Harapan Besar Pengarah Terhadap 'Juvana 2'

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2015 1:00 AM

Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan sudah pun berada di pawagam sejak 29 Oktober lalu.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Juvana 2 

PENGARAH: Faisal Ishak 

PELAKON: Zahiril Adzim, Johan As’ari, Adam Shahz dan Sheira Aiyob.

GENRE: Aksi/Drama

DURASI: 90 minit

PENGEDAR: Filmscape Sdn Bhd

TARIKH TAYANGAN: 29 Oktober 2015

KETIKA
drama bersiri Juvana mula-mula ditayangkan sekitar tahun 2011 ia segera mendapat perhatian penonton dengan kecemerlangan para pelakon bawah arahan Faisal Ishak menjayakan watak-watak seperti Botak, Daim dan Ayam.

Tidak menunggu lama untuk meneruskan momentum sedia ada, pihak penerbit kemudiannya mengangkat karya tersebut ke layar perak dan nyata usaha itu tidak sia-sia apabila Juvana mendapat kutipan memberangsangkan sebanyak RM2.86 juta pada 2013.

Seperti dijanjikan oleh Faisal sebelum ini, Juvana kembali dengan sekual terbaharu iaitu Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan yang diharap dapat mengulang kejayaan karya terdahulu.

Faisal mengambil risiko besar mengarahkan sekual berkenaan kerana tanggungjawabnya untuk menghasilkan sebuah sekual lebih baik daripada karya terdahulu sangat besar.

Juvana 2 mungkin akan karam sekiranya Faisal tersalah langkah dan ia akan mencalarkan jenama 'Juvana' yang telah dibinanya sejak 2011.

Bagaimanapun, Faisal berjaya membuktikan Juvana masih relevan apabila plot dan jalan cerita ditampilkan dalam karya terbaharunya itu berbeza daripada sebelumnya.

Kesinambungan filem berkenaan masih kuat dengan penampilan sebahagian barisan pelakon asal seperti Zahiril Adzim, Johan As’ari, Adam Shahz dan Sheira Aiyob.

Pekin Ibrahim memegang watak sebagai To'Ki.

Bagaimanapun, permulaan naskhah berkenaan agak perlahan apabila pengarah terlalu mencuba untuk menerangkan kehidupan watak-watak seperti Daim dan Botak selepas tamat tempoh persekolahan mereka di Sekolah Wira Bakti.

Permulaan perlahan itu kemudiannya disambut dengan babak Botak dan Ayam dibebaskan lebih awal selepas berjaya menyelamatkan orang awam dalam satu kejadian rusuhan dicetuskan oleh Lan Todak sebelum ini membuatkan momentum filem berkenaan semakin menarik.

Malah kemunculan watak baharu seperti Pekin Ibrahim dan Hasnul Rahmat juga menambah rasa kepada perjalanan cerita ditampilkan bertambah menarik.

Pujian harus diberikan kepada Faisal dan penulis skrip Alfie Palermo kerana berjaya menyusun perjalanan naskhah berkenaan dengan baik meskipun terdapat kelemahan di awal penceritaan.

Malah dari segi teknikal, Faisal berjaya menghasilkan sebuah filem yang kemas seperti mana karya-karya terdahulunya.

Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan mengisahkan tentang Daim, Botak dan Ayam yang cuba menyesuaikan diri di dunia luar sebaik sahaja hukuman mereka berakhir.

Setelah bertemu semula rakan-rakan mereka, Botak pulang ke rumah dengan penuh azam untuk memulakan hidup baru bersama ayahnya, manakala Ayam menuju ke rumah Apek untuk menjaga adik-adiknya seperti yang diamanahkan oleh Apek sehingga dia dibebaskan.

Johan As'ari dan Zahiril Adzim masih kekal dalam Juvana 2.

Bagaimanapun, harapan mereka untuk masa depan yang lebih baik terpadam dalam masa yang amat singkat. Kini, ayah Botak seorang penagih dadah manakala adik Apek pula menjadi konco geng penjenayah yang dikenali sebagai Geng Jebat.

Pada masa sama, Daim sedang meneruskan pengajiannya dalam bidang guaman bersama teman wanitanya, Sara yang sering mengatakan Daim hanya membuang masa apabila masih bergaul bersama-sama rakan-rakan dari Sekolah Wira Bakti.

Kemudian, nasib tiga sekawan ini menjadi bertambah buruk apabila orang yang mereka kasihi menjadi mangsa culik Tok Ki yang kejam tanpa diketahui motifnya, sehingga memaksa anak-anak muda ini berusaha keras untuk menyelamatkan mereka.

Menyentuh soal lakonan, kesemua pemain tidak kelihatan kekok untuk memainkan peranan masing-masing memandangkan kebanyakkan daripada mereka sudah terlibat dalam drama bersiri Juvana lagi.

Perkembangan watak dari zaman sekolah ke alam dewasa jelas memperlihatkan kematangan watak diketangahkan dan Faisal seharusnya memberi kredit kepada kesungguhan barisan pelakonnya.

Sejujurnya, Juvana 2 adalah sebuah karya yang akan memberi kepuasan kepada penonton terutamanya pengikut setia yang mengikuti siri berkenaan sejak 2011.

Tags / Kata Kunci: Juvana 2 , Faisal Ishak

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan