Realisme Dunia Seni 'Birdman' Ciptaan Innaritu

Diterbitkan: Isnin, 2 Februari 2015 12:30 AM

Michael Keaton memberikan persembahan terbaik sepanjang kariernya sebagai seorang pelakon dan tidak mustahil dia untuknya memenangi Oscar pertamanya.

(Ubah saiz teks)

FILEM: Birdman or (The Unexpected Virtue of Ignorance)

PENGARAH:
Alejandro Gonzalez Inarritu

PELAKON:
Michael Keaton, Emma Stone, Naomi Watts, Edward Norton, Zach Galifianakis dan Amy Ryan.

GENRE
: Dark Comedy

DURASI:
119 minit

PENERBIT:
Regency Enterprises & Worldview Entertainment

TARIKH TAYANGAN:
22 Januari 2015

SUDAH menjadi satu kelaziman, setiap kali musim anugerah di Hollywood melanda, pastinya filem-filem yang menjadi sebutan akan diberi perhatian baik oleh pengkritik mahupun peminat filem sendiri.

Pastinya, peminat filem akan mengambil peluang tersebut untuk menonton dan menilai sendiri kehebatan filem-filem berkenaan.

Untuk musim anugerah kali ini, salah sebuah filem yang sedari awal telah berjaya mencuri perhatian ramai pihak terutamanya para pengkritik filem adalah Birdman or (The Unexpected Virtue of Ignorance) atau judul ringkasnya, Birdman.

Sejak tayangan perdananya dan dipertandingkan pada Festival Filem Antarabangsa Venice ke-71, Ogos lalu, dengan pantas Birdman telah menjadi salah sebuah filem yang hangat diperkatakan.

Malah, ia juga terpilih sebagai salah sebuah 10 filem terbaik sepanjang tahun 2014 oleh Institut Filem Amerika (AFI) dan meraih sembilan pencalonan termasuk Filem Terbaik dalam Anugerah Academy Ke-87 yang bakal berlangsung pada 23 Februari ini.

Lalu, apabila sebuah filem seperti Birdman yang diarahkan oleh Alejandro Gonzalez Innaritu (Babel, 2006) ini meraih perhatian meluas dan dipuji melambung tinggi, pasti ramai yang bertanya dan mahu mencari di manakah keistimewaan filem ini.

Begitu juga dengan saya. Sebelum menonton filem ini, saya lebih selesa untuk mengosongkan minda dan cuba untuk mengelakkan diri daripada membaca ulasan pengkritik filem tentang Birdman kerana saya mahu menilainya dari perspektif saya sendiri.

Ternyata, selama dua jam di dalam panggung, saya rasa sangat puas hati dan berbaloi dengan wang yang saya laburkan untuk menonton filem ini. Agak lama juga saya tidak menonton sebuah filem yang dihasilkan daripada sebuah lakon layar yang asli (original).

Keserasian antara Michael Keaton (kiri) dan Edward Norton menghidupkan jalan cerita Birdman.

Sebagai penulis lakon layar dan pengarah filem ini, Innaritu berjaya membuatkan penonton terus melekat di kerusi untuk terus menonton filem ini dari awal sehingga akhir.

Bagi saya, Innaritu sangat bijak untuk mengambil kisah dunia seni di Barat  khususnya di Hollywood untuk dijadikan sebagai subjek dan plot utama filem ini lalu menjadikan ia sebagai satu realisme.

Barangkali, di mata kita semua, dunia seni adalah dunia yang penuh warna-warni yang indah belaka tanpa adanya duka dan nestapa yang perlu dihadapi.

Kebijaksanaan Innaritu

Di sini terletaknya kebijaksanaan Innaritu dalam menzahirkan kisah di sebalik dunia superficial itu dari kaca matanya sebagai seorang pengarah dan penulis lakon layar.

Di sebalik dunia indah yang selama ini menjadi dambaan ramai pihak, perjalanan itu harus dibayar dengan pengorbanan yang sangat tinggi. Bukan itu sahaja, Innaritu  juga mahu menonjolkan permainan dunia seni dalam filem dan teater yang selalu  menjadi perdebatan perang yang mempersoalkan nilai komersial dan artistik.

Saya melihat filem ini sangat relevan dengan mereka yang terlibat dengan dunia  seni secara langsung dan bagaimana mereka harus berhadapan dengan situasi yang sangat sukar dan menyulitkan.

Apatah lagi apabila nilai populariti yang diraih selama ini semakin susut dan tidak lagi menjadi perhatian, ia mampu membuatkan kita berperang dengan diri sendiri sehingga mampu melakukan pelbagai perkara di luar jangkaan untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan yang pernah diraih.

Situasi inilah yang harus dihadapi oleh seorang aktor bernama Riggan Thomas yang  sedang mengalami zaman kejatuhannya selepas tidak lagi membintangi francais filem superhero, Birdman yang telah menjulang namanya dan meletakkan dirinya sebagai status selebriti ternama.

Untuk mengembalikan semula namanya, dia keluar daripada zon selesanya dengan mencabar dirinya dengan menjadi seorang pelakon dan pengarah teater Broadway dengan mengangkat salah sebuah kisah Raymond Carver yang begitu dekat dengan dirinya.




Watak tersebut ditangani dengan sangat cemerlang dan begitu berkesan sekali oleh  Michael Keaton yang membuatkan saya mengubah persepsi saya terhadapnya.

Cukup terkenal dengan filem Beetlejuice (1988) dan Batman (1990), secara peribadi, Keaton bukanlah salah seorang pelakon kegemaran saya tetapi selepas menontonnya dalam filem ini, Keaton mendapat penghormatan saya sebagai seorang aktor yang berada di dalam liganya tersendiri.

Membawakan watak sebagai seorang pelakon yang sedang melalui zaman kejatuhannya, emosi Keaton sangat dirasai terutama apabila dia berhadapan dengan perang psikologi terhadap dirinya sendiri.

Penonton dapat melihat bagaimana emosinya bercelaru untuk dirinya menyesuaikan diri dengan dunia baru yang jauh berbeza dengan apa yang dilaluinya dulu.

Kalau saya menjadi juri Oscar, saya akan memilih Keaton sebagai pemenang untuk Pelakon Lelaki Terbaik dan saya melihatnya sebagai calon utama untuk membawa pulang trofi itu tahun ini sementelah Birdman membawa tuah untuk Keaton apabila kali pertama beliau dicalonkan untuk Oscar.

Bukan hanya Keaton, kesemua ensemble filem Birdman memainkan peranan mereka dengan cemerlang sekali terutama Edward Norton yang sangat bersahaja sebagai Mike Shiner, seorang pelakon Broadway yang melihatkan dirinya sebagai seorang aktor sejati dalam setiap persembahannya.

Saya juga kagum dengan persembahan Emma Stone sebagai Sam iaitu anak perempuan Riggan yang bermasalah dan baru sahaja keluar daripada pusat pemulihan dadah.

Babak konfrontasi antara Sam dan Figgan saya sifatkan antara babak terbaik dalam filem ini dan itu adalah momen terbaik Stone yang berjaya dirakamkan oleh Innaritu di skrin.

Stone mula mencuri perhatian saya menerusi filem The Help (2011) dan dia  berjaya membuktikan bahawa dia adalah pelakon generasi baru yang mampu  mempelbagaikan watak dalam filem lakonannya.

Maka itu, tidak hairanlah lakonannya dalam Birdman ini mampu memboloskan dirinya dalam senarai pencalonan Oscar bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Biarpun Innaritu cemerlang sebagai pengarah dan penulis lakon layar, kehebatan  filem ini sebenarnya dikuatkan dengan kecemerlangan sinematografinya yang memberikan satu dimensi baru kepada penonton oleh pengarah fotografinya.

Emmanuel Lubezki

Jika tahun lalu, Lubezki telah mempersembahkan hasil kerja yang sangat  menakjubkan dalam filem hebat, Gravity (2013) sehingga melayakkan dirinya memenangi Oscar, tidak mustahil untuk dia membawa pulang Oscar keduanya berturut-turut tahun ini.

Menerusi Birdman, hasil kerja Lubezki sangat cemerlang dan menyakinkan sehingga mampu membuatkan penonton seolah-olah berada di dalam setiap situasi dan momen dalam filem tersebut. Bukan itu sahaja, gabungan antara sinematografi dan hasil suntingannya yang kemas menjadikan ia sebuah filem bergred A.

* Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan lulusan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Tags / Kata Kunci: Birdman

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan