Tiada Tarikan Luar Biasa Dalam ‘Juvana’

Diterbitkan: Isnin, 21 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Filem Juvana bakal menemui penonton di pawagam pada 24 Januari ini.
Filem Juvana bakal menemui penonton di pawagam pada 24 Januari ini.

FILEM: Juvana

ARAHAN: Faisal Ishak

LAKONAN: Johan As’ari, Syazwan Zulkifly, Sharnaaz Ahmad, Zahiril Adzim, Shera Aiyob, Syafie Naswip, Idzham Ismail dan Adlin Aman Ramlie.

GENRE: Aksi

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: Filmscape Sdn Bhd

TAYANGAN: Bermula 24 Januari 2013

DRAMA bersiri Juvana yang pernah menjadi fenomena dua tahun lalu dan seterusnya diangkat sebagai penerima Anugerah Drama Rantaian TV Terbaik di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) cukup meninggalkan kesan kepada penonton.

Plot dan tema ringkas mengangkat permasalahan di kalangan remaja bawah umur telah membuka mata masyarakat untuk memberi perhatian tentang kehidupan pelajar bermasalah di pusat tahanan juvenil.

Bertitik tolak daripada itu, pengarahnya, Faisal Ishak telah membawa siri popular itu ke tahap lebih tinggi dengan menerbitkan sebuah filem bagi peminat setia drama rantaian berkenaan.

Masih menggunakan watak-watak seperti Botak, Apek, Ayam, Kicap, Komeng, Panjang dan Daim, Faisal masih mengekalkan momentum perjalanan cerita asalnya supaya penonton dapat menyelami apa yang cuba disampaikan.

Faisal bagaimanapun mengambil langkah bijak apabila memperkenalkan watak-watak baru bagi memberi impak segar terhadap fenomena sedia ada.

Menyentuh plot penceritaan Juvana, Faisal membawa penonton menyelami kisah kehidupan pesalah juvenil di dalam pusat pemulihan yang sebelum ini jarang-jarang dipaparkan kepada umum dengan mewarnakan perjalanan cerita asalnya dengan pelbagai konflik menarik.

Jika dilihat secara halus, terdapat pelbagai kisah benar yang dipaparkan dan ia hampir sempurna serta berjaya mengangkat tema tersebut berbeza daripada karya lain yang menggunakan asas sama.

Malah boleh dikatakan karya hasil ilham Faisal ini telah membawa arus filem ke tahap yang lebih jauh sekurang-kurangnya untuk industri filem tempatan biarpun pada sesetengah pihak akan menganggap ia agak sensitif untuk membongkar realiti kehidupan di pusat pemulihan itu.

Bagaimanapun, mesej yang ingin disampaikan oleh Faisal ikhlas menerusi pendukung watak hasil imaginasinya dan ia seimbang dalam mengangkat subjek diketengahkan dan pada masa sama cuba memberi hiburan kepada penonton.

Juvana membariskan para pelakon antaranya Johan As’ari (Botak), Syazwan Zulkifly (Apek), Adam Shah (Ayam), Sharnaaz Ahmad (Lan Todak), Zahiril Adzim (Daim), Shera Aiyob (Sara) Idzham Ismail (Panjang) dan Adlin Aman Ramlie (Tuan Ali).

Ia masih mengisahkan perjalanan hidup Daim yang dibebaskan dari sekolah juvenil. Wirabakti ekoran didapati tidak bersalah membunuh ibunya.

Daim kini cuba menjalankan kehidupan di luar namun ia tidak jauh bezanya dari kehidupan di penjara juvenil.

Daim mula bersekolah di sekolah menengah biasa dengan harapan untuk menamatkan pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di situ dia dibuli oleh pelajar lain dan tidak mempunyai sebarang kawan melainkan Sara yang banyak membantunya dalam pelajaran.

Apabila sekolah Wirabakti ditutup pelajar yang masih di tahan di pusat akhlak tersebut iaitu Botak, Apek, Ayam serta beberapa pelajar lain dihantar ke sebuah sekolah juvenil lain untuk meneruskan tempoh hukuman mereka.

Di sekolah itu, mereka menjadi sasaran Lan Todak yang juga ketua samseng di sekolah itu.

Akhirnya keadaan meruncing apabila sehari sebelum dibebaskan, Kicap dan Gaban dibuli teruk oleh Lan Todak. Botak pula bertindak dan membelasah Kecik, orang suruhan Lan Todak hingga separuh mati.

Daim kembali melawat teman-temannya namun keadaan ketika itu jauh lebih kronik hingga mengakibatkan kematian dan sekolah ditawan Lan Todak.

Aspek lakonan juga cukup dititikberatkan oleh Faisal dan kemunculan watak baru iaitu Sharnaaz sebagai Lan Todak dilayarkan dengan cemerlang.

Sharnaaz berjaya memanipulasi penonton dengan rasa benci kepada watak Lan Todak selain berjaya menterjemahkan sisi lainnya kepada seorang yang cukup bengis dengan ekspresi wajah, fizikalnya dan lakonan mantap dengan berkesan.

Selain Sharnaaz, watak yang dipegang oleh Syazwan iaitu Apek juga berjaya memberi impak dan tidak hanya mendatar seperti mana di dalam versi drama sebelum ini.

Kelainan yang cuba ditonjolkan terhadap watak-watak asal nyata memberikan rasa segar kepada filem tersebut walaupun masih mengekalkan kesinambungan daripada versi asal.

Bagaimanapun, kekurangan pada filem ini jelas kelihatan pada skripnya yang agak longgar selain persembahan visual yang setaraf dengan sebuah telefilem.

Walaupun mempunyai pengajaran yang mengajak remaja agar tidak melakukan jenayah namun filem ini akan menjadi lebih menarik jika elemen-elemen komedi dapat diselitkan agar hasilnya menjadi lebih menarik.

Namun, sedikit kekurangan dan kelemahan Faisal apabila beliau terlalu mengangkat aksi dan pergaduhan di kalangan pelajar bagi menghuraikan keburukan yang berlaku di sekolah pemulihan akhlak yang mana gambaran itu bukanlah sesuatu yang realistik.

Secara keseluruhannya, Juvana akan memberikan kepuasan kepada peminat setia siri itu selain ia sarat dengan pengajaran berguna khususnya buat golongan remaja.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan