'Isyarat Cinta' Sebuah Karya 'Mahal' Bade Hj Azmi

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2015 5:30 AM

Lakonan mantap pelakon Isyarat Cinta. Dari kiri: Fizo Omar, Adi Putra dan Liyana Jasmay.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Isyarat Cinta
PENGARAH: Bade Haji Azmi
PELAKON: Adi Putra, Liyana Jasmay, Fizo Omar, Ismail Yaacob, Bea Rameshan, Ku Fridah dan Miza Mastura
GENRE: Drama
DURASI:
92 minit
PENERBIT: RK Screens Sdn. Bhd
PENGEDAR: Skop Productions Sdn. Bhd
TARIKH TAYANGAN: 19 Mac 2015

JUJURNYA, saya sedikit skeptikal terhadap filem Isyarat Cinta. Sebelum membuat keputusan dengan membeli tiket dan menontonnya di hari pertama tayangan, saya membuat pelbagai andaian sendiri tentang filem ini.

Biarpun ia diarahkan oleh seorang pengarah handalan dan berpengalaman iaitu Badaruddin Haji Azmi atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Bade, saya tidak begitu yakin pada mulanya.

Apatah lagi, ia adalah sebuah filem cinta dan saya tidak menolak seandainya ia akan menjadi sebuah filem cinta yang klise seperti mana yang sudah banyak dihidangkan kepada penonton sebelum ini.

Seperti biasa, saya tidak akan membaca ulasan di mana-mana kerana tidak mahu mempengaruhi minda saya. Apa yang saya lakukan adalah untuk mengosongkan minda saya dan menonton Isyarat Cinta ini dengan terbuka.

Adi Putra sebagai pemuda bisu bernama Iskandar.

Selepas satu setengah jam di dalam panggung menonton filem ini, saya harus memberikan tepukan kepada Bade yang telah menghasilkan sebuah filem cinta yang bagi saya berada dalam kelas tersendiri.

Jika ada sesetengah penerbit dan pengarah yang cukup selesa mengarahkan filem cinta yang cheesy dan murahan, Bade melakukan sebaliknya. Sebagai pengarah dan penulis skrip yang diilhamkan daripada idea asal, Mazelan Manan, Bade menjadikan Isyarat Cinta sebagai sebuah filem cinta yang mahal dalam acuannya sendiri.

Konotasi mahal yang saya maksudkan apabila Bade yang merupakan bekas pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi filem KL Menjerit ini memaparkan kisah percintaan golongan orang kurang upaya yang saya percaya agak kurang diberikan perhatian dalam filem atau televisyen.

Bukan Filem Cinta Biasa

Bukan seperti filem cinta yang menggunakan dialog dan skrip yang meloyakan serta memualkan, Isyarat Cinta lebih menggunakan bahasa visual untuk menterjemahkan rasa cinta tanpa perlu terlalu menekankan kepada dialog yang berlebih-lebihan.

Bahkan, tiada adegan berpegangan tangan pun dalam filem ini untuk menunjukkan watak-watak utamanya itu bercinta atau mahu meluahkan isi hati masing-masing. Lalu, siapa kata filem cinta tidak boleh dilakukan tanpa elemen-elemen murahan yang sudah terlalu banyak disogokkan kepada kita sejak sekian lama?

Hasil kerja Bade ini harus dipuji kerana Isyarat Cinta berjaya lari daripada jalur genre drama bercorak percintaan yang sudah terlalu biasa kita tonton sama ada filem mahupun televisyen.

Dalam erti kata lain, Isyarat Cinta adalah sebuah filem cinta yang matang dan saya harus akui bahawa hati saya tersentuh sehingga bergenang air mata menonton filem ini terutama pada babak akhir.

Fizo Omar sebagai Ariel cuba menagih cinta daripada Dhiya (Liyana Jasmay).

Saya tidak pasti sama ada kisah ini berdasarkan atau diinspirasikan daripada kisah benar, akan tetapi, apa yang saya tonton di layar itu seolah-olah satu realiti yang berlaku di depan mata saya.

Seperkara yang menambahkan merit kepada Isyarat Cinta adalah dari aspek teknikalnya terutama sinematografi yang tidak salah untuk saya kategorikan sebagai cemerlang.

Ternyata hasil kerja pengarah sinematografi tersohor negara yang merupakan bekas pemenang Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-18, Indra Che Muda Redzuan masih bertaraf Gred A.

Saya percaya ia adalah kombinasi idea kreatif Indra Che Muda dan Bade yang juga di awal kariernya dikenali sebagai seorang pengarah fotografi dan pernah memenangi dua trofi Sinematografi Terbaik FFM menerusi filem Pelumba Malam (1989) dan Fenomena (1991) untuk mengindahkan lagi filem Isyarat Cinta ini.

Lakonan Berkesan

Dari aspek lakonan, saya harus juga memberikan pujian dan sekalung tahniah kepada tiga pemain watak utamanya iaitu Adi Putra sebagai Iskandar, Liyana Jasmay (Dhia) dan Fizo Omar (Ariel) yang telah memberikan markah bonus untuk Isyarat Cinta menjadi lebih berharga.

Ketiga-tiga pelakon utamanya telah memberikan persembahan yang begitu menyakinkan dan penghayatan mereka sampai ke jiwa saya terutama watak Iskandar.

Ia memberikan saya satu gambaran bagaimana seorang yang bisu hendak meluahkan rasa cinta dan sayangnya kepada orang yang disayangi sedangkan dia tidak mampu untuk berbuat demikian.

Liyana Jasmay

Sebagaimana yang saya katakan tentang skeptikal, begitu juga apa yang saya rasakan terhadap para pelakonnya di awalnya.

Saya harus akui bahawa saya impressed dengan lakonan Adi Putra kali ini. Watak seorang lelaki kaya ataupun gentleman sudah terlalu biasa dibawakannya dan secara tidak langsung imej itu sudah kekal pada diri Adi.

Akan tetapi, kali ini ia sangat berbeza kerana emosi Iskandar itu bukan hanya dirasai ketika dia berhadapan dengan Dhia yang menjadi wanita pujaannya tetapi konflik yang perlu dihadapi ketika dengan Ariel sehingga dia sanggup melakukan pengorbanan terbesar dalam hidupnya demi kasih sayangnya kepada Ariel.

Di sini, saya melihat bagaimana watak Iskandar itu sememangnya sangat berkesan dibawakan oleh Adi menerusi bahasa tubuhnya dan permainan matanya yang membuatkan kita merasai apa yang terbuku di hatinya.

Untuk Liyana pula, saya melihat lakonannya menunjukkan peningkatan seiring dengan kematangan usianya serta statusnya sebagai bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM ke-22, watak Dhia itu sememangnya untuk Liyana.

Apatah lagi untuk berkolaborasi semula dengan Bade dan Datuk Rosyam Nor selaku penerbit filem ini, pastinya Liyana tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghidupkan watak Dhia.

Seperti mana perasaan skeptikal saya terhadap Adi, tempias itu turut terkena kepada Fizo.

Jujurnya, sebelum ini, saya tidak melihat Fizo sebagai seorang pelakon yang boleh saya kategorikan sebagai serious actor.

Ini kerana agak sukar saya untuk melihat transisi watak dalam mana-mana projek filem atau televisyen yang dijayakannya sebelum ini.

Kekurangan Lain

Dalam erti kata lain, saya kategorikan Fizo sebagai stereotaip. Namun, dalam Isyarat Cinta, saya mula nampak Fizo cuba untuk lari dan keluar daripada kepompong itu.

Saya melihat watak Ariel itu sememangnya miliknya. Saya boleh merasai emosi dan pergolakan jiwanya berhadapan dengan konflik antara wanita yang disayanginya dan abang yang sudah dianggapnya sebagai saudara kandungnya sendiri.

Pun begitu, saya juga tertarik kepada lakonan Ismail Yaacob sebagai Pak Din iaitu bapa kepada Dhia.

Wataknya sebagai seorang bapa yang penyayang dan bertimbang rasa serta rasional melengkapkan lagi konflik kepada jalan cerita Isyarat Cinta. Dia digambarkan sebagai seorang bapa yang berfikiran moden namun, masih berpegang teguh kepada agama dan adat resam.

Akan tetapi, walaupun bagi saya Isyarat Cinta ini boleh dikatakan berjaya sebagai sebuah filem, namun ada aspek yang saya rasakan agak ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk pembikinan filem sekarang ini.

Apa yang saya maksudkan di sini adalah montaj burung merpati dan bermandi dalam hujan menerusi watak Dhia dan Ariel yang saya kira agak anti klimaks di sebalik keindahan sinematografinya.

Seandainya ditiadakan pun, saya percaya ia tidak akan mencacatkan jalan ceritanya kerana penghayatan pelakonnya sahaja sudah cukup kuat.

Buat peminat filem tempatan, percayalah, Isyarat Cinta tidak akan menghampakan anda.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


Tags / Kata Kunci: Isyarat Cinta , Bade

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan