‘Hantu Gangster’ Sentuhan Namewee Yang Lebih Baik

Diterbitkan: Isnin, 13 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FILEM: Hantu Gangster

ARAHAN: Namewee

LAKONAN: Namewee, Diana Danielle, Farid Kamil, Datuk Jalaludin Hassan, Datuk David Arumugam

GENRE: Komedi, aksi, seram

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: Ram Entertainment

TAYANGAN: Bermula 9 Ogos 2012

BANYAK aspek mengenai filem kedua juga terbaru arahan Namewee berjudul Hantu Gangster ini yang boleh dipuji.

Tampil dengan genre komedi, aksi dan seram, filem ini lebih baik daripada filem sulung, Nasi Lemak 2.0 yang ditayangkan pada tahun lepas.

Sentuhan Namewee pada sudut penceritaan dan teknikal jauh lebih kemas, kompak dan teliti.

Biarpun elemen komedi ala filem Hong Kong itu masih tebal membayangi stail jenaka dalam naskhah ini, ia dipersembahkan pada momentum dan ‘rasa’ yang bersesuaian.

Dalam konteks seni, pendekatan dan keberanian Namewee dalam filem ini mampu menyuntik suasana dan bahasa filem yang bersahaja, bebas dan kontemporari.

Apabila melihat pada judul dan isu gengsterisme yang diketengahkan, tentu sekali persepsi negatif yang pernah dikaitkan dengan Namewee sebelum ini kembali diperkatakan.

Bagaimanapun, judul dan isu tersebut hanya metafor yang dilapiskan dengan mesej perpaduan dan nilai-nilai moral.

Benar, isu perpaduan dan kesatuan kaum bukan benda baru dalam konteks filem kita tetapi setidak-tidaknya perjuangan Namewee wajar dipuji.

Diperkuatkan pula dengan persembahan lakonan yang baik daripada barisan pelakon, perjalanan Hantu Gangster dilihat baik dan lancar sepanjang 1 jam setengah menonton.

Secara peribadi, aksi Diana Danielle sebagai Jameela, Farid Kamil (Ewan), Tee Jing Chen (Chee Meng) dan Abu Bakar Siddiq (Seelan) memikat hati saya.

Kredibiliti Datuk Jalaluddin Hassan sebagai ketua gengster Bang Nasir dan Datuk David Arumugam (Arulkumar) pula tidak perlu dipertikaikan lagi.

Yang manis apabila aksi penyanyi Mizz Nina dan Noh Hujan sebagai pasangan suami isteri di era 60-an meninggalkan impak walaupun hanya sebagai penampilan khas.

Seperkara lagi yang menyenangkan adalah jenaka yang diketengahkan. Komedi yang ringkas, moden dan berkesan itu disampaikan dengan baik hampir kesemua pelakon.

Mungkin ada ketikanya, beberapa percubaan komedi itu dirasakan klise dan kurang menjadi, tetapi ia masih boleh diterima.

Landskap bandar Klang yang ‘gelap’, suram dan ‘kasar’ yang melatari plot filem ini ternyata pemilihan bijak. Ia berjaya menjelmakan visual dan suasana gengsterisme yang cantik di depan layar.

Bukan mahu mengaitkan bandar itu dengan imej negatif tetapi kesesuaian panorama di situ ternyata efektif pada visual, seperti yang diperakui pengarahnya.

Hantu Gangster berkisar mengenai penyangak bernama Te Sai lakonan Namewee yang secara tidak sengaja tercuri sebentuk cincin semasa majlis pengebumian satu kumpulan gengster.

Ekoran kejadian itu, tiga hantu yang merupakan bekas-bekas ketua gengster tersebut iaitu Bang Nasir (Jalaluddin Hassan), Uncle Hua (Charlie Loke) dan Arulkumar (David Arumugam) mula mengganggu Te Sai.

Maka, terbongkarlah cerita bahawa ketiga-tiga hantu ketua gengster itu rupanya dibunuh oleh pembelot bernama Ewan (Farid Kamil).

Bermulalah misi ketiga-tiga hantu itu untuk menarik perhatian Te Sai supaya dapat membantu anak-anak mereka daripada kejadian yang boleh memecahbelahkan kumpulan tersebut.

Ketiga-tiga kumpulan berbilang kaum yang selama ini bersatu padu mula berkomplot dan mempunyai agenda tersendiri kerana agenda jahat Ewan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan