'Skyfall' Tawarkan Dua Pilihan Kepada Penonton

Diterbitkan: Selasa, 6 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Daniel Craig semakin serasi sebagai ejen James Bond dalam Skyfall.
Daniel Craig semakin serasi sebagai ejen James Bond dalam Skyfall.

FILEM: Skyfall

ARAHAN: Sam Mendes

LAKONAN: Daniel Craig, Judi Dench, Javier Bardem, Ralph Fiennes, Naomi Harris, Bérénice Marlohe

GENRE: Aksi, pengembaraan

DURASI: 2 jam 23 minit

EDARAN: Sony Pictures Releasing International

TAYANGAN: Bermula 1 November 2012

ADA kelainan yang boleh diangkat daripada francais terbaru filem tersohor James Bond berjudul Skyfall ini.

Kalau pun ia bukan sempurna tetapi penghasilan siri ke-23 filem ejen perisik termasyhur cetusan Ian Fleming ini bagaikan satu revolusi yang memaparkan landskap baru pada jenama itu.

Secara idealnya, air tangan pengarah disegani British, Sam Mendes ini menawarkan dua implikasi kepada penonton tidak kira sama ada seseorang itu adalah peminat tegar atau sekadar menonton mengikut trend.

Menerusi Skyfall, naskhah tulisan bersama Neal Purvis, Robert Wade dan John Logan ini mencetuskan dua kesan langsung di antara perasaan bosan atau kagum.

Mahu tidak mahu, filem ini tidak boleh lari daripada dua kemungkinan yang dinyatakan itu kerana persembahan dan kandungan yang dipertaruhkannya pada kali ini.

Apabila kita sebut James Bond, respons spontan yang bingkas terpacul di mulut dan minda adalah aksi, seks, wanita dan peralatan canggih.

Simbol-simbol yang sinonim itu masih diperdagangkan tetapi apa yang mencetuskan dua kesan tadi adalah pencorakan Mendes dalam Skyfall.

Secara dasarnya, filem pada kali ini tampak matang, utuh dan segar daripada apa yang pernah dihidangkan menerusi 22 siri lalu.

Tetapi risikonya, revolusi dan pembaharuan itu tidak dapat mengelak daripada penerimaan yang bercampur-baur daripada penonton.

Bagi yang berfikiran terbuka, revolusi diketengahkan Mendes menerusi sentuhan naratif, syot dan pengisian yang unik ini amat dialu-alukan.

Ini kerana, selepas 50 tahun francais ini menemani peminat filem global, pendekatan Skyfall dirasakan cukup menarik dan menekankan pengisian yang lebih mendalam dan dramatik.

Pun begitu, teknik itu juga membuka ruang penceritaan yang bosan dengan tempo yang perlahan pada kebanyakan waktu.

Hakikat itu harus kita akui sekalipun sebahagian kelompok penonton lagi mungkin menghargai sentuhan sebegitu.

Anjakan yang diketengahkan dalam Skyfall itu ‘kuat’ pada aspek pembinaan karakter-karakter utama khasnya Bond lakonan Daniel Craig, M (Judi Dench) dan Silva (Javier Bardem).

Secara peribadi, pembawaan Craig sebagai Bond untuk kali ketiga ini memperlihatkan sisi yang segar daripada Casino Royale (2006) dan Quantum of Solace (2008)

Kepincangan dan kejanggalan hero dengan raut dan fizikal kasar ini pada dua filem sebelum ini mula menampakkan keserasian sebagai ejen 007.

Malah, Mendes juga memanfaatkan kelebihan fizikal dan kelasakan aktor British itu dengan memperbanyakkan babak-babak aksi dan pertarungan berbanding karakter sinonim Bond terdahulu yang cenderung kepada wanita dan seks semata-mata.

Jika dilihat pada aspek plot dan skrip, memang tidak dinafikan Skyfall bertumpu pada kisah M dan sejarah silam yang mengancam nyawanya.

Cerita itu mungkin mengundang kehambaran bagi penonton yang mendambakan bentuk misi terbaru Bond pada kali ini.

Sebaliknya, keutamaan diberikan kepada watak M yang menjadi nadi cerita sehinggakan misi utama Bond pada kali ini juga bertitik-tolak daripada ancaman maut diterima ketua wanita itu.

Namun, aksi dan debaran yang ditawarkan tetap mengghairahkan perhatian penonton walaupun ada yang merasakan ia adalah sebuah kisah yang membosankan.

Atas subjek itu sebenarnya, ada keunikan berjaya ditawarkan dalam Skyfall yang mungkin tidak pernah dipaparkan dalam filem-filem sebelum ini.

Filem pada kali ini mempunyai rasa dan emosi yang lebih mendalam, dramatik tetapi masih diimbangi aksi dan elemen-elemen lazim James Bond.

Sayangnya, selain tiga bintang utama Craig, Dench dan Bardem, karakter lain termasuklah gadis Bond lakonan aktres Perancis, Bérénice Marlohe sebagai Severine tidak menonjol dengan seimbang dan mudah dilupakan.

Skyfall bermula dengan aksi kejar-mengejar Bond lakonan Daniel Craig dan Eve (Naomi Harris) dengan sekumpulan penjahat dalam sebuah operasi di Istanbul, Turki.

Dalam keadaan cemas, Eve tertembak Bond secara tidak sengaja dan terjunam ke dalam sungai sehingga ejen itu diisytiharkan meninggal dunia kerana gagal ditemui.

Susulan kehilangan Bond yang dipercayai mati, ibu pejabat MI6 di London pula berdepan ancaman apabila identiti beberapa ejen badan perisikan itu terbocor di Internet.

Ia turut mengakibatkan kredibiliti dan kedudukan M (Judi Dench) sebagai ketua badan perisikan itu terancam.

Bagaimanapun, kemunculan semula Bond selepas ibu pejabat MI6 diletupkan menimbulkan konflik dan ancaman baru yang perlu ditangani bersama oleh ejen itu dan M.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan