'Hantu Kapcai' Tema Mudah Untuk Pikat Penonton

Diterbitkan: Selasa, 2 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FILEM: Hantu Kapcai

ARAHAN: Ghaz Abu Bakar

LAKONAN: Zizan Razak, Remy Ishak, Fizz Fairuz, Neelofa, Hairul Azreen, Riz Amin

GENRE: Komedi

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: United Studios

TAYANGAN: Bermula 27 September 2012

MEMANG mudah bikin filem apabila tema yang diketengahkan itu dekat dengan penonton.

Lazimnya, selera penonton kita masih lagi cenderung kepada filem ringan dengan hiburan total. Hanya masuk ke pawagam dan ‘layan’ filem tanpa mengusutkan fikiran.

Atas fahaman itu, rencah hiburan ringan terus menjadi pertaruhan seperti yang diketengahkan dalam filem terbaru berjudul Hantu Kapcai. Berkonsepkan komedi dan aksi spontan, tema ini menjadi pilihan pengarah dan penulis skripnya, Ghaz Abu Bakar.

Hantu Kapcai, seringkas dan semudah sebutannya, memaparkan inti pati dan visual secara santai sebagai wadah hiburan. Berbekalkan kredibiliti dan sentuhan semula jadi dua bintang utamanya Zizan Razak dan Fizz Fairuz, jenaka Hantu Kapcai mengalir dengan ‘cantik’ dan lancar. Kehadiran Neelofa, Izzue Islam, Hairul Azreen dan Riz Armin pula pelengkap yang mewarnai pelayaran karya ini.

Malang sekali buat aktor sasa Remy Ishak kerana prestasi hambar menerusi watak Tiger pada kali ini membuatkan wataknya kurang menyerlah berbanding yang lain-lain.

Umumnya, filem ini cukup sifatnya sebagai filem sulung Ghaz. Aset terbesar filem ini jelas sekali pada humor yang silih-berganti hampir pada setiap babak. Namun, jiwa komedi Melayu dalam Hantu Kapcai bukan sesuatu yang segar atau asing untuk halwa kita.

Pendekatan humor ringkas dan secara langsung begini sudah kita nikmati pada Adnan Sempit, Hantu Bonceng mahu pun Mael Lambong sebelum ini. Bukan filem namanya jika tiada cela. Skrip dan plot yang longgar serta kualiti kesan visual di bawah paras standard, menyumbang kepada kekurangan Hantu Kapcai.

Mungkin elemen-elemen yang disebutkan itu tidak menjejaskan filem ini secara kolektif tetapi kalau diberikan perhatian dari awal, pasti filem ini mampu menjadi lebih baik.

Seperkara lagi yang turut mengganggu adalah jenaka dan gurauan yang diselitkan iaitu berkaitan roh dan alam ghaib itu mungkin mengundang reaksi bercampur-baur.

Kurang manis rasanya apabila watak roh Ajib lakonan Zizan Razak menjadi teras untuk mencetuskan komedi dalam filem ini.

Kita mungkin boleh gelak ketawa jika ia adalah filem luar atau tidak berkaitan dengan watak, agama dan bangsa Melayu yang beragama Islam.

Sayangnya, watak-watak dan latar cerita itu berlegar dalam perkataan keramat ‘Islam’ dan ia dihasilkan pembikin Muslim yang sudah tentu peka dengan perkara sensitif berkenaan.

Justeru, ia dilihat sebagai satu persendaan atau mungkin juga kesnya kerana pembikin terlalu ambil mudah, terlepas pandang atau provokasi.

Perkara ini subjektif kepada penilaian individu tetapi jika tiada teguran atau perkongsian pendapat sebegini, tidak mustahil kita akan melihat lebih banyak persendaan sebegini dalam filem-filem Melayu pada masa akan datang.

Hantu Kapcai yang merupakan filem pertama terbitan anak syarikat KRU Studios iaitu Showbiz Productions berkisar mengenai seorang mat rempit bernama Ajib (Zizan Razak) yang terjebak dalam perlumbaan haram kerana kesempitan wang.

Dalam perlumbaan itu, Ajib terpaksa berentap dengan musuh ketatnya, Tiger (Remy Ishak) sehingga mengakibatkan nyawanya terkorban.

Roh Ajib yang tidak tenteram mula berlegar dan secara kebetulan ia mampu dilihat seorang pemuda bernama Ibrahim (Fizz Fairuz).

Walaupun sukar untuk mempercayai apa yang dilihatnya, Ibrahim perlu mencari jalan untuk meyakinkan keluarga Ajib mengenai roh itu.

Ibrahim juga bertanggungjawab untuk memberikan semangat kepada adik Ajib iaitu Akim (Hairul Azreen) untuk menuntut bela atas kematian abangnya dan menebus semula hutang Ajib.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan