'Jidin Sengal' Bukan Komedi Murahan

Diterbitkan: Isnin, 26 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Keserasian dan aksi spontan Along sebagai Jidin dan Angah (Bob Dobot) tampak berkesan.
Keserasian dan aksi spontan Along sebagai Jidin dan Angah (Bob Dobot) tampak berkesan.

FILEM: Jidin Sengal

ARAHAN: Esmi Zahara Yusof

LAKONAN: Along (Raja Lawak), Angah (Raja Lawak), Jue Aziz, Faezah Elai, Azrul (Raja Lawak) dan Zac Diamond

GENRE: Komedi

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: Outloud Studios

TAYANGAN: Bermula 22 Mac 2012

SEIMBAS dengar pada judulnya, tentu ramai yang menjangkakan filem Jidin Sengal ini adalah jenis komedi slapstik atau lawak murah yang acap kali digunapakai dalam kebanyakan filem komedi tempatan.

Tetapi jangan lekas jatuhkan hukum kerana setiap filem komedi itu, jika kena cara penghasilannya berupaya menjadi jenaka yang boleh diterima dan menghiburkan.

Ambil sahaja contoh filem arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen iaitu Bujang Telajak, Belum Terlanjur yang ditayangkan pada 19 Januari.

Judulnya mungkin kedengaran ringkas dan ‘murahan’ tetapi pengisiannya tidak mengecewakan.

Saya melihat formula yang sama juga digunakan dalam filem arahan pengarah baru, Esmi Zahara Yusof ini.

Tentunya, penerbit filem Jidin Sengal menyedari tarikan dan pesona judul-judul filem komedi yang ringkas dan kedengaran spastik ini punya kekuatan tersendiri di kalangan penonton kita.

Justeru itu, saya melihat pemilihan judul itu sebagai strategi cerdik yang dekat dengan selera peminat wayang gambar Melayu.

Bagi filem ringan sebegini, hakikatnya memang tidak banyak yang perlu dipertikaikan kerana kita sedia maklum bahawa visi penghasilannya adalah untuk mengundang hilai tawa sekaligus menghiburkan penonton.

Untuk aspek itu, saya anggap Jidin Sengal berjaya mencapai tujuan utama ia diterbitkan.

Persembahan filem yang digarap daripada kisah seorang pemuda bernama Jidin lakonan Along (Raja Lawak) yang bersikap lurus bendul menanam impian untuk menjadi pelakon terkenal itu adalah tema yang ringkas dan kecil.

Namun, ia dianggap bersesuaian dan menjadi dalam konteks penceritaan filem ini.

Saya akui, tema filem ini yang memaparkan kisah warna-warni para pelakon di lokasi penggambaran filem bukanlah sesuatu yang baru.

Puluhan drama atau filem tempatan pernah menonjolkan tema seumpama ini tetapi penceritaan Jidin Sengal yang ringan, bersahaja dan spontan itu meninggalkan rasa berbeza.

Walaupun ia dipersembahkan dalam gaya yang ringan dan disulami komedi, ia berjaya membuatkan saya terfikir sejenak mengenai apa yang terbuku dalam minda kelompok pelakon ekstra.

Maka, saya tertarik dengan tema tersebut yang dikupas daripada kaca mata golongan minoriti dalam sesebuah produksi drama atau filem.

Ia bukan sahaja membuatkan saya ketawa dengan jenaka yang disampaikan, malah ada beberapa kupasan yang baik iaitu kegigihan, semangat setia kawan dan tidak mudah mengalah yang diselitkan dalam filem ini, menjadikan ia bukan komedi kosong.

Menguatkan lagi filem ini, keseronokan yang dihidangkan itu sememangnya dipengaruhi oleh aksi barisan pelakon yang meyakinkan kecuali Zac Diamond (X-Factor).

Gandingan Along dan Angah (Raja Lawak) menjadi dan berhasil. Ia diwarnai pula dengan karakter garang Jue Aziz selaku Amy dan lagak diva Faezah Elai sebagai Ella Sunti.

Saya puji lakonan empat bintang ini kerana tarikan masing-masing yang mencuit hati.

Sayangnya, saya melihat percubaan Zac yang menggalas watak pelakon ekstra bernama Iskandar menterjemahkan aksi komedi secara berlebihan dan merengsakan.

Perihal yang sama turut saya lihat pada lakonan Azrul (Raja Lawak) yang sarat dengan imej hip hop tidak bertempat itu.

Lebih mengharukan apabila lakonan dua pelakon tersebut dibayangi oleh kemunculan penerbit filem ini Ernie Chen walaupun dia hanya muncul sebagai pelakon pembantu sahaja.

Saya sedar bukan mudah untuk membuatkan orang ketawa tetapi kadang kala lakonan yang bersahaja dan ringkas juga mampu buat orang ketawa atau paling tidak pun tersenyum.

Sebagai hasil sulung seorang pengarah baru, kerja Esmi berhak mendapat sokongan. Memang ada kekurangan dan kegoyahan khususnya pada aspek teknikal, tetapi filem ini berjaya digerakkan dengan baik dari awal ke titik akhir.

Dekat dan bertepatan dengan selera penggemar filem komedi Melayu, saya percaya Jidin Sengal mampu memikat penonton ke pawagam.

Jidin Sengal mengisahkan mengenai seorang budak kampung yang bercita-cita untuk menjadi pelakon terkenal iaitu Jidin lakonan Along.

Demi mengejar cita-citanya, Jidin datang ke Kuala Lumpur dan bertemu dengan seorang pelakon ekstra yang berhasrat memegang watak hero atau setidak-tidaknya pelakon pembantu berdialog iaitu Bob Dobot (Angah).

Mereka berdua berkawan baik dan Bob banyak mengajar Jidin selok-belok dunia lakonan memandangkan Jidin tidak mempunyai pengetahuan luas di dalam bidang itu.

Pelbagai cabaran dan masalah terpaksa mereka tempuhi untuk mencapai impian mereka mendapatkan peranan lebih besar dalam sesebuah produksi filem.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan