Kekurangan Di Sebalik Keindahan ‘Cinderella’

Diterbitkan: Isnin, 16 Mac 2015 12:03 AM

Cate Blanchett (tengah) sebagai Lady Tramaine manakala Holliday Grainger (kiri) sebagai Anastasia dan Sophie McShera sebagai Drizella dalam versi baharu filem 'Cinderella'.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Cinderella

PENGARAH:
Kenneth Branagh

PELAKON:  
Lily James, Cate Blanchett, Helena Bonham Carter, Richard Madden, Holliday Grainger, Sophie McShera dan Ben Chaplin

GENRE:
Fantasi/Romantik

DURASI:
112 minit

PENERBIT:
Walt Disney Pictures

TARIKH TAYANGAN:
12 Mac 2015

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, bagaikan sudah menjadi satu trend di Hollywood apabila kisah dongeng atau fairy tale kembali dihidupkan ke layar perak.

Dalam tempoh itu, peminat filem sudah pun disajikan dengan pelbagai versi menerusi kisah-kisah dongeng ini. 

Antara yang diingati adalah Red Riding Hood (2011), Mirror Mirror (2012), Snow White and the Huntsman (2012), Hensel & Gretel: Witch Hunters (2013) dan paling terbaru, Maleficent (2014).

Pun begitu, tidak semua di antara filem-filem yang diadaptasi daripada kisah dongeng ini mendapat kutipan pecah panggung. Malah, ada di antaranya mendapat kritikan yang pelbagai daripada pengkritik.

Kata mereka, ‘formula terbaru’ ciptaan Hollywood ini tidak lebih hanyalah sekadar mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan soal nilai estetika mahupun wacana di dalam filem yang dihasilkan.

Biar apa pun yang diperkatakan tentang formula tersebut, mahu atau tidak, peranan filem sebagai salah sebuah medium hiburan memang tidak boleh dinafikan. Dalam dunia serba moden hari ini dengan teknologi yang berkembang pesat, pelbagai sentuhan ajaib mampu direalisasikan di layar lebar.

Dan, nampaknya formula itu masih berterusan apabila tahun 2015 membuka tirainya dengan menyaksikan sebuah lagi kisah dongeng popular dunia divisualkan kembali ke layar perak iaitu Cinderella.

Sebagai salah sebuah studio terkemuka dunia, Walt Disney Pictures mempunyai pelbagai kelebihan untuk merealisasikan keindahan Cinderella ke layar perak dengan versi yang baharu ini.

Sebelum ini pun, studio ternama itu juga telah menghasilkan filem animasi Cinderella (1950) yang kini telah pun menjadi salah sebuah filem animasi malar segar yang mempunyai pengikut serta peminat tersendiri di seluruh dunia.

Visual Yang Indah

Justeru, menyedari hakikat itu, Walt Disney Pictures mempunyai keyakinan yang sangat tinggi untuk memvisualkan kembali kisah Cinderella ke layar perak.

Lalu, persoalannya adalah apakah lagi yang hendak diceritakan tentang kisah dongeng ini walhal kisahnya semua sudah diketahui? Jika dihitung, sudah lebih 100 kisah Cinderella dalam versi filem dan televisyen dalam pelbagai bahasa sudah ditayangkan sejak tahun 1899.

Mungkin seperti peminat filem yang lain, saya sebenarnya mahu melihat apakah keistimewaan filem Cinderella kali ini. Apakah magis Walt Disney Pictures tercerna dalam versi yang mendapat sentuhan bekas calon Oscar sebanyak lima kali iaitu Kenneth Branagh ini?

Biar saya mulakan dengan yang indah dahulu. Saya fikir Walt Disney telah mengambil langkah bijak untuk menggunakan khidmat Kenneth sebagai pengarah.

Sebagai seorang pengarah berpengalaman meskipun tidak pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik, namun, hasil kerja Kenneth berada dalam kelas tersendiri. Antaranya ialah Thor (2011), Hamlet (1996) dan Henry V (1989).

Disebabkan itu, jika dilihat dari aspek teknikal filem ini, Kenneth berjaya menterjemahkan kisah fantasi Cinderella ini menerusi visual yang sangat menarik terutama dari aspek sinematografinya yang menggambarkan ‘keagungan’ kisah dongeng itu dengan sangat berkesan.


Untuk sebuah filem fantasi seperti Cinderella, everything has to be big. Maksud besar di sini adalah aspek-aspek teknikalnya seperti penataan seni, kostum, kesan khas dan sinematografinya yang menampakkan gah selain memberikan kesan yang mengagumkan dan indah di skrin.

Dari sudut ini, Kenneth telah menterjemahkan ia ke skrin dengan cemerlang sekali yang dapat memberikan satu pleasure viewing kepada audiens menerusi wide shot yang digunakan lalu membuatkan mereka seolah-olah di alam fantasi dan berada dalam filem tersebut.

Impak Tersendiri

Satu mengenai filem seperti ini, saya cukup teruja untuk melihat rekaan kostum dan busana dan untuk filem Cinderella, bagi saya rekaan kostumnya adalah Oscar-worthy.

Apatah lagi ia direka oleh pemenang Oscar sebanyak tiga kali untuk Rekaan Kostum Terbaik iaitu Sandy Powell, tidak ada apa yang perlu dipertikaikan lagi.

Penggunaan warna dan rekaan diletakkan dalam setiap karakter dengan tepat lalu menampakkan warna yang sangat indah di layar lebar seiring dengan pembangunan watak itu sendiri.

Seperkara lagi yang membuatkan saya mahu menonton Cinderella adalah kerana Cate Blanchett dan Helena Bonham Carter yang mana bagi saya adalah dua aktres yang memiliki bakat yang sangat luar biasa.

Sedari awal apabila mengetahui Cate menyertai projek ini dengan membawakan watak antagonis iaitu ibu tiri bernama Lady Tremaine, saya percaya dia mampu menjayakan watak itu dengan baik.

Pemilihan Helena Bonham Carter sebagai fairy godmother sangat tepat.

Ternyata telahan saya itu tidak silap. Cate benar-benar menghidupkan Lady Tremaine dalam acuannya tersendiri. 

Menerusi bahasa tubuh, mimik muka dan lontaran dialognya sahaja sudah cukup untuk menterjemahkan dirinya sebagai watak antagonis itu.

Bahkan, simbolisme dalam penggunaan warna untuk busana Lady Tremaine sudah cukup menggambarkan karakternya apabila warna-warna dalam kelompok hijau sering digunakan yang memberi satu konotasi negatif terhadap watak itu sendiri apabila ia digambarkan sebagai seorang yang materialistik dan posesif.

Mungkin ada yang berpendapat untuk watak ibu tiri seperti itu sangat mudah untuk pelakon bergred A seperti Cate but still, saya merasakan dia telah menjayakan watak itu dengan baik.

Meskipun wataknya itu bukan bertaraf Oscar, tetapi sudah cukup menghidupkan jalan cerita kerana ia adalah salah satu watak penting dalam kisah Cinderella.

Satu lagi watak penting iaitu fairy godmother juga telah memberikan impak yang tersendiri dalam filem Cinderella ini yang mana wataknya telah dijayakan dengan baik oleh Helena biarpun hanya seketika.

Cukup terkenal dengan watak-watak esentrik, tiada apa yang mustahil watak fairy godmother di tangan Helena apabila dia muncul dengan sangat bersahaja namun, terselit humornya yang membuatkan penonton teruja dengan kehadirannya yang menyelamatkan Cinderella untuk bertemu dengan jejaka pujaan hati terutama ketika Cinderella menerima sepatu kacanya.

Kekurangan Watak Cinderella

Di sebalik keindahan Cinderella itu, sebenarnya ada kekurangannnya juga. Dari perspektif saya, kekurangan filem ini sebenarnya terletak kepada watak Cinderella yang dijayakan oleh pelakon baharu, Lily James yang sebelum ini dikenali dengan watak Lady Rose Aldridge dalam drama bersiri, Downton Abbey.

Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi bagi saya Lily tidak berupaya untuk menghidupkan watak Cinderella itu dengan baik. Dia kelihatan kaku dan ada ketikanya wataknya lari daripada fokus.

Lakonannya seperti dibuat-buat dan dia tidak memiliki gemalai untuk menjadi Cinderella. Dalam erti kata lain, watak Cinderella itu tidak memiliki star power untuk memberikan magis kepada filem ini sedangkan dia sepatutnya menjadi titik fokus utama penonton.

Disebabkan itu, saya lebih tertarik untuk melihat watak dua kakak tirinya, Anastasia (Holliday Grainger) dan Drizella (Sophie McShera) yang juga menghidupkan jalan cerita ini.

Apa-apa pun, Cinderella masih lagi dalam jalur filem fantasi yang menghiburkan dan memberi satu penontonan yang tidak mengecewakan.

Pesanan terakhir daripada saya untuk mereka yang mahu menonton Cinderella di pawagam ialah pastikan anda tidak lewat masuk ke panggung kerana filem pendek, Frozen Fever (Kesinambungan daripada filem Frozen) akan ditayangkan terlebih dahulu.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin) dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Tags / Kata Kunci: Cinderella

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan