memberikan gambaran bahawa filem-filem susulan dalam siri DC Extended Universe akan menjadi lebih menarik lagi.

Untuk peringatan bagi mereka yang belum lagi menonton Suicide Squad, pastikan anda terus melekat di tempat duduk sehingga filem tamat kerana ada satu babak penting yang akan menjadi kesinambungan kepada filem seterusnya. (klu: Justice League).


*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.





Tags / Kata Kunci: Suicide Squad

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan