Abang Long Fadil Berpaksikan Dunia Gengsterisme

Diterbitkan: Isnin, 2 Jun 2014 1:55 PM

Fadil (Zizan Razak) dipaksa mendapatkan Kampung Berani sekiranya tidak mahu dibunuh Shark (lakonan Syamsul Yusof).

(Ubah saiz teks)

FILEM: Abang Long Fadil

PENGARAH: Syafiq Yusof

PELAKON: Zizan Razak, Kamal Adli, Tauke (Raja Lawak), Soffi Jikan, Syamsul Yusof dan Aaron Aziz

DURASI: 80 Minit

GENRE: Aksi/Komedi

TERBITAN: Skop Productions Sdn Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 29 Mei 2014

SELEPAS gagal meraih kutipan besar untuk karya sulung Saya Amat Mencintaimu (SAM), rasanya pengarah Syafiq Yusof mampu memancing penonton dengan hasil air tangan keduanya, Abang Long Fadil.

Kenapa? Sebab anak muda ini berjaya menghasilkan sebuah filem di luar kotak, di mana setiap adegan yang disampaikan di luar jangkaan penonton.

Dengan jumlah belanja sebanyak RM3 juta, Syafiq menggunakan bajet tersebut sebaik-baiknya untuk menghasilkan filem yang sekurang-kurang setaraf Hollywood.

Filem yang genre aksi komedi ini membawa kesinambungan daripada kisah KL Gangster apabila sahabat baik Fadil iaitu Malik, lakonan Aaron Aziz ditahan dalam penjara.

Berbeza sedikit dengan kisah KL Gangster  yang lebih serius, filem ini mengisahkan tentang Fadil yang mahu menjadi samseng sehebat Malik. Memandangkan Malik dijatuhi hukuman penjara lima tahun, Fadil enggan terlibat lagi dengan dunia gengster dan mahu bebas daripada geng Shark (Syamsul Yusof).

Tetapi dia perlu melaksanakan satu tugasan terakhir sebagai hadiah untuk layak membebaskan diri daripada kumpulan gangster Shark iaitu musuh dalam selimut kepada Malik.


Shark membuli Fadil dengan memberikan tugasan yang dianggap mustahil bagi semua gangster-gangster di Kuala Lumpur menakluk kawasan Kampung Berani.

Kampung Berani adalah penempatan orang Melayu yang sedang menghadapi krisis hak milik tanah peneroka dengan syarikat-syarikat kapitalis yang telah mengupah sekumpulan gengster untuk mengugut penduduk kampung.

Dalam masa yang sama, kawasan itu dipegang oleh seorang gengster besar yang tidak diketahui identitinya.

Filem ini yang turut dibintangi oleh Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka dan Harun Salim Bachik ini digarap dalam bentuk komedi aksi dan satu kelainan kalau dibandingkan dengan KL Gangster.

Namun naratifnya tidak lari daripada KL Gangster yang berpaksikan kepada dunia gelap gengsterisme.



Berdasarkan bacaan plot ceritanya sahaja, ia dianggap sekadar sebuah filem gengster biasa. Tetapi Syafiq berjaya mengubah persepsi penonton dengan memasukkan beberapa elemen yang jarang digunakan dalam perfileman tempatan.

Menggunakan hampir 40 peratus visual teknik imej janaan komputer (CGI) Syafiq mengambil inspirasinya menerusi filem Bad Boys, Kung Fu Hustle dan Padayappa.

Walaupun dilihat seperti tidak logik, aksi lawan antara gengster menggunakan efek audio seperti filem-filem Tamil menggeletek hati penonton walaupun babak tersebut adalah serius.

Malah kemunculan watak daripada filem Transformers  iaitu Bumble Bee serta Iron Man ketika Zizan sedang bergelut dengan gengster agak pelik namun ia masih lagi boleh diterima buat penonton yang berfikiran terbuka.


Menariknya, babak aksi yang dihasilkan bukan sebarangan kerana Syafiq lebih memberi fokus kepada lawan 'one to one' dengan efek yang unik. Ada masanya seperti filem Matrix!

Sementara itu, Kamal Adli harus dipuji kerana lakonan yang menunjukkan seni mempertahankan diri cukup hebat sekali gus membuktikan bahawa dia bukan sekadar mampu melakonkan cerita-cerita cinta sahaja tetapi juga babak penuh aksi.

Jangan terkejut sekiranya satu hari nanti, Kamal menggantikan tempat Adi Putra mahupun Aaron memegang watak utama dalam filem aksi.

Secara keseluruhannya, filem ini harus dipuji kerana ia jelas dilihat penyampaiannya jauh berbeza dengan filem-filem yang sedia ada di negara ini.

Sayangnya, filem Abang Long Fadil diklasifikasikan sebagai PG18 dimana ia tidak boleh ditonton oleh golongan di bawah umur 18 tahun. 
Tags / Kata Kunci: Abang Long Fadil

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan