'Kingsman: The Secret Service' Sinergi Antara Fesyen, Aksi

Diterbitkan: Selasa, 24 Februari 2015 12:11 PM

Kingsman: The Secret Service lakonan Colin Firth, Michael Caine dan Mark Strong.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Kingsman: The Secret Service

PENGARAH: Matthew Vaughn

PELAKON: Colin Firth, Samuel L. Jackson, Mark Strong, Taron Egerton, Michael Caine, Sofia Boutella dan Mark Hamill

GENRE: Aksi/Komedi

DURASI: 129 minit

PENERBIT: Marv Films

PENGEDAR: 20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 19 Februari 2015

BEBERAPA kali ke panggung untuk menonton filem, sedutan filem Kingsman: The Secret Service atau Kingsman yang kerap ditayangkan ini sangat menarik di pandangan saya.

Pelbagai andaian yang saya lakukan setiap kali menonton sedutannya. Secara teknikalnya, saya tahu ia adalah sebuah filem aksi penyiasatan yang barangkali sebuah cereka yang klise dari segi plot dan jalan ceritanya.

Apatah lagi, ia ditunjangi oleh pemenang Oscar, Colin Firth (The King’s Speech, 2010) yang saya percaya inilah kali pertama beliau membintangi sebuah filem aksi lalu menambahkan keinginan saya untuk menontonnya.


Berpeluang menonton filem ini pada hari tayangannya 19 Februari lalu, ternyata telahan saya itu tidak silap. Sebaik sahaja Kingsman membuka tirainya, perjalanannya saling tidak tumpah seperti filem aksi penyiasatan yang lain.

Lebih tepat lagi, ia boleh disifatkan sebagai a homage to James Bond movies tetapi dengan pendekatan yang berbeza dan berada dalam acuannya sendiri.

Ditambah pula dengan latar belakang filem ini secara keseluruhannya di London, England membuatkan Kingsman  tidak dapat lari untuk disamakan dengan filem-filem James Bond.

Jika francais filem James Bond lebih kepada aksi yang terlalu padat dan serius, akan tetapi, pengarah filem ini iaitu Matthew Vaughn (X-Men: First Class, 2011) lebih selesa untuk mengambil pendekatan yang sedikit ringan.

Kitar Semula

Untuk membicarakan tentang plot dan jalan ceritanya, bagi saya tiada apa yang menarik dan mudah dijangka kerana ia seperti kitar semula dengan filem penyiasatan yang sudah terlalu banyak ditayangkan.

Apa lagi yang hendak diperkatakan tentang kisah seorang agen penyiasat yang mencari protégé baru, membentuk mereka dengan pelbagai ujian daya ketahanan sebelum diserapkan menjadi salah seorang ahli kumpulan mereka.

Biasa ditonton bukan? Mungkin soal itu boleh dimaafkan kerana Kingsman merupakan adaptasi daripada komik The Secret Service ciptaan Mark Millar dan Dave Gibbons yang diterbitkan pada tahun 2012.

mStar Default Image

Tetapi, apa yang menjadikan Kingsman  ini berada dalam kelasnya tersendiri apabila Vaughn berjaya menjadikan ia sebuah filem penyiasatan yang cukup classy dan bergaya.

Bukan hanya bertindak sebagai pengarah dan penerbit filem ini, tetapi Vaughn juga menjadi penulis lakon layar bersama teman baiknya, Jane Goldman yang nampaknya keserasian mereka berdua membuahkan hasil menerusi Kingsman.

Gelombang Baru

Mengapa saya katakan filem ini begitu bergaya? Saya percaya ia ada kaitan dengan kebangkitan fesyen lelaki masa kini yang telah mencetuskan gelombang baru lalu menjadi satu trend di seluruh dunia.

Mengetahui filem antara pop culture (budaya popular) yang begitu berpengaruh, pastinya Vaughn mahu memberikan satu pendekatan yang berbeza dengan menggabungkan genre aksi dan fesyen lalu berupaya menjadi satu sinergi yang sangat berhasil.

Jika filem-filem James Bond juga mengutamakan stail dan aksesori lelaki, Kingsman juga tidak kurangnya apabila sut bespoke (sut yang ditempah khas), payung, cermin mata, jam, kasut Oxford, tali leher mahupun gaya rambut menjadi perhatian utama dan membangkitkan rasa pleasure viewing kepada penonton lelaki dan juga wanita.

Apabila memperkatakan tentang filem aksi, pastinya yang akan menjadi perhatian adalah action sequence yang merupakan ‘umpan’ untuk membuatkan penonton terus melekat di tempat duduk tanpa rasa bosan.

Untuk itu, Vaughn telah mencipta action sequence Kingsman dengan gaya tersendiri, kemas dan membuatkan penonton terpaku sambil memberi emosi dan reaksi yang pelbagai berdasarkan pengalaman saya menonton filem ini di panggung.

mStar Default Image


Antara babak yang paling saya suka dan diingati oleh kebanyakan penonton adalah sewaktu Harry Hart (Firth) menumpaskan kumpulan gengster di dalam sebuah bar yang sedang mengganggu Eggsy (Egerton).

Satu lagi babak menarik adalah sewaktu kegagalan mikrocip yang ditanam di leher pengikut Richmond Valentine (Jackson) lalu menyebabkan satu persatu kepala meletup dan pecah.

Saya sukakan babak ini kerana Vaughn begitu kreatif dan bijak menggunakan syot kamera dan permainan warna yang mengindahkan lagi action sequence itu.

Bahkan,Vaughn juga bijak menggabungkan babak aksi dengan penggunaan lagu yang bertepatan lalu membuatkan penonton bertambah seronok dan teruja di tempat duduk mereka.

Francais Filem Baharu

Lantaran itu, ia menambahkan lagi markah bonus untuk Kingsman untuk menjadikan ia sebagai sebuah karya yang penuh gaya dan berada dalam kelas tersendiri.

Dari segi lakonan pula, walaupun ini merupakan kali pertama Firth berlakon dalam filem aksi dalam erti kata sebenar, akan tetapi, watak Harry Hart atau Galahad itu dilihat sebagai cocok dengan dirinya yang berkarisma, bijak dan attractive.

Biarpun kelihatan janggal untuk melihat Firth yang cukup dikenali dengan watak berat dan romantik komedi berlakon dalam sebuah filem aksi, namun, dia tidak gagal.

Sementara itu, bagi Jackson yang membawakan watak antagonis dalam filem ini juga tidak menghampakan. Dia tidak dibenci kerana kejahatannya itu sebaliknya penonton lebih melihat humor di dalam dirinya.

Namun, saya cukup tertarik dengan watak Gazelle lakonan Boutella yang merupakan orang kanan Valentine. Sebagai seorang yang kurang upaya, namun, kelebihan yang ada pada dirinya yang memiliki sepasang kaki prostetik berbilah tajam itu membuatkan dia digeruni oleh pihak lawan.



Lalu, apabila dia bertarung dengan Eggsy pada babak akhir, dia kelihatan begitu seksi dan menarik kerana ketangkasan dan kecekapannya menggunakan kedua-dua kaki palsunya itu.

Saya percaya ‘gula-gula’ paling manis dalam Kingsman adalah bintang muda, Egerton yang membawakan watak agen muda dengan begitu menyakinkan sekali. Tidak kekok walaupun pelakon baharu dan dia kelihatan sangat selesa dengan genre aksi.

Mark Hamill yang membawa watak Luke Skywalker dalam tiga siri filem Star War yang asal turut membintangi filem ini dengan badan yang berisi sehingga saya sendiri tidak mengenalinya.

Namun, saya tidak akan memberitahu apakah wataknya dan menyerahkan kepada anda untuk mengecamnya.

Keseluruhannya, Kingsman: The Secret Service tidak menghampakan. Sebaliknya, filem ini menghiburkan untuk melepaskan lelah dan merehatkan minda.

Saya percaya, seandainya ia mendapat kutipan pecah panggung, ia mampu mencipta satu francais filem baharu.

> Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Tags / Kata Kunci: Kingsman: The Secret Service

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan