'Tanda Putera' Angkat Perjuangan Pemimpin, Filem Wajib Tonton

Diterbitkan: Khamis, 29 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGARAH: Datin Paduka Shuhaimi Baba

PENERBIT: Pesona Pictures Sdn. Bhd.

PELAKON: Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Che Kem, Zaefrul, Kuza, Sharifah Shahirah, Nazril Idrus dan Fizz Fairuz

GENRE: Sejarah, Patriotik

DURASI: 115 minit

TARIKH TAYANGAN: 29 Ogos 2013

HAMPIR setahun diperam gara-gara menjadi mangsa politik akhirnya Tanda Putera dapat juga ditayangkan. Itu pun masih lagi ada beberapa isu tidak puas hati terhadap filem itu kerana beberapa adegan yang dirasakan sengaja mahu memprovokasi rakyat.

Bagi yang masih belum menyaksikan filem ini, tolak ke tepi semua kata-kata orang, buka minda, tonton serta nilai sendiri Tanda Putera yang mengisahkan bagaimana dua pemimpin negara, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein (lakonan Rusdi Ramli) dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman (Zizan Nin) mengharungi cabaran getir rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Filem ini meraikan keberanian, dedikasi dan patriotisme kedua-dua pemimpin ini yang berjaya membawa kestabilan dan keharmonian negara walaupun terpaksa bertarung dengan masalah kesihatan yang kritikal.

Untuk menonton filem ini, fokus penonton amat penting kerana ia mampu memberi tafsiran buruk jika ia disalah faham terutamanya pada babak kejadian 13 Mei.

Penulis juga mengalami situasi yang kurang jelas di mana pada tayangan pertama dibuat tahun lalu, Tanda Putera yang dilihat hanya menyalahkan satu kaum sahaja iaitu masyarakat Cina pada tontonan pertama.

Namun pada kali kedua menonton filem itu, jelas dilihat yang menjadi 'antagonis' dalam filem ini ialah pihak komunis dan kumpulan radikal Melayu.

Dalam erti kata lain, tiada isu perkauman pun sebenarnya kerana ada juga babak kaum Cina, Melayu dan India yang menunjukkan kecintaan mereka kepada negara.

Keadaan negara yang sedang berhadapan dengan sengketa komunis sehingga membawa kepada rusuhan perkauman, masalah kemiskinan orang Melayu menunjukkan skil kedua-dua pemimpin ini bekerjasama mengukuhkan kembali Malaysia.

Hal itu juga membuatkan Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia tentang penyakit leukemia yang dihidapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan dan bimbangkan keselamatan negara.

Apabila mengetahui penyakitnya akan membawa maut dalam masa dua tahun, Tun Razak bersyukur yang rakan baiknya Tun Dr Ismail, akan meneruskan rancangan mereka bagi pembangunan negara. Beliau juga yakin Ismail akan mengotakan janji untuk menjaga keluarganya nanti.

Bagaimanapun Tun Razak mendapat kejutan besar yang hampir memudaratkan lagi kesihatannya apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia. Beliau mula mengejar masa untuk melaksanakan berbagai-bagai perancangan bagi menjamin kestabilan negara.

Tun Razak terpaksa menghadapi berbagai ancaman daripada pihak komunis yang menyasarkan pembunuhan pemimpin tinggi polis. Bermula dengan pembunuhan Ketua Polis Negara diikuti pembunuhan Ketua Polis Perak, keadaan makin meruncing.

Lantas Tun Razak mengambil langkah berani - membina hubungan diplomatik dengan Republik China bagi melemahkan pengaruh komunis tempatan walau dia dikecam kuasa barat dan negara sekutu.

Dalam pada itu, ada juga beberapa babak yang menampilkan Tun Mahathir (lakonan Nazril Idrus) mencuit hati penonton kerana begitu berani mengkritik cara pentadbiran perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman sehingga menyebabkan beliau dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi Umno.

Ada juga babak kecil lain yang menarik ketika Tun Hussein Onn (Hasnul Rahmat) mendapat tahu kematian Tun Razak. Ucapannya sambil menangis yang dirakamkan secara langsung pada ketika itu berjaya membuatkan penonton sayu dan merasai situasi ketika kejadian sebenar.

Bagaimanapun, penulis sedikit kurang berkenan dengan babak sekumpulan anak muda pelbagai kaum yang diselitkan dalam filem ini.

Mungkin Shuhaimi ingin memaparkan tindak balas golongan muda berkaitan huru-hara negara, namun ada babak yang tidak perlu dimasukkan kerana filem ini lebih memberi fokus pada perjuangan Tun Razak waktu itu.

Mungkin juga babak sekumpulan anak muda lakonan Kavitha Sidhu, Ika Nabila, Zoey Rahman dan Alan Yun, dimasukkan agar boleh menarik perhatian penonton muda.

Selain itu, ada juga beberapa babak yang menggunakan teknik pengimejan berkomputer (CGI) letupan bangunan serta beberapa babak lain dilihat tidak begitu terkesan.

Bukan mengharapkan gaya CGI seperti filem Hollywood, tetapi penulis percaya dengan kos pembikinan bernilai RM4.8 juta yang turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Multimedia Development Corporation (MDeC), Tanda Putera mampu memberikan persembahan CGI yang lebih baik lagi.

Secara keseluruhannya, kejayaan filem ini juga kerana memiliki kekuatan barisan pelakon yang cukup hebat apabila Rusdi berjaya melakonkan watak Tun Razak dengan baik.

Malah gerak geri dan lenggok tubuh badan serta percakapan menampakkan Rusdi itu adalah Tun Razak yang sebenar.

Lakonan Zizan Nin sebagai Tun Dr. Ismail juga berjaya memberikan senyuman pada penonton yang cukup menjiwai wataknya sebagai tulang belakang Tun Razak.

Begitu juga dengan dua isteri pemimpin tersebut, Tun Rahah (Faezah Elai) dan Toh Puan Norasyikin (Linda Hashim), kedua-dua pelakon itu memberikan sisi lakonan yang sangat berbeza dalam Tanda Putera. Langsung tiada jiwa karakter filem lain yang dibawa masuk dalam filem ini.

Sebagai konklusinya, filem ini wajib ditonton kerana ia mampu menjatuhkan air mata ramai pihak tidak kira kaum sekiranya menghayati betul-betul mesej yang ingin disampaikan.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan