‘The Amazing Spider-Man’ Kurang Mengagumkan

Diterbitkan: Jumaat, 13 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FILEM: The Amazing Spider-Man

ARAHAN: Marc Webb

LAKONAN: Andrew Garfield, Emma Stone, Rhys Ifans, Martin Sheen, Sally Field

GENRE: Aksi, pengembaraan, fantasi

DURASI: 2 jam 16 minit

EDARAN: Sony Pictures Releasing International

TAYANGAN: Bermula 5 Julai 2012

FILEM The Amazing Spider-Man ini tidaklah sehebat yang saya jangkakan. Benar, saya terhibur dengan aksi dan aplikasi teknologi dalam naskhah ini tetapi ia seakan kurang ‘jiwa.’

Entah mengapa, selepas menyaksikan filem arahan Marc Webb ini bagai ada yang tidak kena pada aspek olahan dan perjalanan ceritanya.

Perkembangan plot secara linear yang bermula dengan imbasan babak zaman kanak-kanak Peter Parker lakonan Andrew Garfield sehingga ke era remajanya dilihat kurang memberangsangkan.

Malah, saya anggap durasi satu jam pertama filem ini berlalu dengan hambar dan perlahan.

Lemah dan rapuh untuk mengikat tumpuan, itu kesan yang saya rasakan sepanjang tempoh itu sehingga ternanti-nanti impak yang diharapkan pada filem adaptasi komik legenda Marvel ini.

Jika The Amazing Spider-Man mahu dinilai pada sudut berbeza, hasil lakonan dan teknikal filem ini berhak mendapat sanjungan.

Ini kerana pembentukan watak Peter Parker yang lebih agresif dan dinamik memberikan ‘rasa’ berbeza dan segar berbanding watak yang sama digalas Tobey Maguire dalam tiga filem Spider-Man sebelum ini.

Garfield memberikan perspektif lain dalam menterjemahkan Peter Parker dan kekuatan dalamannya jelas terpancar pada permainan emosi dan fizikal aktor itu.

Dua lagi pelakon yang turut mencuri tumpuan adalah Emma Stone sebagai Gwen Stacy dan Rhys Ifans (Dr Curt Connors/ The Lizard).

Stone turut berdiri dengan sendirinya dalam menggayakan Gwen Stacy kerana tiada langsung ‘bayangan’ lakonan Kirsten Dunst untuk watak yang sama dalam filem kali ini.

Watak yang diperkenalkan julung kalinya dalam filem kali ini iaitu Dr Curt Connors/ The Lizard dizahirkan dengan sempurna oleh aktor Wales, Rhys Ifans.

Ifans bijak mempamerkan dua sisi yang saling konflik antara satu sama lain iaitu doktor yang diselubungi rasa bersalah kerana kisah lampaunya dan dendam terhadap sejagat sehingga memaksa dia bertukar fizikal menjadi cicak mutasi.

Sayangnya, sekali lagi saya tegaskan garapan watak-watak menarik ini tidak diimbangi perkembangan plot yang mantap, sekaligus menjadikan The Amazing Spider-Man cuma sedang-sedang saja.

Karya adaptasi daripada Marvel Comic Book oleh Stan Lee dan Steve Ditko ini berkisar mengenai seorang remaja lelaki bernama Peter Parker (Andrew Garfield) yang dipinggirkan di sekolah dan ditinggalkan ibu bapanya sejak kecil.

Parker membesar di bawah jagaan pakcik dan makciknya, Uncle Ben (Martin Sheen) dan Aunt May (Sally Field).

Seperti remaja lain yang cuba mencari potensi diri dan latar belakang asalnya, Parker tidak terkecuali daripada isu cinta bersama rakan sekolahnya Gwen Stacy (Emma Stone).

Dalam meniti keremajaan, mereka turut berdepan kesulitan untuk mengukuhkan hubungan selain komitmen pada pelajaran.

Bagaimanapun, filem ini mula mencetuskan impak dan debaran apabila Parker menjumpai beg bimbit milik ayahnya yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan di dalam stor rumah pakciknya.

Bermula daripada situ, pencarian Parker untuk mengenal pasti rahsia dan formula sains ciptaan bapanya terbongkar satu demi satu sehingga memaksa dia bertemu dengan rakan lama bapanya, Dr Curt Connors (Rhys Ifans).

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan