Lima Babak Tun M Paling Bermakna Dalam Kapsul

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 2:30 AM

Kapsul sudah pun berada di pawagam sejak 17 September lalu.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Kapsul

PENGARAH: Martias Ali

PELAKON: Faizal Hussein, Elly Mazlein, Datuk Rahim Razali

GENRE: Sains Fiksyen

DURASI: 1 Jam 41 Minit

PENGEDAR: Empire Film Solution

TARIKH TAYANGAN: 17 September 2015


BIARPUN
filem-filem bercirikan kenegaraan sering kali dianggap sebagai membosankan oleh segelintir penonton terutama golongan anak muda, namun berbeza dengan filem Kapsul yang telah ditayangkan pada 17 September lalu.

Filem patriotik arahan Allahyarham Martias Mohd Ali ini bukan sahaja menarik malah mampu menyentuh sikap jati diri dan sayangkan negara yang hampir hilang digalangan masyarakat Malaysia.

Kapsul mengetengahkan subjek utama tentang amanat bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang disimpan dalam kapsul dan hanya akan dibuka pada tanggal 1 Januari 2020.

Berbeza dengan filem-filem kenegaraan yang biasa kita tonton sebelum ini, rata-ratanya hanya menggunakan satu latar masa, Kapsul menampilkan watak utama iaitu Zohri Ibrahim yang dilakonkan oleh Faizal Hussein menjelajah empat latar masa sebelum merdeka hingga pemerintahan Tun Dr. Mahathir.

Tun M tampil lima babak akhir filem Kapsul.


Idea tersebut sekaligus memberi impak kefahaman maksimum tentang eleman kenegaraan kepada penonton.

Pengarah mengambil empat zaman iaitu ketika penjajahan Jepun, era 1955 iaitu ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, zaman pemerintahan Tun Abdul Razak dan era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Biarpun meniru konsep idea filem Hollywood iaitu Back To The Future dan Time Machine, namun kelainannya Kapsul bukan filem kosong.

Ada mesej berat yang yang cuba disampaikan Allahyarham Martias untuk menyedarkan rakyat Malaysia yang semakin lupa tentang kepayahan memperjuangkan kemerdekaan.

\

Salah satu babak dalam filem Kapsul.

Selain itu, pengarah bijak menyelitkan unsur jenaka agar penonton tidak berasa bosan dan teruskan menonton filem berdurasi 101 minit.

Pengarah membawa watak Zohri bagi mewakili penonton untuk merasai kehidupan ketika zaman Tanah Melayu yang masih belum merdeka sehinggalah kini dikenali sebagai Malaysia.

Teknik pengimejan komputer (CGI) yang digunakan dalam filem ini juga berjaya mencantikkan lagi 'penggunaan' latar masa yang berlainan.

Selain itu, babak akhir yang menampilkan tokoh negarawan Tun Dr Mahathir sudah tentu menjadi pelengkap dan adegan paling dinantikan penonton dalam filem ini.

Ternyata, lima babak tersebut benar-benar menyentuh hati dan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada penonton tentang perjuangan masyarakat dahulu untuk mendapatkan kemerdekaan. 

Filem Kapsul turut dikukuhkan dengan penampilan khas Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli dan Irfan Khairi.

Faizal membawa watak Zohri dalam Kapsul.


Filem tersebut diterbitkan menerusi syarikat produksi Two Tones Sdn. Bhd.

Filem ini mengisahkan tentang sebuah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dicuri dan membawa Zohri kembali ke zaman silam. 

Zohri terperangkap di tengah pergolakan bangsa Melayu untuk mencapai kemerdekaan serta membawa bangsa Melayu keluar dari kancah kemiskinan. 

Zohri melihat dan merasa sendiri akan erti sebuah perjuangan bangsanya yang tidak pernah dia bayangkan selama ini. 

Kembara Zohri berterusan dari satu era ke era seterusnya dan tiada siapa yang mampu membawa pulang ke zamannya kecuali dirinya sendiri.
 


Tags / Kata Kunci: Kapsul

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan