'Sunti @Facebook' Kegagalan Karya Seram James Lee

Diterbitkan: Isnin, 2 Mac 2015 12:20 AM

(Ubah saiz teks)

FILEM: Sunti @Facebook

PENGARAH: James Lee

PELAKON: Izzue Islam, Syazwan Zulkifly, Lufya Omar, Anas Ridzuan, Fouziah Gous, Jenny Cortez dan Diddy Hirdy.

GENRE: Seram

DURASI: 90 minit

PENERBIT: Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 26 Februari 2015

TAHUN
2015 baru memasuki bulan yang ketiga dan setakat ini, hanya tujuh filem Melayu sahaja yang ditayangkan daripada 10 buah filem tempatan (merangkumi filem Cina dan India) yang sudah menemui penonton di pawagam.

Daripada tujuh buah filem itu, empat daripadanya adalah daripada genre seram dan ini tidak termasuk filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan arahan Mamat Khalid di mana saya lebih melihatnya sebagai sebuah filem komedi.

Malah, saya berkesempatan untuk menonton kesemua filem seram yang telah ditayangkan iaitu Villa Nabila, Puaka Balai Gombak, Bangunan dan Gudang Kubur.

Secara jujurnya, daripada senarai itu, hanya dua filem seram yang berjaya memikat hati saya setakat ini iaitu Villa Nabila arahan Syafiq Yusof dan Bangunan (Khir Rahman dan Sein Qudsi).

Dari kiri Izzue Islam, Lufya dan Fouziah Gous.

Manakala filem seram yang selebihnya itu, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan pembikinannya.

Lalu, apabila sebuah lagi filem seram berjudul Sunti @Facebook yang mula ditayangkan pada 26 Februari lalu, saya terfikir apakah ia akan menjadi sebuah filem seram yang ‘tidak seram’ atau sebaliknya.

Apatah lagi, filem Sunti @Facebook diarahkan oleh seorang pengarah filem yang bukan calang-calang iaitu James Lee.

Saya amat menyukai hasil kerja untuk tiga filemnya sebelum ini iaitu Histeria (2008), Sini Ada Hantu (2011) dan Tolong Awek Aku Pontianak (2011).

Bagi filem Histeria, James mengambil pendekatan teori psychoanalysis menerusi watak Murni lakonan Liyana Jasmay yang bagi saya sebuah filem yang sangat memberi kesan dan diakui, ia antara filem seram tempatan terbaik pada waktu ia ditayangkan.

Sementara filem Sini Ada Hantu pula, James meneroka urban legend dan menampilkan tiga kisah dalam satu filem manakala Tolong Awek Aku Pontianak pula menyaksikan pengarah kelahiran Ipoh, Perak itu mencuba genre komedi seram yang hasilnya memang tidak mengecewakan.

Justeru, apakah filem Sunti @Facebook ini layak untuk diletakkan di dalam senarai itu?

Maaf James Lee. Saya kira kali ini anda gagal untuk menyakinkan saya dengan filem terbaru ini.

Saya mahu menonton filem ini adalah kerana jenama James Lee itu sendiri yang tidak pernah gagal menyakinkan saya dengan hasil kerjanya sebelum ini.

Salah satu aksi Lufya.

Sangat Kecewa

Akan tetapi, sepanjang menonton Sunti @Facebook selama satu setengah jam (hanya saya seorang sahaja di dalam panggung ketika itu), saya sangat kecewa. Barangkali kerana harapan yang saya letak begitu tinggi sebelum menonton filem ini.

Saya tidak menafikan tema Sunti @Facebook sangat menarik apabila ia cuba untuk menggunakan budaya popular terkini iaitu media sosial untuk memberikan pendekatan terbaru dalam genre seram itu dan saya lihat ia begitu dekat dengan masyarakat terutama Generasi Y dan Z.

Tetapi malangnya, garapan James kali ini membuatkan saya tertanya-tanya apa sudah jadi dengan beliau?

Lakon layarnya lemah dan tidak kemas. Seolah-olah filem ini diarahkan oleh pengarah baharu yang pertama kali mengarahkan filem cereka.

Perjalanan filem Sunti @Facebook ini bergerak secara linear tanpa membuatkan penonton berasa pening untuk berfikir. Disebabkan ini juga, ia menjadi sangat predictable dan mudah dijangka plot serta jalan ceritanya.

Saya percaya dengan kreativiti James sebagai seorang pembikin, dia mampu melakukan lebih daripada itu dan menjadikan Sunti @Facebook sebagai sebuah cereka seram yang berada dalam kelas tersendiri.

Filem Murah

Maaf cakap, filem ini kelihatan murah dan tidak setanding dengan kedudukan James sebagai seorang pengarah yang disegani. Bukan itu sahaja, setiap masalah yang berlaku, jalan penyelesaiannya sangat mudah. Tidak ada elemen thrill atau excitement  dapat diberikan kepada penonton yang terus tertunggu-tunggu apakah akan berlaku dalam babak seterusnya.

Teraju utamanya, Izzue Islam yang memegang watak sebagai lelaki buaya darat bernama Asyiq Ismail bagi saya, sekadar biasa-biasa sahaja seperti mana yang pernah ditonton sebelum ini.

Syazwan Zulkifly pula seorang pelakon baharu yang mampu pergi jauh kerana dia diapat mempelbagaikan karakter lakonan tetapi wataknya sebagai Adan tidak jauh beza dengan watak antagonis yang pernah dibawanya sebelum ni.


Saya tahu Izzue dan Syazwan mempunyai fan base yang kuat lalu filem ini memang sesuai untuk peminat  menikmati wajah pelakon pujaan mereka sebagai ‘eye candy’ di layar lebar.

Bagaimanapun  Anas Ridzuan hanyalah dirinya sendiri seperti mana yang pernah kita tonton sebelum ini manakala lakonan Fouziah Gous pula tidak banyak yang boleh diperkatakan kerana dia masih kelihatan seperti dirinya di layar.

Watak Sunti itu tidak ditangani dengan baik oleh Fouziah kerana fokus watak itu lari dan membuatkan penonton tertanya-tanya apakah sebenar dirinya? Adakah dia hantu ataupun perempuan immortal yang mendapat kuasa selepas menemui seorang bomoh dengan syarat-syarat tertentu?

Wataknya itu samar kerana dia digambarkan tinggal di sebuah rumah kosong yang lengkap dengan segala peralatan termasuk bekalan air dan elektrik serta mempunyai komputer riba dan akses Internet.

Justeru, Sunti @Facebook sebenarnya banyak lompong atau loopholes yang menimbulkan pelbagai persoalan dan tidak memberikan justifikasi yang kuat dalam genre seram itu sendiri.

Mengekploitasi Wanita

Dalam aspek lain pula, saya melihat karya ini tidak lari daripada terus mengekploitasi dan meletakkan wanita pada kedudukan yang sangat rendah.

Ini dapat dilihat secara jelas pada watak Jenny Cortez yang memang dipilih untuk menjadi daya penarik filem ini untuk dijadikan sebagai voyeurism buat penonton lelaki khususnya.

Begitu juga dengan watak Durra lakonan Tya Adnan. Watak itu masih lagi terperangkap dalam acuan klise seperti mana acap kali sudah dipertontonkan kepada umum yakni seorang pelajar yang digambarkan sebagai hodoh, membosankan dan tidak pandai bergaya yang kemudiannya dengan mudah menjadi mangsa permainan lelaki.


Sama seperti watak Sunti Lara yang digambarkan sebagai seorang gadis desa yang lemah-lembut, jelita dan sopan-santun tetapi akhirnya memusnahkan diri sendiri kerana lelaki dan kemudiannya bangkit semula untuk membalas dendam.

Bukankah watak-watak seperti itu sudah terlalu banyak dipaparkan? Apakah wanita hanya sekadar layak untuk dijadikan objek seks dan permainan lelaki?

Mak Nyah

Seperkara lagi, watak ‘perempuan jadian’ atau mak nyah turut dipaparkan secara negatif sekali gus menggambarkan bahawa golongan itu dipandang rendah yang hanya layak menjadi bahan jenaka.

Sebenarnya, watak Jiji lakonan Lufya Omar itu kalau dibentuk dan dicipta karakternya dengan lebih baik lagi, watak itu mampu untuk menjadi kuat dan menguasai filem itu.

Dalam erti kata lain, karektor wanita yang kuat dan hebat boleh ditingkatkan menerusi watak Jiji tetapi malangnya, watak itu juga lemah dan memang sesuai dibawakan oleh pelakon seperti Lufya.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Tags / Kata Kunci: Sunti @Facebook , James Lee.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan