Sinikal Mamat Khalid Masih Tajam Dalam 'Werewolf Dari Bangladesh’

Diterbitkan: Isnin, 9 Mac 2015 12:15 AM

Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh pertaruhan terbaharu Mamat Khalid.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh

PENGARAH: Mamat Khalid

PELAKON: Shy8, Zizan Razak, Emma Maembong, Saiful Apek, Rab Khalid, Sharwani NS, Muhammad Ikhwan, Muhammad Azwan dan Ahmad Maembong.

GENRE: Komedi/Seram

DURASI: 90 minit

PENERBIT: Ariabella Sdn. Bhd. & Enjit Semut Productions Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 5 Mac 2015

SEJAK beliau muncul dengan filem cereka pertamanya, Lang Buana pada tahun 2003, Mamat Khalid tidak perlu menunggu lama untuk membina jenamanya sebagai seorang pengarah kreatif dalam mewarnakan setiap filem arahannya.

Kreatif yang saya labelkan untuk Mamat adalah bagaimana dia membentuk dan menentukan hala tuju filem-filemnya sehingga mampu meninggalkan impak tersendiri dan menjadi bualan ramai. Bahkan, setiap sentuhannya bagi saya tidak pernah gagal.

Barangkali, ada yang melihat setiap kejayaan filem yang dihasilkan itu ditentukan menerusi hasil kutipan tiket tetapi bagi saya, bukan setiap pengarah mementingkan kuantiti tetapi juga biarlah ia diseimbangi dengan kualiti yang dihasilkan.

Ini dapat dilihat dalam setiap hasil karya Mamat. Biarpun sudah mengarahkan lebih daripada 10 buah filem, tidak dapat dinafikan bukan semuanya mencatatkan kutipan pecah panggung.

Dan pastinya, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) merupakan karya Mamat yang paling berjaya setakat ini dengan kutipan RM7.9 juta dan telah meninggalkan impak luar biasa.

Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh mula ditayangkan di pawagam sejak 5 Mac lalu.

Begitu juga dengan sekuelnya, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013) yang turut membuat kutipan hampir RM6 juta meskipun filem itu bagi saya kurang menyerlah dari segi penceritaan berbanding Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Namun, jika ditanya kepada saya, apakah filem arahan Mamat yang menjadi kegemaran saya, filem Estet (2010), Kala Malam Bulan Mengambang (2008) dan Man Laksa (2006) menjadi pilihan peribadi saya atas faktor ketelitian hasil pengarahan, jalan cerita, naratif dan pengisian ceritanya yang mampu dijadikan wacana.

Justeru, apabila Mamat muncul lagi dengan filem keduanya untuk tahun 2015 iaitu Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh selepas filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan yang ditayangkan pada awal tahun ini, apakah Mamat masih lagi terikat dengan acuan yang serupa atau membawa penonton ke satu dimensi baru dalam penerokaan kreativiti Mamat sebagai seorang sutradara.

Terus Berfantasi

Sebagai seorang pengikut filem-filem arahan Mamat, saya melihat filem terbarunya ini banyak yang boleh dibincangkan terutama dari segi pengisiannya yang menyaksikan sinikal Mamat masih lagi tajam terutama dalam membincangkan aspek permasalahan pemikiran orang Melayu secara khususnya.

Untuk memperkatakan tentang hasil kerja Mamat untuk filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh atau secara ringkasnya, Werewolf Dari Bangladesh, tidak dinafikan skop penceritaan tidak banyak bezanya dengan filem-filem Mamat terdahulu seperti Zombi Kampung Pisang (2007); Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit dan Zombi Kilang Biskut (2014).

Walau bagaimana pun, saya suka melihat Werewolf Dari Bangladesh ini dari satu perspektif yang berbeza di mana Mamat menjadi sinikal dengan mengambil tema yang baru dengan subjek serigala jadian (werewolf) yang belum pernah diketengahkan dalam filem Melayu sebelum ini.

Pun begitu, di sebalik kelainan itu, hakikat sebenar yang mahu ditonjolkan Mamat dalam filem ini sebenarnya adalah untuk memperlihatkan mentaliti sebahagian daripada masyarakat kita terutamanya orang Melayu yang masih lagi gemar berfantasi.

Zizan memegang watak sebagai warga Bangladesh.

Bahkan, saya tidak menafikan malah tidak salah untuk dikatakan bahawa subjek serigala jadian itu diinspirasikan daripada francais filem Twilight.

Jika tidak, masakan watak Jacob (lakonan Ahmad Maembong) yang merupakan salah seorang mangsa serigala jadian diwujudkan dalam filem ini dan kalau ada yang masih ingat, dalam siri filem Twilight watak Jacob dibawakan oleh Taylor Lautner.

Bukan itu sahaja, pembukaan filem ini sahaja sudah mempamerkan watak Usop Wilcha (Shy8) yang berfantasi menjadi agen perisik dan menumpaskan lawannya ala James Bond.

Ini sekali gus memberi indikasi bahawa Mamat mahu memberitahu orang Melayu ini masih lagi terikat dengan dunia fantasi dengan minda yang masih lagi dijajah pemikiran Barat.

Sehubungan itu, Mamat mempamerkan kelainan dengan ‘mengahwinkan’ elemen Barat dan Timur untuk memberikan penceritaan yang berbeza namun, masih lagi dekat dengan masyarakat Melayu menerusi karakter dan penceritaan yang ditonjolkan.

Barangkali akan ada yang bertanya apa relevannya Mamat cuba hendak mengentengahkan kisah warga Bangladesh? Jawapannya mudah. Di sini terletaknya kebijaksanaan Mamat untuk tampil sinikal dan pedas dengan mengutarakan pandangan skeptikal masyarakat kita terutamanya orang Melayu yang sering kali memandangkan rendah terhadap pekerja asing yang mencari makan di negara kita.

Sebagai contoh, budaya kaum lelaki Bangladesh yang kerap berjalan berpimpinan tangan yang seringkali dipandang sinis dan dijadikan bahan jenaka lalu melabelkan mereka dengan konotasi negatif.

Walhal, kita sendiri tidak faham dengan budaya mereka lalu kita serkap jarang dan memberikan tanggapan yang buruk terhadap mereka.

Metafora Serigala Jadian

Sebenarnya, subjek serigala jadian itu bagi saya hanyalah satu metafora untuk Mamat  menggambarkan warga Bangladesh ini sebenarnya adalah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan.

Waima apa jua bangsa, agama dan wana kulit sekalipun, rasa hormat dan berperikemanusiaan itu harus ada dalam diri manusia.

Ini dapat dilihat dengan jelas pada dua puak yang diwakili oleh Pilun (Zizan Razak) serta adik-beradik kembar, Kumba dan Kumbi (Muhammad Ikhwan dan Muhammad Azwan) yang mempunyai pendirian yang berbeza.

Pilun digambarkan sebagai seorang lelaki Bangladesh yang masih lagi mempunyai perasaan rendah diri, lemah lembut, berpijak di bumi nyata selain bekerja keras demi menyara hidupnya di perantauan.



Berbeza pula dengan Kumba dan Kumbi yang menjadi pendendam kerana kematian bapa mereka, Mirdu (Saiful Apek) yang mati dibunuh kerana hanya kehidupan mereka yang berbeza daripada orang lain.

Disebabkan itu, Kumba dan Kumbi memasuki negara secara haram demi untuk memusnahkan spesis manusia.

Kalau diperhatikan sedalamnya, Mamat mahu memberitahu kepada masyarakat bahawa warga Bangladesh ini sebenarnya tidak akan bertindak agresif atau melakukan jenayah seandainya mereka dilayan dan diterima dengan baik (sambil merujuk kepada isu jenayah di negara ini) kerana mereka ke sini bukan dengan tujuan buruk tetapi hanya untuk mencari rezeki yang halal.

Bukan saya mengatakan Mamat cuba membela warga asing ini tetapi ia berbalik kepada soal kemanusiaan. Kita sendiri pun seandainya dijentik setiap hari tanpa alasan munasabah ia dapat membawa kita sampai satu tahap sehingga hilangnya kesabaran dan kewarasan.

Mamat mahu mengetengahkan warga asing ini kerana sudah menjadi satu permandangan yang normal apabila mereka dilayan dengan kurang rasa hormat hanya kerana mereka tidak setaraf sedangkan sikap positif mereka seperti rajin bekerja seharusnya diambil iktibar.

Pun begitu, dari perspektif yang lain pula, werewolf ini juga digambarkan seperti satu virus yang seandainya tidak dikekang dan dikawal, keadaan mampu menjadi lebih buruk dengan kebanjiran warga asing di negara kita seperti mana yang sedang berlaku ketika ini.

Saya melihat filem ini juga banyak menyindir orang Melayu khususnya terutama pemikiran mereka terhadap sesuatu perkara. Mungkin Mamat tidak mahu penonton terlalu memikirkan tentang perkara itu dan mahu mereka berhibur sepanjang satu setengah jam di pawagam.

Tapi mengenali Mamat, mana mungkin filemnya tidak mempunyai kritikan sosial yang seharusnya tidak dipandang sebelah mata oleh masyarakat dan penonton filem tempatan yang majoritinya orang Melayu untuk kita fikir dan renungkan.

Sindiran Pedas

Kreativiti Mamat terletak kepada dialog yang bersahaja namun, ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’. Dalam konteks ini, saya mengambil contoh babak sewaktu di gerai makan dengan memperlihatkan setiap karakter peniaga dengan cara yang berbeza dalam mengusahakan perniagaan masing-masing yang selalu kita dengar.

Sebagai contoh, watak Yeh Sekupang (lakonan Rab Khalid) yang digambarkan seorang lelaki Melayu tipikal dengan berpakaian batik, berantai emas dan rokok yang tidak pernah lekang dari bibir.

Yeh Sekupang juga sering merasakan dia hebat dan cakap besar walhal sebenarnya, tidak ada apa yang dapat dibanggakan.

Tidak cukup dengan itu, Yeh Sekupang digambarkan sebagai seorang peniaga Melayu yang merasakan dengan ‘menjual’ wanita di premisnya dapat melariskan perniagaannya selain percayai perkara karut seperti mandi bunga untuk menguatkan lagi bisnesnya.

Berbeza dengan watak Adi (Adi Shamsul) pula di mana dia dipaparkan sebagai seorang yang patriotik apabila dia tidak mahu mengambil orang asing sebagai pekerjanya tetapi dalam masa yang sama, begitu taksub dengan pasukan bola sepak antarabangsa, Liverpool.

Malah dia menetapkan syarat bahawa sesiapa yang mahu bekerja dengannya harus juga menjadi penyokong tegar Liverpool.

Tidak cukup dengan itu, Adi juga digambarkan sebagai seorang yang gemar menokok-tambah cerita untuk menyedapkan cerita yang belum sahih kebenarannya. Babak ini membuatkan saya senyum sinis sambil mengenangkan pengalaman diri sendiri dalam menghadapi individu yang memiliki perwatakan seperti ini.

Dalam satu aspek lain pula, watak Wahab B (Sharwani NS) dilihat sebagai seorang yang boleh dikatakan pemalas, gemar mengambil kesempatan dan hanya akan bergerak apabila disuruh sehingga disindir oleh Pilun yang menyentuh tentang aspek kerajinan bekerja sewaktu dalam keadaan sakit.

Di sini Mamat sudah memperlihatkan karakter-karakter berbeza tetapi sebenarnya, watak-watak ini wujud dalam masyarakat Melayu sejak azali sehinggalah ke zaman moden hari ini.

Seperkara yang saya suka dengan watak-watak ciptaan Mamat apabila watak yang dicipta itu bersesuaian dengan pelakonnya dan berfokus lalu membuatkan ia menjadi harmoni. Sehubungan dengan itu, setiap watak tersebut meninggalkan impak dan mudah diingati.

Formula kejayaan Mamat itu membuatkan saya berasa dekat dengan mereka kerana ia berlegar dalam kehidupan seharian kita lalu membuatkan kita tidak canggung dengan setiap perwatakan dan cerita yang cuba ditonjolkan Mamat dalam filem ini.

Dari satu aspek lain pula, kelemahan filem ini terletak kepada penggunaan teknik janaan pengimejan komputer (CGI) yang tidak begitu menyakinkan dan tidak kemas.



Malah ia juga kelihatan sangat cartoonish tetapi, memandangkan filem ini tidak memfokuskan kepada teknik CGI semata-mata, maka ia boleh dimaafkan.

Filem Werewolf Dari Bangladesh ini bukanlah filem terbaik Mamat tetapi ia juga bukanlah dalam kategori buruk.

Ia masih boleh ditonton kerana ia tidak gagal untuk membuat saya ketawa dan tersenyum meskipun tidaklah sampai terbahak-bahak.

Karya Mamat bukan sekadar hiburan kosong tetapi ia berisi. Setidak-tidaknya masih ada pengarah seperti Mamat yang nampak permasalahan besar dan serius di kalangan masyarakat kita yang mampu dijadikan wacana filem.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan