‘Home’ Kurang Aura, Tidak Mencengkam

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 12:32 AM

(Ubah saiz teks)

FILEM: Home
PENGARAH: Tim Johnson
PENYUMANG SUARA: Jim Parsons, Rihanna, Jennifer Lopez, Steve Martin, Matt Jones dan Brian Stepanek
GENRE: Animasi
DURASI: 94 minit
PENERBIT: DreamWorks Animation
PENGEDAR: 20th Century Fox
TARIKH TAYANGAN: 26 Mac 2015


BARANGKALI untuk mengulas filem animasi pastinya akan mengundang rasa klise terutama untuk membincangkan tentang tema yang ditonjolkan.

Apatah lagi, filem animasi adalah ‘gula-gula’ dalam usaha untuk menarik perhatian golongan kanak-kanak ke pawagam menonton bersama ibu-bapa dan keluarga.

Dalam konteks filem animasi, tema dan jalan ceritanya memang sangat mudah dijangka kerana acuannya sudah dibentuk sebegitu memandangkan penonton sasarannya adalah kanak-kanak.

Tema dan nilai positif seperti kasih sayang dan persahabatan antara yang sering kali dijadikan taruhan dalam mendidik kanak-kanak dengan nilai seperti itu.

Justeru, apabila menonton filem animasi terbaru, Home yang sudah pun membuka tirainya pada 26 Mac lalu, hakikat sebenarnya saya melihat filem terbitan DreamWorks Animation itu tidak banyak bezanya dengan filem-filem animasi sebelum ini.

Ia masih lagi berlegar pada kitaran tema dan nilai yang sama seperti mana yang saya sebutkan di atas. Bukan bermakna penonjolan tema itu tidak bagus tetapi bagi saya tiada apa yang baru boleh dikupas tentang filem Home.

Entah mengapa juga selama satu setengah jam menontonnya, filem Home tidak begitu mencengkam jiwa saya walhal filem animasi antara genre filem yang cukup saya minati.

mStar Default Image

Biarpun ia mendapat kritikan dan ulasan yang bercampur-baur di Amerika Syarikat, jujurnya saya juga meletakkan sedikit harapan yang tinggi terhadap Home.

Apatah lagi apabila melihat nama-nama yang menjadi penyumbang suara utama iaitu Jim Parsons yang cukup terkenal dengan watak Sheldon Cooper dalam siri komedi, The Big Bang Theory dan percubaan pertama penyanyi popular, Rihanna untuk filem animasi.

Namun, secara keseluruhannya bagi saya Home adalah sebuah filem animasi biasa yang kurang auranya untuk menjadikan ia sebagai sebuah karya luar biasa.

Akan tetapi, ada beberapa faktor yang saya rasakan Home berada dalam kategori filem yang masih lagi boleh ditonton dan tidak seburuk yang disangka.

Pertamanya adalah watak Oh itu sendiri yang berjaya dihidupkan oleh Parsons yang mampu membuatkan saya ketawa kecil dan tersenyum sepanjang menonton Home.

Dengan trek rekod cemerlang sebagai seorang aktor terutama dengan pencapaiannya sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Emmy sebanyak empat kali, saya sudah menjangkakan dia mampu melakukan yang terbaik untuk watak Oh.

Bahkan, watak Oh yang merupakan makhluk asing itu sendiri amat cocok dengan Parsons sehinggakan seolah-olah bayangan Parsons muncul di layar lebar setiap kali dia melontarkan dialognya.

Sementara itu, Rihanna yang menyumbangkan suaranya untuk watak protagonis bernama Gratuity Tucci atau Tip juga telah menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.


Biarpun ada ketikanya saya merasakan Rihanna sedikit berusia untuk watak kanak-kanak perempuan itu, akan tetapi suaranya yang husky itu menjadikan watak Tip cukup menarik.

Malahan, ada keserasian antara gabungan suara Parsons dan Rihanna yang melengkapkan gandingan mereka di layar meskipun hanya menerusi watak animasi.

Difahamkan juga, watak Tip itu merupakan watak kulit hitam protagonis pertama dalam filem animasi terbitan DreamWorks Animation.

Cuma, saya sedikit kecewa kerana nama besar seperti Jennifer Lopez yang menyumbangkan suara untuk watak ibu Tip bernama Lucy seolah-olah dibazirkan begitu sahaja dan kurang menyerlah.

Saya faham apabila jalan ceritanya mahu menonjolkan konflik antara dua watak utamanya tetapi jika itu yang menjadi taruhan adalah lebih baik untuk menggunakan suara pelakon yang kurang popular untuk watak Lucy itu.

Selain daripada nilai kasih sayang dan persahabatan dalam filem yang diadaptasi daripada buku bertajuk The True Meaning of Smekday hasil tulisan Adam Rex ini, saya melihat penulis lakon layarnya iaitu Tom J. Astle dan Matt Ember cuba menerapkan tema yang berlegar di persekitaran kita pada zaman ini.

Ini dapat dilihat bagaimana koloni makhluk asing ini berhadapan dengan permasalahan hubungan antara sesama mereka yang lebih suka menyendiri, kurang bergaul dan membuat hal masing-masing.

Percubaan kali pertama Rihanna sebagai penyumbang suara untuk filem animasi.


Akan tetapi, ia sangat berbeza dengan kelompok manusia di dalam filem ini yang masih lagi menerapkan hubungan kasih sayang dan menjaga hubungan sesama manusia yang lain.

Sehinggakan Oh sendiri mengakuinya apabila dia mengharapkan perubahan yang berlaku dalam koloninya sebaik sahaja mereka berpindah ke bumi namun, semuanya tinggal harapan.

Semuanya berubah sehinggalah Oh membetulkan kesilapan yang berlaku dan hubungan antara komuniti makhluk asing dengan manusia juga semakin dijaga dan dipelihara selain diterima dengan baik.

Secara metaforanya, Home cuba memberitahu bahawa sesiapa pun kita tidak mengira kaum, bangsa, pangkat mahupun agama, hubungan sesama manusia itu amat penting dalam membentuk sebuah komuniti yang harmoni.

*Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

 

Tags / Kata Kunci: Home

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan