'Banting' Bangkitkan Kehebatan Filem Melayu Klasik

Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 12:33 AM

Filem Banting mula ditayangkan di pawagam sejak 7 Mei lalu.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Banting

PENGARAH: M. Raihan Halim

PELAKON: Izyan Mellyna, Mastura Ahmad, Fauzie Laily, Jimmy Taenaka dan Osman Zailani.

GENRE: Drama/Komedi

DURASI: 110 Minit

PENERBIT: Papahan Film/Grand Brilliance

TARIKH TAYANGAN: 8 Mei 2015

JIKA bercakap mengenai sejarah filem Melayu, Studio Jalan Ampas di Singapura pasti akan terlintas difikiran kita kerana di situlah naskhah-naskhah terbaik dihasilkan.

Malah kebanyakkan filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee seperti Tiga Abdul, Bujang Lapok, Masam-Masam Manis dan Madu Tiga dihasilkan di studio berkenaan.

Sejak kejatuhan Studio Jalan Ampas pada tahun 1967, tidak banyak filem diterbitkan manakala Raja Bersiong arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong pada 1968 adalah karya terakhir daripada 159 tajuk yang pernah dihasilkan.

Selepas 40 tahun industri filem Melayu malap di Singapura, syarikat produksi Papahan Film mengambil langkah berani dengan menghasilkan Banting yang pasti akan membangkitkan kembali kehangatan industri perfileman di negara itu.

Penulis skrip dan pengarahnya, M. Raihan Halim bukan sahaja berjaya memecah tradisi tersebut tetapi turut tampil dengan sebuah naskah segar dan menghiburkan.

Jika ada sesetengah pengarah lebih selesa mengangkat tema biasa, M. Raihan pula berfikiran sebaliknya. Beliau berani tampil dengan idea berbeza yang pada pengamatan dua sen penulis adalah tindakan berani.

Lakonan mantap Izyan sebagai Yasmin yang menggemari sukan gusti cukup mantap.

Tampil dengan tema dilema wanita Islam yang hidup dilabel sebagai konservetif, M. Raihan mengambil risiko untuk mengetengahkan konsep itu dan taruhannya itu bukan sahaja dijalur dengan baik tetapi menghiburkan.

Sentuhan M. Raihan terhadap penceritaan tentang pandangan skeptikal terhadap wanita Islam berjaya dikembangkan menjadi sebuah naskah menarik dalam acuannya sendiri.

Paparan mengenai gadis Melayu lengkap berhijab yang meminati sukan gusti jarang diangkat atau diberi perhatian dalam filem mahupun drama sebelum ini dan M. Raihan mengambil peluang itu dan mencorakkan jalan ceritanya dalam bentuk paling ringkas dan menarik.

Mesejnya jelas, M. Raihan mahu memberi inspirasi kepada semua wanita Islam bahawa tidak salah memasang impian besar selagi ia masih berlandaskan syariat ditetapkan.

Biarpun mengakui bajet yang diberi agak terbatas namun hasil akhir filem itu langsung tidak menampakkan beliau bergelut dengan masalah itu.

M. Raihan juga tidak terlalu berusaha untuk menyakinkan penontonnya menerusi skrip yang berat tetapi dalam cara santai namun masih meninggalkan kesan cukup mendalam.

Antara babak dalam filem arahan M. Raihan.

Beliau juga bijak menyusun lapisan-lapisan jalan cerita yang ingin disampaikan tanpa mahu membebankan penonton untuk berfikir secara serius.

Banting mengisahkan mengenai Yasmin lakonan Izyan Mellyna seorang wanita Muslim berusia 18 tahun yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mementingkan soal agama terutama ibunya, Halimah (Mastura Ahmad).

Bagaimanapun semuanya berubah apabila Yasmin menyertai pasukan gusti profesional secara rahsia tanpa pengetahuan ibunya.

Nama Yasmin menjadi sebutan dikalangan peminat apabila video pertarungannya mendapat perhatian di Youtube dan sejak itu dia menggunakan nama Zarith Blade.

Keadaan bagaimanapun berubah apabila Yasmin diugut bahawa identitinya bakal dibongkarkan dan pada masa sama dia akan berdepan dengan sebuah pertandingan besar sebagai peninju sebenar.

Selain Izyan Mellyna dan Mastura Ahmad, Banting turut dijayakan oleh barisan pelakon seperti Fauzie Laily, Jimmy Taenaka dan Osman Zailani.

Barisan pelakon filem Banting.

Sementara itu, dari segi lakonan barisan pelakonnya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi kerana masing-masing mempunyai portfolio dan karier mengagumkan di Singapura.

Izyan menerusi watak Yasmin melunaskan tanggungjawabnya dengan baik malah aksi berbahaya ketika bergusti dilakukannya sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri.

Jika anda suka menonton filem berbajet besar dengan kesan khas diluar pemikiran, Banting mungkin bukan jawapannya kerana ia bukan dihasilkan berdasarkan aspek itu.

Istimewanya Banting, ia akan membuatkan penonton mengingati tentang keindahan filem Melayu klasik yang telah bertapak sejak zaman berzaman dan keikhlasan pengarahnya dalam merialisasikan impian untuk membangkitkan kembali kegemilangan karya Melayu seperti mana di Studio Jalan Ampas terlaksana.

Banting dihasilkan tepat pada waktunya dan pembikin filem tempatan juga perlu bersedia dengan kebangkitan industri filem Melayu dari jiran sebelah.

Tags / Kata Kunci: Banting , M. Raihan Halim , Izyan Mellyna.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan