'Vikingdom: The Blood Eclipse' Karya Tempatan Bertaraf Antarabangsa

Diterbitkan: Selasa, 17 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Vikingdom: The Blood Eclipse mula ditayangkan di pawagam pada 12 September 2013.
Vikingdom: The Blood Eclipse mula ditayangkan di pawagam pada 12 September 2013.

FILEM: Vikingdom: The Blood Eclipse

PENGARAH: Yusry Abdul Halim

PELAKON: Dominic Purcell, Natassia Malthe, Conan Stevens, Jon Foo dan Craig Fairbrass

DURASI: 2 Jam 30 Minit

GENRE: Epik

TERBITAN: KRU Studios

TARIKH TAYANGAN: 12 September 2013

USAHA tiga beradik iaitu Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim untuk mempromosikan filem Cicakman di Festival Filem Cannes pada 2007 nyata telah membuka peluang dan ruang buat trio itu meneroka lebih mendalam tentang bidang perfileman antarabangsa.

Usaha untuk terus memajukan industri perfileman jelas dilihat apabila KRU Studios telah menerbitkan karya-karya seperti Magika, Hikayat Merong Mahawangsa dan 29 Februari dengan sentuhan berbeza daripada lambakan filem sedia ada.

Terbaharu KRU Studios telah melakar sejarah apabila melancarkan filem berbahasa Inggeris berjudul Vikingdom: The Blood Eclipse untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Lebih membanggakan filem ini sudah pun dibeli oleh Universal Pictures untuk menjadi pengedar di negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Sweden, Denmark, Brazil dan Amerika Syarikat.

Vikingdom: The Blood Eclipse membariskan sepenuhnya pelakon Hollywood seperti Dominic Purcell yang membintangi Prison Break, Equilibrium dan Mission Imposibble II, Natassia Malthe (Elektra dan This Mean War), Conan Stevens (The Hobbit), Jon Foo (Takken) dan Craig Fairbrass (House of The Rising Sun dan The Bank Job).

Paling membanggakan filem yang menelan kos sebanyak RM20 juta itu dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga produksi tempatan dan diterajui oleh pengarahnya, Yusry Abdul Halim.

Menerusi filem itu, Yusry telah mengaplikasikan hampir 90 peratus Imej Penjanaan Berkomputer (CGI) selain menyelitkan teknik matte paintings dan VFX bagi menghidupkan latar cereka fantasi dan epik itu.

Usaha selama 16 bulan krew produksi dan pereka grafik menghasilkan semua imej berkenaan ternyata berbaloi kerana ia berjaya menghidupkan sinematografi dengan cemerlang setanding dengan filem-filem epik barat lain.

Malah Yusry turut menekankan kepada penggunaan pewarnaan asli dan mengekalkan stail perfileman konvensional supaya ia tampak sebenar dan bukannya bergantung harap kepada kesan visual semata-mata.

Bagaimanapun, beberapa aspek tentang teknik CGI pada beberapa bahagian filem ini masih boleh diperhalusi supaya lebih kemas pada masa hadapan.

Ini termasuk pada pemilihan kostum para pelakon yang kelihatan sedikit janggal walaupun Yusry cuba ingin lari daripada kebiasaan yang sering ditonjolkan oleh pengarah barat lain.

Pun begitu, pujian harus diberikan kepada Yusry dan tenaga produksinya kerana jika dilihat secara kasar penonton tidak akan menyedari bahawa filem ini dihasilkan sepenuhnya di lokasi sekitar Malaysia seperti Puncak Alam, Selangor, Gua Tempurung dan Kellie's Castle di Perak.

Vikingdom: The Blood Eclipse adalah sebuah filem yang membawa pertembungan antara epik dan fantasi, antara wira Viking iaitu Eirick dari Jomberg dengan Thor, Dewa Guruh yang mahu menakluki dunia.

Misi Thor ialah mengumpul semua kunci artifak purba - “Mjolnir” - tukul Thor dari Valhalla, “Necklace of Mary Magdalene” dari Mitgard dan “Horn” dari Helheim.

Semua artifak harus dikumpulkan sebelum Blood Eclipse, yang berlaku sekali setiap 800 tahun. Jika gagal, para Dewa Viking tidak boleh memerintah manusia lagi. Cuma satu orang boleh menghentikannya, Eirick, si mayat hidup.

Menerusi filem ini, penulis skrip filem berkenaan iaitu James Coyne berjaya menggambarkan kehidupan Viking yang diolah kemas.

Usaha selama dua tahun menyiapkan filem berkenaan tidak sia-sia kerana produksi berjaya mengolah cerita mengenai sejarah Viking dengan memasukkan ketertiban sosial masyarakat tersebut ketika itu.

Menerusi elemen itu juga, penonton dapat memahami perjalanan cerita dengan mudah selain mengenali watak yang ditonjolkan walaupun ia asing kepada penonton di negara ini.

Nyata Yusry tidak hanya memberikan perhatian kepada soal grafik namun ia selari dengan plot dan konsep penceritaan filem berkenaan.

Bagaimanapun tindakan Yusry memasukkan kesan bunyi pada awal filem berkenaan boleh disifatkan sebagai keterlaluan dan selain sedikit menggagu ketika menonton.

Selain itu, Yusry juga terlalu mencuba untuk menerangkan setiap perkara mengenai viking kepada penonton sehingga ada babak-babak menjadi meleret dan membosankan terutamanya aksi pertarungan.

Sementara itu, barisan pelakon yang ditampilkan tidak lagi perlu dipertikaikan kerana masing-masing mempunyai kekuatan masing-masing dan telah berpengalaman dalam dunia lakonan di Hollywood.

Kesimpulannya, filem sulung arahan Yusry dengan suntikan selera antarabangsa ini perlu diberi perhatian selain dihargai kerana ia adalah hasil titik peluh anak tempatan dalam merealisasikan sebuah karya bertaraf dunia.

Vikingdom: The Blood Eclipse mula ditayangkan di pawagam bermula 12 September 2013 dan turut ditayangkan dalam versi 3D.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan